Wednesday, 25 March 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 25 MAC 2015

Kecam tangkapan bantahan GST
Wartawan Sinar Harian
25 Mac 2015

Temerloh- Pertubuhan Angkatan Bahaman Temerloh mengecam penangkapan 80 aktivis dan wakil rakyat dalam bantahan anti Cukai Barangan  Dan Perkhidmatan (GST) di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia, Kelana Jaya, kelmarin.

Presidennya, Abdul Razak Endut, menganggap, penahanan tersebut adalah satu pencabulan terhadap keadilan bersuara dalam tuntutan lunas demokrasi yang mana rakyat sepatutnya berhak meyuarakan apa juga pendapat.

Menurutnya, rakyat berhak menyuarakan pandangan terhadap apa pun cadangan dan dasar yang ingin dilaksanakan kerajaan kerana dalam tuntutan demokrasi itu, sememangnya turut melibatkan rakyat bersama pemerintah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemakmuran negara.

Apa yang mengecewakan apabila rombongan mahukan jawapan daripada Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad beliau hanya menjawab dua daripada 106 soalan dikemukakan GST.

"Salah satu jawapan yang diberikan berkaitan pelaksanaan GST adalah 'perintah dari Parlimen', ini satu jawapan yang sangat lemah diberikan pemimpin jabatan kerajaan," katanya.

Abdul Razak berkata, jawapan yang sangat lemah itu menggambarkan sikap tidak profesionalisme seorang pegawai jabatan kerajaan berpangkat besar yang sepatutnya lebih dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata, amatlah tidak adil apabila sekurang-kurangmya 60 pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk mengawal bantahan ini sedangkan aktivis dan wakil rakyat yang hadir mengemukakan bantahan ini bukanlah mereka yang terlibat dalam jenayah besar.

"Angkatan Bahaman dengan ini secara jelas berpendirian bahawa apa pun alasan yang digunakan terhadap penangkapan aktivis dan wakil rakyat yang terlibat dalam bantahan anti GST ini, adalah tidak adil dan tidak wajar sama sekali.

"Tindakan menangkap dan menghukum rakyat serta wakil wakil rakyat yang mahukan penjelasan terperinci daripada kerajaan secara khususnya dalam pelaksanaan GST hanya akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap motif utama pelaksanaan cukai yang dianggap membebankan rakyat kelas rendah di negara ini.

"Angkatan Bahaman dengan ini menggesa pihak berkuasa supaya membebaskan aktivis dan wakil rakyat yang ditahan ketika bantahan GST diadakan dan menggesa rakyat Malaysia prihatin yang lain supaya tampil mengemukakan persoalan berkaitan pelaksanaan GST ini,"katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan seramai 79 individu termasuk wakil rakyat ditahan setelah terbabit dalam demonstrasi membantah GST di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia, (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Kelana Jaya, semalam.

Artikel asal boleh dilihat di akhbar Sinar Harian

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecik: Abdul Razak

Sumber: Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Rabu, 25 Mac 2015 (m/s 42).

WARTA ANGKATAN BAHAMAN

"SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS YANG KE-208" 
Assalamualaikum w.b.t.
Umum maklum, aspek keselamatan merupakan satu elemen dan aspek yang sangat penting dalam pembentukan sesebuah negara kerana ianya menjamin keharmonian dan keselamatan bagi rakyat yang hidup di bawah naungannya.. Sejajar dengan memahami kehendak keharmonian tersebut, maka lahirlah kepelbagaian agensi keselamatan BAGI MELUNASKAN KEWAJIBAN TERSEBUT, diantaranya seperti ketenteraan,kepolisian, beberapa agensi penguatkuasaan yang tertentu dan pelbagai lagi..
Maka hari ini, 25 Mac adalah hari bersejarah bagi PDRM, iaitu antara agensi keselamatan negara yang tertua di mana PDRM ini telah banyak menabur bakti bagi memastikan rakyat dibawah jagaannya sentiasa selamat harmoni dan sejahtera..
Kami Angkatan Bahaman dengan ini mengucapkan "SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS YANG KE-208" dengan harapan agar agensi ini lebih telus ,berintegriti,cekap,ADIL dan AMANAH. SEKIAN dalam urusan seharian.
ANGAKATAN BAHAMAN,
BUAIAN REVOLUSI.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

"SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS YANG KE-208" 

Monday, 23 March 2015

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN 23 MAC 2015

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Angkatan Bahaman
23 Mac 2015
ANGKATAN BAHAMAN MENGECAM PENANGKAPAN 80 ORANG PARA AKTIVIS DAN WAKIL RAKYAT DI DALAM BANTAHAN ANTI CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) DI HQ KASTAM KELANA JAYA.
Pertubuhan Angkatan Bahaman mengecam sekeras-kerasnya pihak berkuasa yang telah menahan seramai 80 orang para aktivis dan wakil rakyat di dalam bantahan anti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) di luar ibu pejabat Kastam, Kelana Jaya, siang tadi.
Pertubuhan Angkatan Bahaman menganggap penangkapan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa ini merupakan satu pencabulan kepada keadilan bersuara dalam tuntutan lunas demokrasi, di mana rakyat sepatutnya berhak untuk menyuarakan apa jua pendapat dan cadangan terhadap apa-apa juga dasar atau perancangan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan, kerana dalam tuntutan demokrasi itu sememangnya turut melibatkan rakyat bersama pemerintah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemakmuran bagi sesebuah negara.
Bantahan anti cukai GST yang diketuai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) melalui Setiausaha Agungnya, komrad Arulchelvan bersama komrad-komrad yang lain dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang didahului oleh komrad Badrul Hisham Shahrin telah bersama lebih 100 orang para aktivis dan wakil rakyat yang lain seperti MP Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar, MP Kuala Krai, Dr.Hatta Ramli, dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad serta Sasterawan Negara, A.Samad Said telah berkumpul seawal pagi di Ibu Pejabat Utama (HQ) Jabatan Kastam, di Kelana Jaya, dan 'rombongan rakyat' ini telah membawa membawa bersama memorandum dan 106 soalan yang perlu dijawab secara telus dan jujur oleh pihak Kastam kerana di dalam pelaksanaan cukai GST ini, Jabatan Kastam lah yang akan memainkan peranan utama dalam pelaksanaannya kelak.
Namun begitu, ketika 'rombongan rakyat' ini mengajukan soalan-soalan kepada Ketua Pengarah Kastam, Dato' Sri Khazali Bin Haji Ahmad yang lambat tiba di HQ Kastam tersebut, Dato' Sri Khazali hanya menjawab dua daripada 106 soalan yang dikemukakan rakyat berhubung pelaksanaan cukai GST ini. Dan salah satu jawapan daripada soalan yang telah disoal kepada beliau, beliau hanya mampu menjawab, "Perintah dari Parlimen. Saya hanya melaksanakan."
Jawapan yang sangat "lemah" ini telah menggambarkan sikap tidak profesionalisme oleh seorang pegawai yang berpangkat besar dalam sebuah jabatan kerajaan di mana pegawai yang berpangkat besar seperti beliau ini sepatutnya lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat selaras dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Amatlah tidak relevan sama sekali apabila sekurang-kurangnya 60 orang dari pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk turun mengawal bantahan ini sedangkan para aktivis dan wakil rakyat yang hadir mengemukakan bantahan ini di HQ Kastam Kelana Jaya itu bukanlah mereka yang terlibat dalam jenayah besar selain hanya mengemukakan persoalan daripada rakyat yang inginkan jawapan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan cukai GST yang bakal dilaksanakan pada minggu depan (1 April 2015).
Pertubuhan Angkatan Bahaman dengan ini secara jelas berpendirian bahawa apa jua alasan yang digunakan terhadap penangkapan para aktivis dan wakil rakyat yang terlibat dalam bantahan anti cukai GST ini adalah tidak adil dan tidak wajar, selaras dengan tuntutan bersuara dalam proses demokrasi yang telah lama dijalankan di dalam negara kita ini.
Tindakan menangkap dan menghukum rakyat dan wakil rakyat yang mahukan penjelasan secara terperinci daripada pihak kerajaan secara khususnya di dalam pelaksanaan cukai GST ini hanya akan menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap motif utama pelaksanaan cukai yang dianggap membebankan rakyat kelas rendah di negara ini ketika rakyat pada masa yang sama terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang makin merudum ekoran kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dan kos hutang seisi rumah yang semakin meningkat naik ketika ini.
Pertubuhan Angkatan Bahaman dengan ini menggesa pihak berkuasa supaya membebaskan segera 80 orang para aktivis dan wakil rakyat yang ditahan ketika bantahan ini diadakan dan Pertubuhan Angkatan Bahaman juga menyeru kepada rakyat-rakyat Malaysia prihatin yang lain supaya tampil ke khalayak bagi mengemukakan persoalan pelaksanaan cukai GST ini dan seterusnya akan terus menentang dan membantah cukai yang menindas rakyat marhaen seperti cukai GST ini!
Abdul Razak Bin Endut
Presiden Pertubuhan Angkatan Bahaman
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Thursday, 19 March 2015

BAGAIMANA SEBUAH NGO BERFUNGSI DAN TERUS KEKAL RELEVAN

CIRI-CIRI SEBUAH NGO

Sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lazimnya bersifat memberi servis, menganjurkan aktiviti, dan juga advokasi (pendesak). Sebagai sebuah NGO yang dibarisi oleh rata-rata anak muda tempatan, Angkatan Bahaman akan cuba memenuhi ketiga-tiga peranan bagi sesebuah pertubuhan NGO ini.
Yang pertama, bersifat memberi servis, contohnya sentiasa menjalankan kerja-kerja dan khidmat sosial kebajikan. Selain itu memberi tumpuan kepada sesuatu aspek yang bersifat khusus seperti membantu pemuliharaan alam semulajadi juga boleh dikategorikan sebagai memberi servis. Angkatan Bahaman akan sentiasa fokus terhadap khidmat sosial kebajikan terutama untuk kawasan tempatan dan kawasan sekitar amnya. Tenaga-tenaga muda dari Angkatan Bahaman sentiasa bersiap-siaga dalam memberi khidmat yang terbaik untuk memberi khidmat yang pantas dan efisien, sesuai dengan matlamat penubuhan Angkatan Bahaman itu sendiri. Dalam erti kata lain, Angkatan Bahaman akan cuba menjadi sebuah NGO yang bersifat " pertubuhan masyarakat sivil".
Penganjuran aktiviti pula melibatkan program-program yang sentiasa diadakan untuk memberi kemudahan, pencerahan minda, dan segala yang berkaitan dengan keperluan masyarakat setempat. Disini, Angkatan Bahaman akan memastikan kami sentiasa aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang melibatkan aktiviti indoor mahupun aktiviti-aktiviti outdoor. Di samping penganjuran forum, dialog, dan wacana yang kerap dianjurkan oleh Angkatan Bahaman untuk memberi pencerahan dan budaya "sapere aude!" (beranilah berfikir) kepada penduduk setempat, Angkatan Bahaman juga akan aktif kepada aktiviti yang melibatkan aktiviti-aktiviti outdoor seperti menganjurkan aktiviti memanjat gunung, bersukan, derma darah, dan program-program yang berkaitan.
Advokasi (pendesak) pula bolehlah difahami sebagai mengemukakan pandangan pilihan (alternatif) kepada mana-mana pihak yang berautoriti di mana pandangan dan pendapat yang diajukan adalah bersifat membina dan membawa kepada kemaslahatan (kepentingan) umum dalam erti kata yang sebenarnya. Mungkin lazimnya kita melihat NGO-NGO yang bersifat advokasi ini lazimnya berdiri bagi pihak kerajaan yang memerintah mahupun pihak pembangkang yang berbeza dengan ideologi dengan pihak pemerintah, namun Angkatan Bahaman sekali menegaskan, Angkatan Bahaman sebagai sebuah NGO yang bebas daripada mana-mana unsur dan entiti-entiti politik, tetapi Angkatan Bahaman akan sentiasa cuba menjadi pertubuhan yang bersifat politikal kerana dengan hanya bersifat politikal, Angkatan Bahaman boleh menyuarakan pendapat serta pandangan, dan seterusnya Angkatan Bahaman mampu menjadi ejen perubahan serta penentu hala tuju politik tempatan jika Angkatan Bahaman berjaya mengadaptasikannya secara sistematik. Ini sesuai dengan prinsip Angkatan Bahaman demi matlamat pembinaan modal insan yang menuju kepada pengurusan negara yang lebih baik.
Angkatan Bahaman,
Duta Kasih-Sayang,
Buaian Revolusi.

Wednesday, 18 March 2015

SAPERE AUDE!

BERANILAH BERFIKIR!

Sapere aude! (Beranilah berfikir)! Inilah slogan semangat pencerahan untuk berfikir secara kendiri yang dibawa oleh ahli falsafah Jerman Immanuel Kant (1724-1804) dalam artikel beliau berjudul "Was ist Aufklarung?" (Apa Itu Pencerahan) yang telah diterbitkan pada tahun 1784.
Semangat "sapere aude"! ini lah yang ingin dibawa oleh Angkatan Bahaman untuk anak-anak muda di Temerloh dan kawasan sekitar khususnya. Ini juga sesuai dengan semangat wahyu pertama untuk Nabi Muhammad S.A.W di Gua Hira', iaitu Iqra' (bacalah!). Kerana permulaan berfikir itu adalah mengetahui dan salah satu kaedah yang paling penting untuk mengetahui adalah daripada membaca!
Ini tidaklah menghairankan kerana sebenarnya Temerloh dan budaya berfikir kritis telah berakar umbi sejak zaman-berzaman. Ambil saja contoh, sejak sekian lama Ahli Parlimen dari Temerloh, sentiasa menjadi Menteri dan Timbalan Menteri di dalam kabinet kerajaan (Dato' Saifuddin Abdullah contohnya). Abaikan mereka ini daripada parti politik mana. Angkatan Bahaman adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berdiri di atas landasan mana-mana parti dan entiti politik secara amnya.
Angkatan Bahaman ingin menerapkan nilai-nilai berfikir kritis kepada anak-anak muda dan penduduk-penduduk Temerloh khususnya, ini bererti sikap anak-anak muda di Temerloh ini tidak lah perlu lagi bersikap jumud terhadap kongkongan minda dari parti politik pilihan masing-masing mahupun nilai-nilai terkebelakang konservatime yang diwarisi dari budaya dan adat setempat.
Atas dasar itu, Angkatan Bahaman kerap mengadakan dan bakal mengadakan lebih banyak forum, wacana dan dialog dan program-program yang berkaitan untuk melibatkan anak-anak muda Temerloh dan sekitar untuk mengambil sama semangat "sapere aude"! (beranilah berfikir), kerana dengan semangat ini lah, anak-anak muda Temerloh dan sekitar dapat terus maju berdikari membangunkan negara, bangsa dan agama tercinta.
Semangat sapere aude! ini perlu dibawa pada setiap jenis pekerjaan yang dilakukan anak-anak muda Temerloh. Samada berniaga, bekerja sendiri, pekerja kerajaan, mahupun pelajar, sewajarnya semua anak-anak muda perlu mempunyai semangat sapere aude! ini.
Untuk anak-anak muda Temerloh dan penduduk-penduduk Temerloh serta sekitar, ayuh lah bersama program-program Angkatan Bahaman selepas ini, kita bersapere aude! demi membina Temerloh yang lebih baik!
Sapere Aude! Beranilah berfikir!
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Tuesday, 17 March 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 17 MAC 2015

LAPORAN BERITA FORUM ANJURAN PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

Orang muda kurang main peranan dalam politik


Sinar Harian
M.Feisal Norawi
Selasa, 17 Mac 2015

TEMERLOH - Golongan muda yang mempunyai jati diri utuh berasaskan ketinggian ilmu boleh menjadi ejen perubahan dan penentu hala tuju politik negara jika ia diadaptasi secara sistematik.

Wartawan bebas, Hashim Abdullah berkata, terdapat satu fenomena yang melanda parti politik dalam negara sekarang apabila orang muda tidak lagi berperanan secara berkesan sebagai pendesak kepada usaha mempertahan prinsip kenegaraan dengan matlamat pembinaan negara.

Sebaliknya, kata beliau, golongan muda hanyut dibuai isu dalaman parti masing-masing, maka fungsi tersebut boleh diambil alih anak muda kalangan badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya kurang setuju jika anak muda bergerak menuju kepada usaha menjadi kuasa ketiga, sebaliknya mereka lebih sesuai menjadi golongan pendesak," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung forum bertajuk Masa Depan Politik Tempatan anjuran NGO Angkatan Bahaman di Dataran Temerloh, Sabtu lepas.

Turut serta sebagai panel pada forum yang membariskan anak tempatan Temerloh ialah, Ketua Pegawai Ekskutif Global Moderate Of Movement Foundation (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah, Peguam, Ahmad NIzam Hamid, sementara Syed Putra Syed Ahmad sebagai moderator.

Terdahulu dalam pembentangannya, Hashim melahirkan rasa kecewanya kerana suasana politik negara semakin suram dan sering dilanda masalah yang memperlihatkan kurang diplomasi dalam usaha mencari penyelesaian sesuatu isu sehingga menjejaskan usaha pembentukan negara yang lebih makmur dan harmoni.

"Saya lihat amalan politik parti politik semakin sempit dan sangat konservatif, mereka terlalu takut melangkah ke hadapan dan melakukan perubahan lebih baik.

 "Saya ambil contoh, bagaimana proses peralihan kuasa seseorang pemimpin tertinggi, mengapa harus berlaku krisis sehingga embunuh nilai keadilan hanya semata-mata menggunakan hak dan kebenaran undang-undang dalam perlembagaan sedangkan ia boleh diubah dengan mudah?, katamya.

Beliau berkata, dalam menangani isu itu, proses perlantikan berasaskan penggal pilihan raya sebagaimana diamalkan di Amerika Syarikat dan Iran adalah yang terbaik.


Posting asal boleh didapati di Facebook Angkatan Bahaman

Sumber: Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Selasa, 17 Mac 2015 (m/s 40)


Sunday, 15 March 2015

SELESAI FORUM "MASA DEPAN POLITIK TEMPATAN: GONE CERITA KAT TEMERLOH WEH"

JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT!

Selesai sudah forum "Masa Depan Politik Tempatan: Gone Citer Kat Temerloh Weh", bersama para panelis, moderator dan pengunjung-pengunjung yang hebat-hebat kesemuanya malam tadi. Angkatan Bahaman dengan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada para panelis, Dato' Saifuddin Abdullah, saudara Ahmad Nizam Hamid dan saudara Hashim Abdullah, dan moderator saudara Syed Putra Syed Ahmad yang telah membawa perjalanan forum ini dengan baik dan begitu mantap sekali malam tadi. Tidak lupa kepada pengerusi acara, saudara JR The DJ yang sentiasa menghiburkan khalayak dengan telatah tawanya.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pihak berkuasa kerana membenarkan penggunaan tapak lokasi forum walaupun permit yang kami pohon untuk melaksanakan forum berhampiran Dataran Temerloh itu sudah agak terlewat dan tidak ketinggalan ucapan terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak polis sukarelawan yang memberikan kerjasama yang amat baik dengan memantau dan mengawasi dengan begitu cemerlang di tapak lokasi forum demi memastikan perjalanan forum sentiasa berjalan lancar dan jayanya.

Akhir kata, Angkatan Bahaman ingin sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada para pengunjung kerana kehadiran anda semua membuktikan bahawa pendekatan politik menyantuni di meja forum adalah jauh lebih baik dari pengamalan politik yang bersikap reaksioner, mengadu domba, fitnah menfitnah dan saling memaki antara satu sama lain. Politik ilmiah, politik perbincangan seperti yang diajukan oleh salah seorang ahli panel malam tadi, Dato' Saifuddin Abdullah melalui gagasan "Politik Baru"nya itu lah yang cuba dibawa oleh Angkatan Bahaman, kerana Temerloh ini memang sudah secara tradisinya menjadi landskap kepada politik negara semenjak era sebelum kemerdekaan lagi (melalui gerakan kiri PKMM, API, AWAS, PETA dsb).

Dengan berjayanya forum rasmi pertama setelah Angkatan Bahaman didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 20 November tahun lalu, Angkatan Bahaman dengan ini merancang untuk mengadakan lebih banyak forum, dialog dan pelbagai lagi aktiviti yang merakyat khususnya kepada penduduk-penduduk Temerloh dan sesiapa yang berminat untuk menyumbang untuk pergerakan aktiviti Angkatan Bahaman selepas ini, bolehlah menyumbang terus ke akaun Maybank Angkatan Bahaman di nombor akaun 156057564939.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman