Wednesday 25 November 2015

BERSAMA CICIT DATUK BAHAMAN

PAK LONG, CICIT DATUK BAHAMAN DAN CUCU CIKGU JANTAN.
Usai sepetang bersama cicit Datuk Bahaman, cucu kepada cikgu Jantan, Abdullah Zamli Bin Alias, atau lebih mesra digelar Pak Long.
Sungguh bersemangat dan berkobar-kobar Pak Long berkongsi cerita, khususnya mengenai perjuangan moyang dan aki beliau.

Tuesday 17 November 2015

FAIR LABOUR PRACTICES IN THE PALM OIL INDUSTRY

BENGKEL BURUH-BURUH SAWIT

Pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu, wakil Angkatan Bahaman telah dijemput sebagai pemerhati di dalam bengkel pertubuhan badan-badan sivil yang membawa tajuk "Fair Labour Practices In The Palm Oil Industry" yang bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Workshop 2 hari yang dipermudahcarakan oleh NGO North South Initiatives dari Petaling Jaya, Selangor ini membincangkan pelbagai perkara mengenai hak asasi buruh-buruh dalam sektor perkebunan kelapa sawit khususnya dalam menghadapi tahun mendatang.
Selain itu, tujuan lain bengkel ini juga adalah untuk membina jaringan bersama dalam menuntut kepada gabungan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) bagi memastikan hak-hak buruh perkebunan kelapa sawit sentiasa diamalkan di setiap lapangan perkebunan kelapa sawit khususnya bagi negara Malaysia dan Indonesia sebagai negara-negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia pada waktu ini.
Negara jiran terdekat, Indonesia turut menyertai bengkel ini dengan diwakili para delegasi dari organisasi-organisasi yang bernaung di bawah Serikat Buruh Indonesia (Serbundo) samada yang berpusat di Sumatera Utara, di Jawa, di Kalimantan dan pelbagai pelusuk pulau di Indonesia lagi.
Selain itu, wakil dari Malaysia seperti Tenaganita turut menyumbang buah idea dan fikiran dalam bengkel ini selain wakil penganjur untuk penganjuran bengkel ini adalah pertubuhan Rainforest Action Network yang berpusat di California, Amerika Syarikat.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman












Thursday 12 November 2015

MESYUARAT PERSEDIAAN BANJIR

BERSAMA JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM)

Siang tadi, Angkatan Bahaman bersama para NGO di Temerloh telah dijemput oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh untuk bermesyuarat bagi penyelarasan pengurusan bencana untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang mungkin melanda pada hujung tahun ini.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai sukarelawan banjir Angkatan Bahaman bolehlah menghubungi pihak kami dengan menghantar mesej di inbox page ini. Terima kasih. smile emoticon

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman



Sunday 8 November 2015

JAMBATAN PATAH TENGGELAM BAH 1971

DARI AKHBAR BERITA HARIAN, 16 JANUARI 1971

Sesiapa yang berada atau pernah ke daerah Temerloh, tentu masih dapat melihat kesan runtuhan jambatan lama (lebih juga dikenali dengan nama jambatan patah oleh masyarakat tempatan) merentasi Sungai Pahang yang memisahkan antara kawasan Kampung Pengkalan Manggis dan Kampung Tebal. 

Sebelum bah besar pada tahun 1971, jambatan yang merentasi Sungai Pahang ini adalah penghubung utama bagi laluan dari bandar Temerloh menuju ke Maran dan seterusnya ke Kuantan.

Namun, bah besar yang melanda pada tahun 1971 di Temerloh pada waktu itu telah menyebabkan jambatan utama ini tenggelam dan akhirnya musnah dek arus air Sungai Pahang yang begitu kuat pada waktu itu.

Seperti yang tercatat dalam kawat Berita Harian, pada 16 Januari 1971 muka 7, (bergaris merah dalam gambar di bawah), dinyatakan:

"Jembatan Temerloh tenggelam

Bagini-lah pandangan dari udara Jembatan Temerloh di Pahang yang telah musnah dan maseh tenggelam oleh banjir yang melanda daerah itu baru2 ini. Sunggoh pun keadaan banjir di-kawasan itu hampir puleh saperti biasa, keadaan jembatan itu telah memutuskan langsong hubongan jalanraya ka-Maran."

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


Sumber foto dan artikel: Berita Harian, 16 Januari 1971.
Kredit: National Library Board, Singapore. 

Saturday 7 November 2015

PAK SAKO DALAM KENANGAN

AL-FATIHAH, PAK SAKO (1909-1991)

Hari Ini Dalam Sejarah.
Tarikh 7 November 1991, perginya seorang pejuang kemerdekaan, tokoh politik, sasterawan, dan nasionalis yang ulung, kelahiran Kampung Bukit Siguntang (kampung tradisional berhampiran Kampung Buntot Pulau dan Kampung Tengah) Temerloh, Pahang.
Beliau adalah Ishak Haji Muhammad, atau lebih dikenali dengan nama Pak Sako.
Memetik sedikit kata-kata pendahuluan oleh Almarhum A. Samad Ismail dalam memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan, "Sebagai remaja, model saya bukan wartawan atau sasterawan di Amerika atau Eropah. Model saya ialah Pak Sako dan Kajai. Malah Pak Sako menjadi wira generasi muda sebelum perang. Sako ketika itu seorang anak muda yang gagah dan tampan. Dia juga menempa nama sebagai wartawan, juga sebagai nasionalis yang mempunyai karismanya sendiri".
Begitulah Pak Sako sudah mencipta mitosnya yang sendiri, selain mengamalkan cara hidup yang sederhana dalam sepanjang hidupnya, dengan perwatakan merendah diri. Seperti kata mantan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin, “Ishak Haji Muhammad, Pak Sako atau Hantu Raya kalau dimahkotakan sebagai raja, baginda akan turun dari takhtanya, kalau menjadi presiden atau perdana menteri, beliau akan menghilangkan diri, tetapi diberikan mesin taip, beliau akan menulis sampai mati”.
Mungkin arus perdana terlalu menumpukan jasa beliau sebagai seorang sasterawan yang ulung dan seolah-olah cuba menutup dan melupakan jasa agung beliau dalam kancah memperjuangkan kemerdekaan, di mana almarhum bukan saja radikal untuk memperjuangkan kemerdekaan melalui pena semata-mata, tetapi juga dengan melalui badan-badan politik kiri yang disertai dan diketuai olehnya sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Malah, setelah negara ini mencapai kemerdekaan yang dimenangkan daripada kaum kanan, Pak Sako terus berusaha menabur bakti untuk mengisi nilai-nilai kemerdekaan.
Perjuangan beliau ini diteruskan sehingga pemergian almarhum ke rahmatullah akibat angin ahmar dalam usia 82 tahun pada pagi Jumaat, 7 November 1991 di Kampung Bukit Raya, Kilometer 16, Jalan Hulu Langat, Selangor dan kemudian diterbangkan oleh helikopter untuk dimakamkan di Kampung Buntot Pulau, Temerloh, Pahang sesuai dengan wasiat almarhum yang ingin dimakamkan berhampiran dengan kaum keluarganya merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh negara.
Seperti coretan Almarhum Mustapha Hussein, pengasas bersama parti politik melayu pertama (Kesatuan Melayu Muda atau Kesatuan Malaya Merdeka) untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah bersama almarhum Pak Sako, almarhum Mustapha Hussein menyatakan "Kepada saya, Pak Sako boleh dikatakan seorang Bohemian Melayu yang asli. Kebebasan merupakan cita-cita utama hidupnya. Beliau juga jujur dan ikhlas dalam segala perjuangannya.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman




Friday 6 November 2015

PANDUAN DAN LANGKAH-LANGKAH UMUM SEBELUM, SEMASA, DAN SELEPAS BANJIR.

Panduan Dan Langkah-Langkah Umum Sebelum, Semasa, Dan Selepas Banjir.
Negeri-negeri di Pantai Timur kini mula memasuki musim tengkujuh (atau musim pejur mengikut dialek di negeri Pahang). Jabatan-jabatan kerajaan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur kini sudah mula membekukan cuti para kakitangan masing-masing bagi menghadapi persediaan banjir untuk tahun ini.
Misalnya, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kini sudah membekukan cuti seramai 1400 kakitangan mereka bagi persediaan awal jika daerah Kuantan dilanda banjir atau bah besar seperti tahun lepas. Manakala para sukarelawan juga sudah dipersiapkan untuk turun membantu kawasan-kawasan yang mungkin dilanda bah untuk tahun ini.
Seramai 885,000 sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negara kini sudah siap dalam mengerahkan tenaga para sukarekawan mereka dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir kali ini dengan 200 sukarelawan JPAM di sekitar Kuala Lumpur sudah bersiap siaga untuk mengerah tenaga bagi membantu mangsa-mangsa banjir khusus di negeri-negeri Pantai Timur.
Disini kami sertakan sedikit panduan dan langkah-langkah dari JPAM kepada masyarakat umum dalam menghadapi risiko bah pada tahun ini, khusus bagi yang tinggal berdekatan dengan kawasan yang berisiko untuk dilanda bah seperti mereka yang menghuni petempatan berhampiran tebing-tebing sungai dan kawasan berpaya.
PANDUAN DAN LANGKAH MENGHADAPI BANJIR
PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
• Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
• Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
• Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
• Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
• Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
• Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
SEBELUM BANJIR - SEMASA TANDA-TANDA DIKESAN
• Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
• Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
• Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
• Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
• Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.
SEMASA BANJIR - SEMASA PEMINDAHAN
• Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
• Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
• Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.
SEMASA BANJIR - DI DALAM KENDERAAN
• Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
• Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah. ke tempat yang selamat
SEMASA BANJIR - DI DALAM RUMAH
• Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
• Bersedia dengan peralatan kecemasan.
• Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.
SEMASA BANJIR - DI LUAR RUMAH
• Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
• Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
• Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
• Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
• Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
• Jangan minum air banjir.
SELEPAS BANJIR
• Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yabg berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
• Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
• Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
• Jangan terus memasukki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tersembunyi.
SELEPAS BANJIR - SEMASA MEMASUKI BANGUNAN
• Pakai kasut.
• Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
• Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
• Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
SELEPAS BANJIR - PERIKSA ANCAMAN BAHAYA
• Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
• Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
• Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
• Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
• Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
• Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
• Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
Sumber maklumat: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


Thursday 5 November 2015

TERIMA KASIH TOK DIN

DI FACEBOOK

Posting asal boleh dilihat di Facebook Nasoruddin Shah Mat





p/s: berkenaan Ahli Parlimen Temerloh, kami Angkatan Bahaman no komen!. Kahkahkah!

PAK ZAMAN TEH DALAM KENANGAN

AL-FATIHAH

Pada hari ini, 13 tahun yang lalu, atau lebih tepat pada 5 November 2002 telah pulangnya seorang pejuang kemerdekaan yang ulung dari bumi Temerloh, Pahang iaitu almarhum Kamarulzaman Haji Teh (Pak Zaman) ke rahmatullah.
Mungkin nama almarhum Pak Zaman tidaklah begitu tersohor seperti para tokoh pejuang kemerdekaan arus perdana yang lain di mana nama dan catatan sejarah perjuangan mereka sudah banyak terpahat di galeri-galeri tokoh, buku teks sejarah sekolah dan muzium-muzium sejarah di negara ini, namun sumbangan almarhum Pak Zaman yang begitu besar terutama pada era pra Darurat 1948 wajar dihargai oleh generasi yang sudah mengecapi erti kemerdekaan yang dinikmati pada hari ini.
Dengan penglibatan almarhum Pak Zaman dalam kancah menuntut kemerdekaan daripada penjajah telah bermula seawal umur 19 tahun apabila almarhum Pak Zaman menyertai Kesatuan Melayu Muda (atau Kesatuan Malaya Merdeka mengikut nama rahsianya), pada tahun 1938, almarhum Pak Zaman terus mengorak langkah memperjuangkan kemerdekaan, walaupun sehingga akhir hayatnya, almarhum Pak Zaman masih menganggap kemerdekaan negara ini hanya separuh masak kerana pegangan prinsip almarhum yang menginginkan rakyat di negara ini terus bebas dari mentaliti feudalisme, dan seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar bebas daripada kelas yang menindas dan kelas yang tertindas.
Disini disertakan sedikit ringkasan terjemahan artikel dan temu bual bersama Pak Zaman dari portal Malaysiakini. Temu bual yang dijalankan ini berlaku dua tahun sebelum almarhum Pak Zaman pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Al-Fatihah.
"Pak Zaman"
"Selagi kita kekal bermentaliti hamba (kepada manusia yang lain), kita akan sentiasa menjadi hamba-hamba kepada mereka yang berkepentingan.
Sejarah mengajar kita bahawa selagi tidak ada kesedaran politik , kita akan selamanya ditindas.
Ini berlaku jika kita kurang kesedaran politik. Namun, apabila kita mempunyai kesedaran politik, kita tidak akan membiarkan orang lain untuk menindas kita " Kamarulzaman Teh memberitahu Malaysiakini dalam satu temu bual pada November 2000.
Beliau berumur 80 tahun , buta (sebelah mata) dan tidak dapat berjalan, serta telah dilupakan oleh kebanyakan orang (di negara ini).
Beliau bukan hanya seorang lelaki tua yang sedang menyampaikan kata-kata hikmah mengenai kesedaran politik. Beliau sewajarnya diiktiraf setelah menjadi tahanan politik yang paling lama di negara ini, iaitu selama 22 tahun, ini semua kerana tekadnya untuk berjuang demi kebebasan yang sebenar untuk tanah airnya.
Dalam temu bual itu, beliau berkata, beliau belum melihat impiannya tercapai walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
"Apa yang saya perjuangkan selama beberapa dekad yang lalu masih belum dicapai. Kita masih dibelenggu mentaliti (menjadi) hamba (kepada manusia yang lain) dan kita masih belum mempunyai pemimpin yang betul-betul berjiwa rakyat."
"Selagi pemimpin yang dipilih (masih) mencuba pelbagai helah untuk menjaga kepentingan mereka , perjuangan kita kepada bangsa yang benar-benar bebas masih belum berakhir ," katanya.
Tetapi Kamarulzaman (sendiri) tidak akan mengetahui bila impiannya akan menjadi kenyataan. Beliau (akhirnya telah) meninggal dunia di Selatan Thailand pada kira-kira 10.30 pagi pada 5 November 2002 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di wilayah Narathiwat pada hari yang sama.
Kredit foto: Kini Dan Silam (matamin02.blogspot.com)

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman






Tuesday 3 November 2015

MENGIMBAU SEJARAH BAH BESAR ZAMAN TORI DI PAHANG

Mengimbau Sejarah Bah Besar Zaman Tori di Pahang.
Negeri-negeri Pantai Timur kini sudah memasuki musim tengkujuh atau 'musim pëjur' mengikut dialek rakyat Pahang. Musim pëjur ini umumnya bermula selepas peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan purata jumlah taburan hujan yang turun lebih banyak seawal bulan November, Disember dan Januari khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia.
Negeri Pahang adalah antara kawasan yang kerap dilanda banjir besar atau lebih dikenali dengan panggilan 'boh besor' dalam dialek tempatan. 'Zaman tori' yang dimaksudkan dalam tajuk catatan ini pula lebih mudah difahami sebagai zaman klasik, juga sebutan dalam dialek tempatan.
Menurut rekod sejarah moden, antara boh besor zaman tori yang pernah melanda negeri Pahang adalah pada tahun 1923. Bah yang berlaku pada tahun 1923 ketika itu melibatkan kerosakan yang agak teruk terutama bagi daerah yang berada dalam sepanjang jajaran Sungai Pahang seperti daerah Lipis, Temerloh, Kuantan hingga Pekan.
Tambahan pula, ketika ini, rakyat Pahang masih lagi bergantung kepada sungai sebagai 'pusat ketamadunan', justeru ramailah rakyat Pahang yang menjadi mangsa dalam bah ini, samada menjadi mangsa kematian ketika bah, atau menjadi mangsa yang kehilangan atau kerosakan harta benda pada waktu itu.
Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1924, bah sekali lagi sehingga menyebabkan British yang mentadbir Pahang di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Bersekutu ketika itu mengalami masalah kekurangan beras yang sangat serius akibat padi-padi paya yang ditanam oleh rakyat Pahang ketika itu telah rosak ditenggelami banjir. Pentadbiran British di Pahang kemudian cuba membeli beras daripada negeri jajahan mereka yang lain dan kemudian mengumpul beras-beras ini di Mentakab sebelum membawa beras-beras ini untuk keperluan rakyat Pahang melalui akses jalan raya ke Pekan.
Dua tahun kemudian, sekali lagi bah besar melanda negeri Pahang. Bah pada tahun 1926 ini antara yang terkenal dalam sejarah kerana bukan bah besar ini bukan sahaja melanda dan merosakkan negeri Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur semenanjung Tanah Melayu seperti negeri Kelantan dan Terengganu (Kelantan dan Terengganu pada waktu itu diletak dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu) malah bah besar ini turut melanda Kuala Lumpur, ibu kota pentadbiran utama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu dan juga negeri Perak, sekutu negeri Pahang dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada era ini.
Bah besar pada tahun 1926 yang juga digelar "Bah Merah" (kerana katanya air bah ketika ini berwarna merah) ini menenggelami keseluruhan kota Kuala Lumpur dan menyebabkan rakyat Pahang sendiri berada dalam keadaan kebuluran akibat tanam-tanaman seperti padi yang rosak akibat direndam banjir. Ini terjadi kerana pada waktu ini, rakyat Pahang majoritinya masih mengusahakan sendiri tanaman padi di paya-paya sebagai cara utama dalam mendapatkan beras.
Mengikut mitos juga, dalam bah besar pada tahun 1926 ini, ramai saksi telah melihat antara naga yang terdapat di Sungai Pahang, iaitu Seri Daik telah keluar dari Sungai Tembeling, menghilir menuju ke Kuala Sungai Pahang dan kemudian masuk ke Laut China Selatan.
Tokoh politik dan sasterawan tersohor kelahiran Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, iaitu almarhum Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) turut pernah membuat beberapa catatan kisah beliau ketika berhadapan dengan bah besar ini pada waktu itu.
Malah, ketika berkempen dalam pilihanraya umum di Parlimen Temerloh ketika mewakili Barisan Sosialis pada tahun 1959, almarhum Pak Sako secara sinis pernah menyatakan "ya, bukan saja Jepun tu koi yang bawok masuk, boh besor 1926 tu pun koi bawok masuk juge" sebagai satu sindiran kepada segolongan suku Kampar di Temerloh yang cuba melakukan pembunuhan karakter kepada beliau pada waktu itu. Segelintir golongan Kampar di Temerloh telah mengungkit dengan pertuduhan yang kononnya almarhum Pak Sako lah yang membawa masuk penjajah fasis Jepun ke Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua dahulu.
Bah besar kemudian juga pernah berlaku selepas era penjajahan fasis Jepun. Namun, bah yang berlaku pada tahun 1946 itu dikatakan tidaklah sebesar yang pernah berlaku pada tahun 1926 ini.
Bah yang tercatat seterusnya melanda negeri Pahang adalah bah besar yang melanda pada musim tengkujuh tahun 1970. Setahun kemudian, bah besar kembali melanda pada tahun 1971. Kedua-dua bah besar yang melanda pada awal 1970an ini kemudian banyak mengubah landskap sosial, ekonomi, dan politik di negeri Pahang kemudiannya.
Bah pada tahun 1971 ini melanda negeri Pahang pada awal bulan Januari pada waktu itu. Bukan setakat negeri Pahang sahaja, malah 50% bandaraya Kuala Lumpur pada waktu ini teruk ditenggelami banjir, selain Sabah dan Sarawak turut menerima hujan lebat tiada henti sehingga Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu almarhum Tun Abdul Razak terpaksa mengisytiharkan Darurat selain menubuhkan dua jawatankuasa Kabinet yang berperanan memberi bantuan dan melaksanakan pemulihan banjir pada waktu itu.
Daerah Pekan, Pahang yang diwakili Tun Razak sendiri pada waktu itu adalah antara daerah yang teruk terkena tempias banjir pada tahun ini. Dikatakan pada waktu ini, hujan lebat yang tidak henti-henti selama satu minggu antara faktor utama yang mendorong bah terburuk dalam sejarah negara ini.
Malah, cerita mitos mengenai naga turut tersebar pada bah tahun 1971 apabila bah tersebut berlaku dikatakan untuk mempersiapkan naga dari Gunung Tahan turun keluar melalui Sungai Jelai menuju ke Kuala Sungai Pahang, di Pekan. Sehingga kini, dikatakan di suatu kawasan bertanjung yang bermuarakan Sungai Pahang di Kampung Kerambit, Kuala Lipis, terdapat lekuk yang berbentuk seperti huruf 'S', kesan daripada laluan naga yang pernah keluar menghilir ke Sungai Pahang pada bah tahun itu.
Rujukan dan diubahsuai dari :
1) Jabatan Meteorologi Malaysia
2) Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Pahang Daily Online)
3) Mengimbau Bah Besar 1926, 1971 (Utusan Malaysia)
4) Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan (1996)
5) Cerita lisan orang-orang tua mengenai naga di Sungai Pahang.