Friday, 6 November 2015

PANDUAN DAN LANGKAH-LANGKAH UMUM SEBELUM, SEMASA, DAN SELEPAS BANJIR.

Panduan Dan Langkah-Langkah Umum Sebelum, Semasa, Dan Selepas Banjir.
Negeri-negeri di Pantai Timur kini mula memasuki musim tengkujuh (atau musim pejur mengikut dialek di negeri Pahang). Jabatan-jabatan kerajaan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur kini sudah mula membekukan cuti para kakitangan masing-masing bagi menghadapi persediaan banjir untuk tahun ini.
Misalnya, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kini sudah membekukan cuti seramai 1400 kakitangan mereka bagi persediaan awal jika daerah Kuantan dilanda banjir atau bah besar seperti tahun lepas. Manakala para sukarelawan juga sudah dipersiapkan untuk turun membantu kawasan-kawasan yang mungkin dilanda bah untuk tahun ini.
Seramai 885,000 sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negara kini sudah siap dalam mengerahkan tenaga para sukarekawan mereka dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir kali ini dengan 200 sukarelawan JPAM di sekitar Kuala Lumpur sudah bersiap siaga untuk mengerah tenaga bagi membantu mangsa-mangsa banjir khusus di negeri-negeri Pantai Timur.
Disini kami sertakan sedikit panduan dan langkah-langkah dari JPAM kepada masyarakat umum dalam menghadapi risiko bah pada tahun ini, khusus bagi yang tinggal berdekatan dengan kawasan yang berisiko untuk dilanda bah seperti mereka yang menghuni petempatan berhampiran tebing-tebing sungai dan kawasan berpaya.
PANDUAN DAN LANGKAH MENGHADAPI BANJIR
PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
• Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
• Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
• Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
• Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
• Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
• Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
SEBELUM BANJIR - SEMASA TANDA-TANDA DIKESAN
• Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
• Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
• Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
• Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
• Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.
SEMASA BANJIR - SEMASA PEMINDAHAN
• Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
• Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
• Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.
SEMASA BANJIR - DI DALAM KENDERAAN
• Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
• Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah. ke tempat yang selamat
SEMASA BANJIR - DI DALAM RUMAH
• Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
• Bersedia dengan peralatan kecemasan.
• Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.
SEMASA BANJIR - DI LUAR RUMAH
• Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
• Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
• Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
• Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
• Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
• Jangan minum air banjir.
SELEPAS BANJIR
• Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yabg berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
• Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
• Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
• Jangan terus memasukki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tersembunyi.
SELEPAS BANJIR - SEMASA MEMASUKI BANGUNAN
• Pakai kasut.
• Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
• Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
• Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
SELEPAS BANJIR - PERIKSA ANCAMAN BAHAYA
• Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
• Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
• Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
• Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
• Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
• Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
• Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
Sumber maklumat: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


Thursday, 5 November 2015

TERIMA KASIH TOK DIN

DI FACEBOOK

Posting asal boleh dilihat di Facebook Nasoruddin Shah Mat





p/s: berkenaan Ahli Parlimen Temerloh, kami Angkatan Bahaman no komen!. Kahkahkah!

PAK ZAMAN TEH DALAM KENANGAN

AL-FATIHAH

Pada hari ini, 13 tahun yang lalu, atau lebih tepat pada 5 November 2002 telah pulangnya seorang pejuang kemerdekaan yang ulung dari bumi Temerloh, Pahang iaitu almarhum Kamarulzaman Haji Teh (Pak Zaman) ke rahmatullah.
Mungkin nama almarhum Pak Zaman tidaklah begitu tersohor seperti para tokoh pejuang kemerdekaan arus perdana yang lain di mana nama dan catatan sejarah perjuangan mereka sudah banyak terpahat di galeri-galeri tokoh, buku teks sejarah sekolah dan muzium-muzium sejarah di negara ini, namun sumbangan almarhum Pak Zaman yang begitu besar terutama pada era pra Darurat 1948 wajar dihargai oleh generasi yang sudah mengecapi erti kemerdekaan yang dinikmati pada hari ini.
Dengan penglibatan almarhum Pak Zaman dalam kancah menuntut kemerdekaan daripada penjajah telah bermula seawal umur 19 tahun apabila almarhum Pak Zaman menyertai Kesatuan Melayu Muda (atau Kesatuan Malaya Merdeka mengikut nama rahsianya), pada tahun 1938, almarhum Pak Zaman terus mengorak langkah memperjuangkan kemerdekaan, walaupun sehingga akhir hayatnya, almarhum Pak Zaman masih menganggap kemerdekaan negara ini hanya separuh masak kerana pegangan prinsip almarhum yang menginginkan rakyat di negara ini terus bebas dari mentaliti feudalisme, dan seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar bebas daripada kelas yang menindas dan kelas yang tertindas.
Disini disertakan sedikit ringkasan terjemahan artikel dan temu bual bersama Pak Zaman dari portal Malaysiakini. Temu bual yang dijalankan ini berlaku dua tahun sebelum almarhum Pak Zaman pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Al-Fatihah.
"Pak Zaman"
"Selagi kita kekal bermentaliti hamba (kepada manusia yang lain), kita akan sentiasa menjadi hamba-hamba kepada mereka yang berkepentingan.
Sejarah mengajar kita bahawa selagi tidak ada kesedaran politik , kita akan selamanya ditindas.
Ini berlaku jika kita kurang kesedaran politik. Namun, apabila kita mempunyai kesedaran politik, kita tidak akan membiarkan orang lain untuk menindas kita " Kamarulzaman Teh memberitahu Malaysiakini dalam satu temu bual pada November 2000.
Beliau berumur 80 tahun , buta (sebelah mata) dan tidak dapat berjalan, serta telah dilupakan oleh kebanyakan orang (di negara ini).
Beliau bukan hanya seorang lelaki tua yang sedang menyampaikan kata-kata hikmah mengenai kesedaran politik. Beliau sewajarnya diiktiraf setelah menjadi tahanan politik yang paling lama di negara ini, iaitu selama 22 tahun, ini semua kerana tekadnya untuk berjuang demi kebebasan yang sebenar untuk tanah airnya.
Dalam temu bual itu, beliau berkata, beliau belum melihat impiannya tercapai walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
"Apa yang saya perjuangkan selama beberapa dekad yang lalu masih belum dicapai. Kita masih dibelenggu mentaliti (menjadi) hamba (kepada manusia yang lain) dan kita masih belum mempunyai pemimpin yang betul-betul berjiwa rakyat."
"Selagi pemimpin yang dipilih (masih) mencuba pelbagai helah untuk menjaga kepentingan mereka , perjuangan kita kepada bangsa yang benar-benar bebas masih belum berakhir ," katanya.
Tetapi Kamarulzaman (sendiri) tidak akan mengetahui bila impiannya akan menjadi kenyataan. Beliau (akhirnya telah) meninggal dunia di Selatan Thailand pada kira-kira 10.30 pagi pada 5 November 2002 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di wilayah Narathiwat pada hari yang sama.
Kredit foto: Kini Dan Silam (matamin02.blogspot.com)

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman






Tuesday, 3 November 2015

MENGIMBAU SEJARAH BAH BESAR ZAMAN TORI DI PAHANG

Mengimbau Sejarah Bah Besar Zaman Tori di Pahang.
Negeri-negeri Pantai Timur kini sudah memasuki musim tengkujuh atau 'musim pëjur' mengikut dialek rakyat Pahang. Musim pëjur ini umumnya bermula selepas peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan purata jumlah taburan hujan yang turun lebih banyak seawal bulan November, Disember dan Januari khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia.
Negeri Pahang adalah antara kawasan yang kerap dilanda banjir besar atau lebih dikenali dengan panggilan 'boh besor' dalam dialek tempatan. 'Zaman tori' yang dimaksudkan dalam tajuk catatan ini pula lebih mudah difahami sebagai zaman klasik, juga sebutan dalam dialek tempatan.
Menurut rekod sejarah moden, antara boh besor zaman tori yang pernah melanda negeri Pahang adalah pada tahun 1923. Bah yang berlaku pada tahun 1923 ketika itu melibatkan kerosakan yang agak teruk terutama bagi daerah yang berada dalam sepanjang jajaran Sungai Pahang seperti daerah Lipis, Temerloh, Kuantan hingga Pekan.
Tambahan pula, ketika ini, rakyat Pahang masih lagi bergantung kepada sungai sebagai 'pusat ketamadunan', justeru ramailah rakyat Pahang yang menjadi mangsa dalam bah ini, samada menjadi mangsa kematian ketika bah, atau menjadi mangsa yang kehilangan atau kerosakan harta benda pada waktu itu.
Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1924, bah sekali lagi sehingga menyebabkan British yang mentadbir Pahang di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Bersekutu ketika itu mengalami masalah kekurangan beras yang sangat serius akibat padi-padi paya yang ditanam oleh rakyat Pahang ketika itu telah rosak ditenggelami banjir. Pentadbiran British di Pahang kemudian cuba membeli beras daripada negeri jajahan mereka yang lain dan kemudian mengumpul beras-beras ini di Mentakab sebelum membawa beras-beras ini untuk keperluan rakyat Pahang melalui akses jalan raya ke Pekan.
Dua tahun kemudian, sekali lagi bah besar melanda negeri Pahang. Bah pada tahun 1926 ini antara yang terkenal dalam sejarah kerana bukan bah besar ini bukan sahaja melanda dan merosakkan negeri Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur semenanjung Tanah Melayu seperti negeri Kelantan dan Terengganu (Kelantan dan Terengganu pada waktu itu diletak dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu) malah bah besar ini turut melanda Kuala Lumpur, ibu kota pentadbiran utama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu dan juga negeri Perak, sekutu negeri Pahang dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada era ini.
Bah besar pada tahun 1926 yang juga digelar "Bah Merah" (kerana katanya air bah ketika ini berwarna merah) ini menenggelami keseluruhan kota Kuala Lumpur dan menyebabkan rakyat Pahang sendiri berada dalam keadaan kebuluran akibat tanam-tanaman seperti padi yang rosak akibat direndam banjir. Ini terjadi kerana pada waktu ini, rakyat Pahang majoritinya masih mengusahakan sendiri tanaman padi di paya-paya sebagai cara utama dalam mendapatkan beras.
Mengikut mitos juga, dalam bah besar pada tahun 1926 ini, ramai saksi telah melihat antara naga yang terdapat di Sungai Pahang, iaitu Seri Daik telah keluar dari Sungai Tembeling, menghilir menuju ke Kuala Sungai Pahang dan kemudian masuk ke Laut China Selatan.
Tokoh politik dan sasterawan tersohor kelahiran Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, iaitu almarhum Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) turut pernah membuat beberapa catatan kisah beliau ketika berhadapan dengan bah besar ini pada waktu itu.
Malah, ketika berkempen dalam pilihanraya umum di Parlimen Temerloh ketika mewakili Barisan Sosialis pada tahun 1959, almarhum Pak Sako secara sinis pernah menyatakan "ya, bukan saja Jepun tu koi yang bawok masuk, boh besor 1926 tu pun koi bawok masuk juge" sebagai satu sindiran kepada segolongan suku Kampar di Temerloh yang cuba melakukan pembunuhan karakter kepada beliau pada waktu itu. Segelintir golongan Kampar di Temerloh telah mengungkit dengan pertuduhan yang kononnya almarhum Pak Sako lah yang membawa masuk penjajah fasis Jepun ke Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua dahulu.
Bah besar kemudian juga pernah berlaku selepas era penjajahan fasis Jepun. Namun, bah yang berlaku pada tahun 1946 itu dikatakan tidaklah sebesar yang pernah berlaku pada tahun 1926 ini.
Bah yang tercatat seterusnya melanda negeri Pahang adalah bah besar yang melanda pada musim tengkujuh tahun 1970. Setahun kemudian, bah besar kembali melanda pada tahun 1971. Kedua-dua bah besar yang melanda pada awal 1970an ini kemudian banyak mengubah landskap sosial, ekonomi, dan politik di negeri Pahang kemudiannya.
Bah pada tahun 1971 ini melanda negeri Pahang pada awal bulan Januari pada waktu itu. Bukan setakat negeri Pahang sahaja, malah 50% bandaraya Kuala Lumpur pada waktu ini teruk ditenggelami banjir, selain Sabah dan Sarawak turut menerima hujan lebat tiada henti sehingga Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu almarhum Tun Abdul Razak terpaksa mengisytiharkan Darurat selain menubuhkan dua jawatankuasa Kabinet yang berperanan memberi bantuan dan melaksanakan pemulihan banjir pada waktu itu.
Daerah Pekan, Pahang yang diwakili Tun Razak sendiri pada waktu itu adalah antara daerah yang teruk terkena tempias banjir pada tahun ini. Dikatakan pada waktu ini, hujan lebat yang tidak henti-henti selama satu minggu antara faktor utama yang mendorong bah terburuk dalam sejarah negara ini.
Malah, cerita mitos mengenai naga turut tersebar pada bah tahun 1971 apabila bah tersebut berlaku dikatakan untuk mempersiapkan naga dari Gunung Tahan turun keluar melalui Sungai Jelai menuju ke Kuala Sungai Pahang, di Pekan. Sehingga kini, dikatakan di suatu kawasan bertanjung yang bermuarakan Sungai Pahang di Kampung Kerambit, Kuala Lipis, terdapat lekuk yang berbentuk seperti huruf 'S', kesan daripada laluan naga yang pernah keluar menghilir ke Sungai Pahang pada bah tahun itu.
Rujukan dan diubahsuai dari :
1) Jabatan Meteorologi Malaysia
2) Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Pahang Daily Online)
3) Mengimbau Bah Besar 1926, 1971 (Utusan Malaysia)
4) Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan (1996)
5) Cerita lisan orang-orang tua mengenai naga di Sungai Pahang.

Monday, 26 October 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 26 OKTOBER 2015

Apa jadi pada skatepark Temerloh?

Wartawan Sinar Harian
26 Oktober 2015

TEMERLOH - Pertubuhan Angkatan Bahaman menggesa prasarana di Taman Sukan Ekstrem (Skatepark) Temerloh diperbaiki dan dinaik taraf memandangkan keadaan kemudahan di situ sangat mengecewakan.

Koordinator Sukan Pertubuhan Angkatan Bahaman, Hassanal Bolkiah Hassan Basri berkata, keadaan kemudahan taman sukan ekstrem yang digunakan peminat sukan BMX dan papan luncur menjadi bualan hangat di laman sosial Facebook selepas hampir setahun banir yang berlaku hujung tahun lalu.

Menurutnya, sejak rosak akibat banjir, ia seolah-olah tidak dipedulikan hingga banyak peralatan dan kemudahan yang sudah dinaik taraf sebelum ini rosak semula.

"Kontroversi mengenai kemudahan di taman sukan ekstrem ini sudah lama kedengaran sejak ia dibuka Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada 2003.

"Akibat tidak ada saluran tepat untuk meluahkan masalah ini, keluhan pemain papan seluncur ini kemudian hanya berlegar di laman Facebook sahaja, katanya.

Sementara itu, seorang lagi Koordinator Pertubuhan Angkatan Bahaman, Ahmad Sabri Lokman berkata, sebelum ini terdapat pemimpin tempatan yang cakna dengan masalah dihadapi dan boleh menyalurkan terus kepada PBT mengenai keluh kesah dihadapi pemain sukan ekstrem itu.

Menurutnya, akibat tidak ada jadual berkala untuk memantau kemudahan yang disediakan, akhirnya prasarana yang ada rosak semula.

"Pertukaran pemimpin atasan di peringkat PBT menyukarkan lagi masalah yang dihadapi serta karenah birokrasi dan mainan politik pemimpin tertentu, menyusahkan kami disini.

Selepas banjir besar lalu, banyak kerosakan pada kemudahan yang ada ini seperti lantai merekah, lampu limpah tidak berfungsi, tandas rosak, dan pelbagai masalah lain.

"PBT menyalurkan peruntukan RM30.000 bagi memasang lampu limpah ini beberapa tahun lalu tetapi kini hanya tinggal lima yang berfungsi," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Sabri berkata, paling teruk prasarana terpenting bagi sukan papan selaju seperti 'mini ramp' atau 'half pipe' langsung tidak boleh digunakan akibat tidak diselenggara.

Menurutnya, ia belum mengambil kira reka bentuk 'skatepark' yang sudah ketinggalan zaman serta tidak mengikut piawaian biasa berbanding di daerah lain yang lebih maju.

"Sewajarnya PBT menyedari asas sebelum menyediakan skatepark yang mengikut piawaian memandangkan ia boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain.

"Temerloh sebagai bandar kedua yang terbesar di Pahang sepatutnya mempunyai kemudahan skatepark yang ulung dan bukan hanya sekadar taman sukan ekstrem di peringkat Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sahaja,"katanya.

Artikel asal boleh dilihat di akhbar Sinar Harian







PERGINYA SEORANG PEJUANG KEMERDEKAAN DARI KAMPUNG BERHALA GANTANG, TEMERLOH.

AL-FATIHAH

Perginya seorang lagi pejuang kemerdekaan yang tidak didendang, berasal dari bumi perjuangan Temerloh ini sendiri, atau lebih khusus, dari Kampung Bukit Gantang, Temerloh, Pahang. Arwah aki Awang Ismail, atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Sukur, telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya pada awal pagi tadi, jam 2.45 pagi waktu di Thailand, kerana sakit tua. Al-Fatihah.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Iqkram Ismail

Almarhum Pak Sukur diapit bersama komrad Angkatan Bahaman, Iqkram Ismail (kiri) dan Syahnizam Lateh (kanan) ketika mereka melawat Kampung Perdamaian Chulaborn Pattana 12 pada 18 Mei 2014.

Komrad Buku Jalanan Temerloh, Naem Nazri bersama almarhum Pak Sukur dan Iqkram Ismail selaku komrad Angkatan Bahaman

Sunday, 25 October 2015

SOLIDARITI BERSAMA WARGA SELATAN THAI DALAM MENGINGATI PERISTIWA BERDARAH TAKBAI 2004

SOLIDARITI!

Solidariti Bersama Warga Selatan Thai Dalam Mengingati Peristiwa Berdarah Takbai 2004.
Hari ini, pada 25 Oktober 2015, genap 11 tahun berlakunya 'Peristiwa berdarah Takbai', iaitu satu peristiwa dalam era moden yang sangat bersejarah sepanjang perjuangan rakyat di Selatan Thai. Peristiwa berdarah Takbai ini berlaku pada 25 Oktober 2004, di mana seramai 85 penduduk Selatan Thai secara rasmi disahkan maut akibat kekejaman anggota-anggota tentera Thailand.
Anggota-anggota tentera Thailand pada waktu itu telah menahan dan menindih anggota badan para mangsa secara beramai-ramai di dalam trak anggota tentera. Lebih menyayat hati, kesemua mereka yang terkorban ini sedang menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan pada waktu itu.
Seperti berita yang dapat disoroti dalam media arus perdana, peristiwa berdarah Takbai ini begitu mendapat perhatian yang meluas seluruh dunia, terutama di negara kita, Malaysia sementelah Selatan Thai adalah jiran kepada negara kita di bahagian utara Semenanjung. Faktor geografi ini membuatkan ramai daripada rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal berdekatan sempadan Thai mempunyai ramai sanak saudara mara dan rakan-rakan di sana. Jadi, tidak hairanlah peristiwa berdarah Takbai ini juga begitu menyentap dan menyentuh hati rakyat Malaysia umumnya.
Sehingga hari ini, anggaran jumlah kematian di Selatan Thai sudah menjangkau 6000 nyawa selain 10 000 mengalami kecederaan sepanjang pergolakan disana. Manakala beribu-ribu anak kecil menjadi yatim piatu setelah berlakunya peristiwa berdarah Takbai ini.
Ini adalah anggaran rasmi, tanpa mengambil kira kematian yang berlaku akibat penculikan, penderaan dan pembunuhan yang disyaki dilakukan secara terancang oleh pihak yang berkepentingan disana. Ini dapat dilihat melalui rekod-rekod peningkatan aduan yang diterima daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia selama ini.
Kawasan 'Red Zone' yang diwartakan junta dengan berselindung di sebalik perintah Darurat sebelum ini menyaksikan lebih ramai mangsa yang tertindas tanpa diketahui dunia luar. Ini suatu keadaan yang amat membimbangkan kita semua.
Juga bagi pertubuhan Angkatan Bahaman yang berbasis di daerah Temerloh, Pahang, disini pihak kami temui ramai bekas warga Selatan Thai yang berhijrah ke mari, atas faktor kekacauan yang terus berlaku saban hari disana. Malah penghijrahan dari Selatan Thai ke daerah Temerloh akibat kekacauan yang berlaku disana ini telah berlaku seawal 1900an yang lalu, di mana pada pada waktu itu, pemberontakan Haji Sulung yang dipatahkan membuatkan ramai pengikut Haji Sulung kemudian bertebaran mencari perlindungan di Semenanjung ini. Peristiwa berdarah Takbai ini kemudiannya tidak lepas daripada pandangan warga Temerloh khususnya juga.
Selatan Thai, yang bergolak begitu lama usai seawal abad ke 19, atau kira-kira 200 tahun dahulu lagi, kini memasuki era dimensi baru dalam melihat naratif pensejarahan perjuangan rakyat di Selatan Thai selepas peristiwa berdarah Takbai ini meletus pada 11 tahun yang lalu.
Sehingga ke hari ini, peristiwa berdarah Takbai ini terus hangat diperkatakan kembali, kerana bukan saja untuk mengenang kepada kaum keluarga atau saudara mara mereka yang terkorban akibat kekejaman tentera Thailand pada bulan Ramadhan itu, tetapi sebagai pencarian dan penebusan terhadap keadilan yang belum selesai kepada waris-waris mangsa dalam peristiwa berdarah ini.
Waris-waris mangsa serta seluruh warga Selatan Thai khususnya masih sentiasa menagih keadilan dan belas simpati daripada masyarakat antarabangsa sementelah apa itu makna bagi keadilan untuk mangsa-mangsa yang terkorban ketika peristiwa berdarah Takbai ini tidak lagi membawa erti apa-apa setelah Mahkamah Agung Thailand baru-baru ini menyalahkan kepada oksigen (faktor ketiadaan oksigen) dan bukannya pula kepada kekejaman anggota-anggota tentera Thailand pada waktu itu sebagai punca utama kepada tewasnya 85 mangsa di peristiwa berdarah Takbai pada waktu itu.
Keputusan dan alasan yang dilihat agak kurang masuk akal daripada Mahkamah Agung Thailand ini membuatkan ramai daripada kalangan waris mangsa dalam peristiwa berdarah ini semakin hilang kepercayaan terhadap institusi-institusi di dalam negara Thailand sendiri bagi memperjuangkan keadilan bagi pihak mereka. Masakan oksigen pula yang dipersalahkan?
Pertubuhan Angkatan Bahaman berhubung rapat dan sentiasa mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Selatan Thai bersama sebuah NGO yang aktif dan cekap dalam memperjuangkan keadilan bagi isu-isu di Selatan Thai iaitu North South Initiatives (NSI) yang berpengkalan di Petaling Jaya Selangor.
Pengalaman NSI yang luas dalam setiap isu di Selatan Thai ini memandangkan mereka juga menjalinkan hubungan kerjasama yang amat rapat bersama gerakan massa dan gerakan pelajar seperti Persatuan Pelajar dan Anak Muda Pattani (PerMAS) di Selatan Thai selain NSI sendiri yang aktif melibatkan diri setelah Pertubuhan Pax Romana yang bermula dalam isu ini sebagai antara 'pioneer' awal akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Pertubuhan Angkatan Bahaman sebagai salah satu usaha kami dalam mewujudkan solidariti terhadap apa yang berlaku di Selatan Thailand, teristimewa bagi solidariti bersama warga selatan Thai dalam mengingati peristiwa berdarah 25 Oktober 2004 ini.
Angkatan Bahaman.
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman