Sunday 15 March 2015

SELESAI FORUM "MASA DEPAN POLITIK TEMPATAN: GONE CERITA KAT TEMERLOH WEH"

JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT!

Selesai sudah forum "Masa Depan Politik Tempatan: Gone Citer Kat Temerloh Weh", bersama para panelis, moderator dan pengunjung-pengunjung yang hebat-hebat kesemuanya malam tadi. Angkatan Bahaman dengan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada para panelis, Dato' Saifuddin Abdullah, saudara Ahmad Nizam Hamid dan saudara Hashim Abdullah, dan moderator saudara Syed Putra Syed Ahmad yang telah membawa perjalanan forum ini dengan baik dan begitu mantap sekali malam tadi. Tidak lupa kepada pengerusi acara, saudara JR The DJ yang sentiasa menghiburkan khalayak dengan telatah tawanya.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pihak berkuasa kerana membenarkan penggunaan tapak lokasi forum walaupun permit yang kami pohon untuk melaksanakan forum berhampiran Dataran Temerloh itu sudah agak terlewat dan tidak ketinggalan ucapan terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak polis sukarelawan yang memberikan kerjasama yang amat baik dengan memantau dan mengawasi dengan begitu cemerlang di tapak lokasi forum demi memastikan perjalanan forum sentiasa berjalan lancar dan jayanya.

Akhir kata, Angkatan Bahaman ingin sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada para pengunjung kerana kehadiran anda semua membuktikan bahawa pendekatan politik menyantuni di meja forum adalah jauh lebih baik dari pengamalan politik yang bersikap reaksioner, mengadu domba, fitnah menfitnah dan saling memaki antara satu sama lain. Politik ilmiah, politik perbincangan seperti yang diajukan oleh salah seorang ahli panel malam tadi, Dato' Saifuddin Abdullah melalui gagasan "Politik Baru"nya itu lah yang cuba dibawa oleh Angkatan Bahaman, kerana Temerloh ini memang sudah secara tradisinya menjadi landskap kepada politik negara semenjak era sebelum kemerdekaan lagi (melalui gerakan kiri PKMM, API, AWAS, PETA dsb).

Dengan berjayanya forum rasmi pertama setelah Angkatan Bahaman didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 20 November tahun lalu, Angkatan Bahaman dengan ini merancang untuk mengadakan lebih banyak forum, dialog dan pelbagai lagi aktiviti yang merakyat khususnya kepada penduduk-penduduk Temerloh dan sesiapa yang berminat untuk menyumbang untuk pergerakan aktiviti Angkatan Bahaman selepas ini, bolehlah menyumbang terus ke akaun Maybank Angkatan Bahaman di nombor akaun 156057564939.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman