Tuesday 29 December 2015

USTAZ IBRAHIM CHIK, ANAK TANI KAMPUNG LUBUK KAWAH, TEMERLOH, PEJUANG KEMERDEKAAN DALAM KENANGAN.

Ustaz Ibrahim Chik (1922-2011)

Pada tarikh hari ini, 29 Disember 2011, negara telah kehilangan seorang pejuang kemerdekaan negara yang telah berkorban jiwa dan raga demi melihat tanah air ini mencapai kemerdekaan yang sejati.
Beliau yang dimaksudkan adalah Ustaz Ibrahim Chik, juga dikenali dengan nama Bung Kamar di dalam perjuangan gerila telah meninggal dunia di Taman Setia Jasa, Temerloh, Pahang.

Beliau dilahirkan pada Disember 1922, di Kampung Sungai Dingin, Mentakab, Pahang Darul Makmur, Sebagai seorang anak tani dalam zaman penjajahan, Ustaz Ibrahim Chik hanya mampu meneruskan pendidikan hingga lulus darjah 5 di Sekolah Melayu, sebelum menyambung pelajaran dalam bidang agama di sekolah pondok di Kampung Lubuk Kawah, Temerloh dan di Pondok Delima, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.

Ustaz Ibrahim Chik mula memasuki kancah perjuangan dalam menuntut kemerdekaan negara ketika berada dalam pertubuhan pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang radikal iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), dipimpin oleh allahyarham Kamarulzaman Teh di peringkat Pahang dan allahyarham Datuk Ahmad Boestamam di peringkat nasional. Slogan API adalah "Merdeka Dengan Darah!"

Kerana kegentaran British melihat rakyat ombak rakyat yang makin membuak untuk menuntut kemerdekaan, British lalu mengharamkan API pada 17 Julai 1947, dan golongan pemuda pada waktu itu menubuhkan pula pertubuhan Ikatan Pembela Tanah Ayer Malaya (PETA) yang didirikan di Temerloh, Pahang pada.9 Oktober 1947. Ustaz Ibrahim Chik kemudian menyertai PETA bagi meneruskan cita-cita perjuangan menuntut kemerdekaan.

 Setelah Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kesemua pertubuhan termasuk PETA telah diharamkan kecuali UMNO. Dengan tiada pilihan, Ustaz Ibrahim Chik telah mengangkat senjata dengan bergabung bersama Tentera Pembebasan Nasional Malaya untuk kemerdekaan total bagi tanah air.

Di dalam kata pengantar memori Ibrahim Chik (2004) mencatatkan, "Ibrahim Chik adalah salah seorang daripada sekian banyak pemuda Lubuk Kawah di Temerloh yang masuk ke hutan mengangkat senjata melawan penjajah dalam gerakan kebangsaan berhaluan kiri. Kebanyakan pemuda Melayu pada ketika itu begitu tebal dengan semangat patriotiknya. Ibrahim dan rakan-rakan seperjuangannya yang rata-rata kuat dengan latar belakang pendidikan agama dari sekolah pondok telah berkorban jiwa dan raga demi cinta mereka kepada tanah air. Dalam tubuh mereka mengalir darah pejuang Pahang yang terkenal gagah berani seperti Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.

Pada masa negara masih huru hara dan darurat, mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Kebanyakan gerakan antipenjajah termasuk Kesatuan Melayu Malaya (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) telah ditekan pergerakannya, United Malays National Organisation (UMNO) yang baru ditubuhkan pula dipenuhi golongan elit dan bangsawan. Parti Komunis Malaya (PKM) yang pada mulanya dibenarkan juga telah diharamkan. Sebagai rakyat bawahan yang muda dan bersemangat, tak mungkin Ibrahim dapat memberikan sumbangan besar kepada gerakan kemerdekaan Tanah Melayu dalam UMNO yang berjuang dengan slogan ‘Hidup Melayu.’

 Dalam API, Ibrahim sudah sebati dengan ‘Merdeka dengan darah!’ Pilihan yang ada hanyalah bergabung dengan rakan-rakan dalam Rejimen ke-10 yang menjadi sayap PKM seperti Abdullah C. D., Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan lain-lain yang sudah bersedia menerima kedatangan beliau. Ibrahim yang begitu petah berpidato kemudiannya diangkat mengetuai bahagian perang saraf dan propaganda PKM.

Dengan tanggungjawab itu, Ibrahim berusaha memenangi hati rakyat untuk turut sama dalam perjuangan bersenjata dan berdarah menuntut kemerdekaan. Beliau ingin melihat Malaya merdeka dan bebas dari cengkaman penjajah British."

Sumber foto: Diambil dan disunting dari (matamin02.blogspot.my). PROFAIL IBRAHIM CHIK - ANGGOTA MARKAS BESAR REJIMEN KE-10 DAN ANGGOTA JKP PKM

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman