Wednesday 31 December 2014

2014 MENUTUP TIRAI DALAM BANJIR

DARI FACEBOOK

Posting asal boleh dilihat di FB GROUP TEMERLOH

Kelihatan El Presidente Angkatan Bahaman (tiga dari depan) berkayak bersama pasukan kayak Negeri Sembilan mengayuh kayak di bandar Temerloh yang sudah lumpuh ditenggelami bah.

*Sama-sama kita mendoakan semoga banjir segera surut. Amin.

DARI LAMAN SESAWANG HALUAN SELANGOR

HALUAN Selangor Terus Santuni Mangsa Banjir Temerloh




  TEMERLOH, 31 Dis 2014 – Pasukan pertama relawan HALUAN Cawangan Selangor meneruskan usaha menyatuni mangsa banjir di beberapa lokasi di sini yang telah terputus bekalan dan terperangkap oleh bencana banjir sejak lima hari lepas.
Hari ini merupakan hari kedua bagi 10 orang relawan yang datang bersama dua kenderaan pacuan empat roda menyantuni mangsa banjir di sini. Mereka diketuai oleh Prof Madya Ir Dr Solehuddin Shuib yang mempunyai pengalaman menyertai Misi Kemanusiaan Acheh pada tahun 2004.
Pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia. Seramai 400 orang mangsa banjir yang mendapat perlindungan di sini dilaporkan hampir kehabisan bekalan makanan. Tinjauan mendapati air masih mengalir dengan deras walaupun banjir sudah semakin surut menyebabkan usaha-usaha penghantaran bekalan menggunakan bot menjadi sukar dan berbahaya.
Pasukan relawan telah menghantar bantuan makanan kering beserta dua tong gas untuk mangsa-mangsa banjir yang masih berteduh di sana dengan bot dan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Taman Sri Semantan. Enam buah keluarga telah terperangkap di sini sejak lima hari lepas dan telah terputus bekalan makanan serta kehabisan susu bayi. Mereka telah disantuni oleh pasukan kedua yang terpaksa berhadapan dengan cabaran dan ujian ketika mengharungi banjir untuk menghantar bantuan kepada mangsa.
Dalam perjalanan menuju ke lokasi tersebut, kenderaan pacuan empat roda yang digunakan mereka telah mengalami kerosakan setelah meredah banjir sedalam 1.5 meter. Alhamdulillah, pasukan ini telah dibantu oleh sepasukan relawan lain atas semangat persaudaraan yang kebetulan ingin ke lokasi yang sama untuk menghantar bantuan.
Pada jam 4.00 petang, sebuah lori lima tan yang sarat muatan dengan barang sumbangan orang ramai dari Pusat Operasi Banjir (POB) HALUAN di Bandar Baru Bangi telah selamat tiba di pusat operasi di sini.
Kg Buntut Pulau. Sebahagian barang-barang bantuan yang baru diterima daripada POB seperti makanan asas dan air minuman bersih telah dihantar kepada mangsa banjir di Kg Buntut Pulau yang telah terputus dan kehabisan bekalan makanan dan minuman sejak bermula episod banjir. Mereka juga terputus bekalan elektrik sejak lima hari yang lepas.
Seorang wakil HALUAN dan seorang wakil daripada sebuah NGO tempatan, Angkatan Bahaman dibantu pihak tentera untuk mengharungi arus Sungai Pahang yang deras untuk sampai ke tempat tersebut. Pihak HALUAN telah menyerahkan barangan bantuan tersebut kepada penyelia pusat, Encik Ubaidillah untuk diagihkan kepada penduduk di sana. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin membantu penduduk di sini.
Taman Temerloh Makmur. Relawan HALUAN juga sempat menghantar bantuan bekalan makanan, air minuman dan bekalan air bersih, susu bayi, lampin bayi dan tuala wanita kepada 20 buah keluarga di sini yang turut kehabisan bekalan makanan, minuman dan terputus bekalan elektrik sejak bermulanya banjir hingga sekarang.
Menjelang lewat petang, beberapa lokasi mangsa banjir yang dirancang untuk disantuni pada hari ini terpaksa ditangguhkan keesokan hari atas faktor keselamatan. Penghantaran barangan melalui bot dalam keadaan arus sungai dan banjir yang deras akan membahayakan relawan sekiranya diteruskan pada waktu malam.
“Berakhlak, Mendidik, Berbakti”
—-
                          Relawan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyampaikan bantuan ke SK Jalan Bahagia.

Bagi mereka yang prihatin untuk menyumbangkan bantuan boleh terus menghubungi pihak HALUAN di Pusat Operasi Banjir (POB) yang beroperasi 24 Jam di Bandar Baru Bangi di talian 011–31746909 (Encik Izzat Abd Ghani) atau melalui akaun-akaun di bawah ini:
Nama Akaun: Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 562263502611
Bank: Maybank
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)

No Akaun: 14023010025718

Bank: Bank Islam

* Sila email slip/resit sumbangan ke unit.kewangan@haluan.org.my
Posting asal boleh dilihat di laman web HALUAN