Tuesday 13 October 2015

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN 13 OKTOBER 2015

KENYATAAN MEDIA
13 OKTOBER 2015
BANTAH KENAIKAN TOL LEBUHRAYA KUALA LUMPUR- KARAK, SELENGGARA DAN PROMOSIKAN SEGERA JALAN PERSEKUTUAN BENTONG - GOMBAK SEBAGAI JALAN ALTERNATIF UNTUK ELAK TOL.
Kenaikan kadar tol yang diumumkan oleh beberapa syarikat konsesi tol seperti Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Tol yang mengendalikan Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Maju Expressway Sdn Bhd yang mengendalikan Lebuh Raya Maju (MEX), ANIH Berhad yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak dan pelbagai syarikat pengendali lebuh raya yang lain (kecuali PLUS) ternyata disambut dengan reaksi negatif majoriti rakyat Malaysia terutama para pengguna tol yang akan terlibat dalam kenaikan harga tol yang akan bermula pada Khamis ini.
Kenaikan dengan harga baru yang bermula dari RM0.30 hingga RM3.00 mengikut kawasan tol-tol yang diselenggarakan oleh syarikat-syarikat pengendali lebuh raya ini ternyata tidak disenangi majoriti para pengguna tol, terutama bagi para pengguna di kawasan antara bandar khususnya yang akan menggunakan lebuhraya untuk ke tempat kerja, ke bandaraya, malah di taman perumahan tertentu di Lembah Klang, keluar sahaja dari kawasan perumahan, tiada akses lain untuk keluar ke tempat yang ingin ditujui, kecuali melalui tol di satu-satunya akses lebuh raya yang disediakan.
Malah, pelbagai persatuan yang terlibat dalam menjaga kebajikan para pengguna seperti Presiden Gabungan Persatuan - Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) antaranya dengan jelas telah menolak kenaikan harga tol yang baharu ini kerana kenaikan harga tol dilihat bakal membebankan rakyat Malaysia ketika majoriti rakyat pada hari ini sudah pun terbeban dengan masalah ekonomi yang lain seperti kos sara hidup yang semakin tinggi, masalah penurunan nilai matawang Ringgit di pasaran antarabangsa, kadar hutang isi rumah yang makin meninggi, dan pelbagai masalah lain yang berkaitan lagi.
Melihat ANIH Berhad yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di mana syarikat lebuhraya ini turut sama terlibat dalam kenaikan kadar tol ini di Tol Bentong dan Tol Gombak, pertubuhan Angkatan Bahaman meminta pihak kerajaan untuk terlibat secara aktif dalam memohon kepada syarikat lebuhraya ANIH Berhad ini membatalkan terus atau menangguhkan sementara kadar kenaikan tol di Tol Bentong dan Tol Gombak sehingga kerajaan mengkaji dan kemudian mengambil langkah-langkah konkrit terhadap beberapa perkara yang berkaitan.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan khususnya sebelum melaksanakan kenaikan kadar tol khususnya di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak ini adalah memantau dan menyelenggara dengan lebih rapi penggunaan jalan alternatif sebagai jalan pilihan yang percuma tanpa perlu melalui tol kepada pengguna raya yang kurang berkemampuan atau bagi yang ingin berjimat seperti saranan para menteri sendiri sementelah kenaikan kos sara hidup yang makin meninggi sejak akhir-akhir ini.
Jika dilihat pada penggunaan Lebuh Raya Kuala-Lumpur - Karak yang dihubungkan melalui Lebuh Raya Pantai Timur, kita dapat melihat kenaikan harga tol di Tol Bentong dan Tol Gombak ini pada akhirnya pastinya menjejaskan hampir seluruh pengguna tol dari negeri-negeri Pantai Timur seperti negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Ini seterusnya merelevankan penggunaan jalan alternatif (yang sebetulnya adalah jalan utama) jika para pengguna jalan raya dari pantai timur yang tidak ingin memasuki tol Bentong dan Tol Gombak jika mereka ingin memasuki kota Kuala Lumpur. Para pengguna dari Pantai Timur yang ingin memasuki lebuhraya ini kemudiannya boleh melalui jalan alternatif iaitu di jalan persekutuan Bentong - Gombak yang diselenggarakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
Memang jalan alternatif ini sudah ada, dan jalan alternatif ini telah pun dibina sejak dari era kolonial di Tanah Melayu lagi. Namun yang menjadi masalah kini adalah apabila jalan alternatif yang tidak perlu melalui tol ini tidak diselenggarakan dengan baik.
Malah, hampir kebanyakan pengguna tetap lebuh raya Kuala Lumpur - Karak langsung tidak mengetahui lokasi jalan alternatif ini kerana kurangnya promosi untuk menggunakan jalan alternatif ini oleh pihak kerajaan, juga kerana risiko yang tinggi jika pengguna kenderaan seperti kereta khususnya memilih untuk menggunakan jalan alternatif ini.
Kesimpulan ini berdasarkan pemerhatian dari pertubuhan Angkatan Bahaman sendiri sebelum ini, di mana kami melihat jalan alternatif ni tidak diselenggarakan dengan rapi dan jalan yang rosak serta tanah runtuh yang berlaku agak kerap disitu, terutamanya di musim tengkujuh ini.
Satu transformasi yang bersungguh terhadap kondisi jalan persekutuan Bentong - Gombak ini haruslah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat di Pantai Timur sementelah jalan ini diselenggarakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), iaitu salah satu jabatan kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab membina dan menjaga infrastruktur awam di Malaysia.
ABDUL RAZAK ENDUT.
PENGERUSI PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Bahaman, Abdul Razak Endut