Friday, 23 January 2015

AL-FATIHAH

IBUNDA TUAN HAJI AMIRRUSLAN MANAF MENINGGAL DUNIA.

Belasungkawa dan takziah kepada Tuan Haji Amiruslan Abdul Manaf dan keluarga atas pemergian ibunda beliau.
Selaku golongan veteran di daerah Temerloh ini, Tuan Haji Amiruslan telah banyak membantu dalam memberi sokongan dari segenap segi dalam menghidup dan menggerakkan Pertubuhan Angkatan Bahaman selama ini.
Allahyarhamah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang Darul Makmur.  Daripada Dia kita datang, dan daripada Dia kita kembali.
Fad khuli fi 'ibadi, wad khuli jannati 

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Thursday, 22 January 2015

KHEMAH BAJU-BAJU TERPAKAI DIRAMPAS PENGUASA MAJLIS!

DI MARKAS OPERASI BANJIR ANGKATAN BAHAMAN

Angkatan Bahaman sangat kecewa dan terkilan apabila Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mencabut kanopi yang digunakan oleh Angkatan Bahaman untuk menaungi baju-baju terpakai bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir.
Angkatan Bahaman berpendapat sekurang-kurangnya pihak MPT perlulah memberitahu terlebih dahulu kepada wakil Angkatan Bahaman bahawa pihak MPT ingin mengambil kembali khemah yang sememangnya milik MPT itu.
Tindakan MPT yang membuat 'kerja' seawal selepas waktu Subuh, mendatangkan rasa kurang senang kepada Angkatan Bahaman sementelah kanopi itu sememangnya sudah lama diabaikan oleh MPT selama ini, baru apabila pihak Angkatan Bahaman menggunakan kanopi itu, baru lah MPT sibuk membuat 'kerja'.
Angkatan Bahaman berpandangan lebih baik kanopi itu dimanfaatkan oleh orang ramai untuk membuat kebajikan, berbanding disimpan hingga buruk saja di dalam stor MPT.
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman









YB MAHFUZ OMAR DAN YB DR.SYED AZMAN MELAWAT KOMRAD ANGKATAN BAHAMAN DI TEMERLOH

Yang Berhormat (YB) TITIP NASIHAT
Angkatan Bahaman telah diberi kunjungan hormat oleh Ahli Parlimen Pokok Sena dari Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato' Mahfuz Omar, dan Adun Batu Burok dari Terengganu, YB Dr. Syed Azman yang berkebetulan datang ke Temerloh bagi melihat dan memberi bantuan serta ikhtiar kepada penduduk-penduduk Temerloh yang telah terlibat dalam bencana bah 2014/2015 baru-baru ini.
YB Dato' Mahfuz Omar dan YB Dr. Syed Azman sempat menitipkan nasihat kepada Angkatan Bahaman supaya sentiasa menjadi NGO yang berjiwa marhaen dengan fokus kepada kebajikan rakyat kebanyakan terutama golongan anak muda.
Angkatan Bahaman juga dinasihatkan oleh kedua-dua YB supaya sentiasa membela nasib rakyat tertindas, dan Angkatan Bahaman juga haruslah sentiasa bersikap terbuka dan neutral dari mana-mana kepentingan politik atas dasar kepentingan rakyat bersama.
Angkatan Bahaman mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua YB atas kesudian melawat Angkatan Bahaman di Temerloh dan segala pesanan serta nasihat dari kedua YB akan dimanfaatkan sepenuhnya demi menggerakkan Angkatan Bahaman supaya terus mempersadakan kebajikan golongan marhaen dan memajukan fikiran terutama untuk golongan anak muda.
Angkatan Bahaman
Buaian Revolusi

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Komrad Angkatab Bahaman bergambar YB Mahfuz Omar dan YB Dr.Syed Azman serta rakan-rakan di Gerai Bukit Angin, Temerloh, Pahang.

TEMERLOH MENERIMA KUNJUNGAN RAKAN-RAKAN RADIO BANGSAR UTAMA DAN DAPUR JALANAN KUALA LUMPUR

MEMBAWA BANTUAN BANJIR KE TEMERLOH

Semalam, rakan-rakan dari Radio Bangsar Utama (RABU) dan Geng Dapur Jalanan Kuala Lumpur telah mengadakan lawatan ke Temerloh, dan mereka sempat meninjau keadaan Madrasah Paya Jauh, di samping melihat juga keadaan sangkar-sangkar ikan di Temerloh yang terkena bencana bah. Di petang hari, mereka menghiburkan pula masyarakat Temerloh dengan berbusking di Esplanade Kuala Semantan.
Mereka berjanji untuk datang kembali ke Temerloh untuk membawa bantuan yang berkaitan setelah meninjau keadaan di Temerloh. Terima kasih diucapkan daripada Angkatan Bahaman untuk rakan-rakan dari Radio Bangsar Utama dan Dapur Jalanan Kuala Lumpur ini kerana mengambil berat akan keadaan Temerloh sesudah bah ini.
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman








TERIMA KASIH DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH

Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang Hari Ini.
Terima kasih kepada mantan Ahli Temerloh, Dato' Saifuddin Abdullah yang telah banyak menyalurkan bantuan semasa dan selepas waktu banjir 2014/2015 di Temerloh baru-baru ini.
Serba sedikit bantuan dari Dato' Saifuddin ini telah disalurkan melalui Angkatan Bahaman, dan Angkatan Bahaman dengan jayanya telah menyerahkan bantuan yang berkaitan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan khususnya di daerah Temerloh ini.
Semoga Dato' Saifuddin akan lebih banyak membantu penduduk Temerloh melalui Akademi Belia yang dinaungi beliau dan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang dipengerusikan beliau walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat di Parlimen Temerloh ini.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh dari Dato' Saifuddin Abdullah di laman web beliau.

  Membantu menangani banjir

  • Written by  Admin Sinar Harian
  • BANJIR yang melanda baru-baru ini, terutamanya di Pantai Timur Semenanjung, khususnya di Kelantan, iaitu antara yang paling buruk dalam sejarah, seharusnya mengajar kita tentang banyak perkara.

    Secara keseluruhannya, kerajaan pusat telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik. Walaupun, tak perlulah mendakwa sebagai yang terbaik di dunia! Kelemahan memang ada. Tetapi, umumnya, ia baik.

    Kerajaan dapat melaksanakannya dengan baik kerana wujudnya “Arahan No. 20”, iaitu Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, yang menjadi prosedur operasi standard bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Arahan No. 20 ialah satu mekanisme pengurusan bencana, contohnya banjir, secara menyeluruh yang meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian. Ia menjelaskan peranan dan tanggungjawab agensi kerajaan, badan berkanun, swasta dan badan-badan masyarakat sivil (CSO) dalam pengurusan bencana.

    Di peringkat kebangsaan, ia dipengerusikan seorang menteri, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim. Di negeri, ia dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri/Ketua Setiausaha Wilayah Persekutuan, dan di daerah oleh pegawai daerah/datuk bandar.

    Saya punya pengalaman peribadi dengan banjir. Pertama, ketika berumur 10 tahun, iaitu pada tahun 1971, saya sekeluarga berpindah selama dua minggu ke sebuah sekolah akibat banjir besar di Temerloh (iaitu yang terbesar selepas banjir 1926) dan di seluruh negara.

    Kedua, pengalaman sebagai Ahli Parlimen Temerloh (2008-2013) membantu menangani masalah banjir di sana. Selama lima tahun itu, saya tidak mengambil cuti pada musim tengkujuh. Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh itu, Temerloh tidak dilanda banjir besar.

    Dan ketiga, membantu mangsa banjir di Temerloh baru-baru ini. Ia disalurkan terutamanya melalui dua CSO, iaitu Angkatan Bahaman dan Akademi Belia.

    Saya berterima kasih pada Yayasan Hasanah (Khazanah) dan pelbagai badan lain yang menyalurkan bantuan-bantuan melalui kedua-dua CSO tersebut semasa dan selepas banjir.

    Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya banjir besar begini. Menurut Prof Dr Azizan Abu Samah, tiga faktor utama ialah kejadian bulan baru, solstis musim sejuk dan tiupan angin kencang. Mungkin ada faktor-faktor lain lagi. Tapi, pastinya bukan kerana Kelantan tidak melaksanakan hudud!

    Sebenarnya, sebahagian daripada faktornya ialah bikinan manusia. Contohnya, pembalakan berlebih-lebihan dan haram; pembangunan fizikal yang mengganggu keseimbangan alam, seperti menarah bukit; pembinaan bangunan tanpa sistem perparitan yang mencukupi; dan penimbusan kawasan-kawasan takungan air.

    Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah meminta universiti-universiti dan semua pemegang taruh untuk mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar dan mekanisme pengurusan banjir yang sedia ada.

    Sebagai langkah awal, MKN telah mengadakan post mortem pertamanya minggu lalu. Di samping agensi-agensi kerajaan, mesyuarat itu turut melibatkan beberapa CSO ternama.

    Diharapkan, dalam mesyuarat akan datang, MKN akan mengundang juga CSO lain, atau, sesebuah CSO yang telah sedia dijemput, contohnya ASLI, didelegasikan untuk mendapatkan maklum balas daripada CSO yang lain itu. Ini penting kerana peranan pelbagai jenis SCO amat penting dan pandangannya tidak boleh dipinggirkan.

    Antara penambahbaikan yang perlu ialah: koordinasi lebih sistematik oleh MKN; elakkan gangguan politik terhadap kerja-kerja substantif; elakkan janji-janji bantuan yang tidak praktikal; sediakan peralatan dari awal kerana banjir dapat diramal; tiada lagi dasar-dasar dan aktiviti-aktiviti yang menjadi faktor bikinan manusia; dan penguatkuasaan undang-undang.

    Tetapi, apa yang lebih penting ialah tindakan jangka masa panjang, iaitu pendekatan baru dalam pengurusan air, contohnya, meluaskan ruang sungai dan menambah saliran tambahan.

    Ia memerlukan perubahan paradigma, iaitu daripada “melawan air” kepada “hidup dengan air”.

    Kenyataan penuh Dato" Saifuddin boleh dilihat di laman web Dato' Saifuddin Abdullah
    Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

    Artikel dan foto daripada akhbar SInar Harian, 22 Januari 2015

    Wednesday, 21 January 2015

    Sejarah kiri Malaya yang tiada di M'sia


    TULISAN SALAH SEORANG KOMRAD ANGKATAN BAHAMAN, BUNG INDERA SEGARA DI MALAYSIAKINI.COM

    Sejarah kiri Malaya yang tiada di M'sia

    Bung Inderasegara      


    Tentu kita tidak pernah menyangka bahawa sebuah kampung yang berada jauh di pedalaman dengan kemudahan yang serba kekurangan tetapi mempunyai muzium sejarah tersendiri untuk tatapan pengunjung yang datang.

    Lebih menarik, walaupun lokasinya bukan di Malaysia tetapi ia menyimpan khazanah sejarah Malaya dalam konteks perjuangan kemerdekaan golongan kiri.

    Itulah Muzium Banchulaborn Patana 12 yang terletak di pedalaman wilayah Sukhirin, Selatan Thailand, di mana penduduknya adalah di kalangan anggota Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) Rejimen Ke-10.

    Idea untuk membina muzium ini dicadangkan sendiri oleh Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga merupakan pemimpin Rejimen Ke-10, Abdullah Che Dat atau lebih dikenali dengan gelaran Abdullah CD.

    Tujuan asal pembinaan muzium ini pula adalah untuk menyimpan khazanah sejarah perjuangan PKM Rejimen Ke-10 agar ia tidak hilang begitu sahaja serta menjadi tatapan pengunjung selain menjadi kampung yang istimewa kerana mempunyai muzium tersendiri.

    Menurut Yaakob Ibrahim, 52, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Pak Akob, sumber kewangan bagi membina muzium ini pula adalah lebihan dana PKM yang masih disimpan dan juga hasil derma daripada pelbagai pihak yang mahukan projek ini menjadi realiti. 

    “Ia dikelola atau diuruskan secara bersama dengan rakan-rakan lain yang tidak putus asa dalam usaha menjadikan ia muzium yang lebih sistematik agar lebih menarik ditatap oleh para pengunjung yang datang.

    “Setakat ini, keadaan dalaman muzium masih lagi proses penyusunan kerana terdapat kira-kira ratusan barang peninggalan PKM termasuk senjata, alat pusat kesihatan, aksesori, alat percetakan, alat telekomunikasi, hasil penerbitan dan kelengkapan studio,” katanya.

    Jika melihat kepada rekabentuk bangunan muzium, ia bukanlah satu rekaan yang mudah atau biasa tetapi agak menarik dan keluasannya mencukupi untuk menempatkan ratusan barang serta puluhan pengunjung dalam sesuatu masa.

    Kos membinanya setakat ini kira-kira RM80,000.

    Bagaimanapun, tentu sukar untuk dipercayai, ia dibina dengan hasil titik peluh penduduk di sini yang membinanya bersama. Mereka cuma membayar kos untuk menyewa jentera yang diperlukan di peringkat awal pembinaan.

    “Rekabentuk bangunan muzium ini ada arkitek warga Thailand dari Pejabat Daerah di sini yang membantu secara percuma.

    “Sebelum itu, kami ada membuat permohonan dengan Pegawai Daerah dan tidak sangka dia menyokong usul untuk membina muzium ini,” katanya.

    Namun begitu, kata Pak Akob, ia masih belum sempurna dan susunan barang-barang dalam muzium hanya susunan sementara.

    Penulis yang berjalan di dalam muzium dan mengamati barang-barang yang dipamerkan sangat terpegun kerana teknologi yang digunakan TPNM Rejimen Ke-10 agak moden walaupun ketika itu rakyat Malaya masih belum didedahkan dengan teknologi moden.

    Tentu sukar juga untuk kita percaya bahawa golongan ini mempunyai Pegawai Perubatan mereka sendiri yang dilatih di dalam hutan lengkap dengan kelengkapan perubatan yang ditugaskan merawat anggota yang cedera dalam pertempuran.

    Begitu juga dengan alat telekomunikasi, mereka memiliki alat tanpa wayar yang diubahsuai sendiri sebagai alat perhubungan. Cuba kita bayangkan betapa mereka sudah maju pada zaman itu (tahun 40an – 80-an) dan paling penting mereka mahir menggunakannya.

    Banyak lagi info mengenai sejarah pejuangan golongan kiri ini yang kita boleh dapat di sini dan sangat sesuai bagi sesiapa yang berminat untuk membuat kajian ilmiah serta membuat penulisan yang berbentuk sejarah
    .
    Penulis yang berada di sana merasakan masa sangat cepat berlalu dan tidak mencukupi untuk mengamati keseluruhan bahan-bahan sejarah yang ada di muzium tersebut.

    Jika panjang hayat penulis, insya-Allah akan ke kampung Chulaborn Patana 12 lagi untuk mencari saki baki sejarah Malaya yang hilang selama ini.

    Artikel asal boleh dilihat di Malaysiakini.Com

    TEROKA TANAH PUNCA BANJIR

    MUKA DEPAN AKHBAR SINAR HARIAN EDISI PAHANG HARI INI

    Pertubuhan Angkatan Bahaman melihat keperluan mendesak bagi tindakan segera untuk jangka masa panjang yang perlu diambil oleh pihak berkuasa terutamanya daripada pihak kerajaan negeri untuk mencegah masalah penerokaan tanah secara berleluasa, di samping pelbagai masalah yang berkaitan demi mengelakkan pelbagai bencana yang menimpa terus berulang yang akhirnya akan menyusahkan dan merugikan rakyat, terutamanya golongan marhaen negeri ini sendiri.

    Angkatan Bahaman,
    Buaian Revolusi.

    Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

    Artikel dan foto daripada akhbar Sinar Harian, 21 Januari 2015