Thursday 10 December 2015

PAK SAKO TIDAK MENINGGALKAN SEBARANG HARTA, KENANG ADIK PAK SAKO.

RAKAMAN VIDEO BERSAMA CIKGU KHALID.
Pak Sako, seorang tokoh kemerdekaan, sasterawan, budayawan, politik, wartawan dan pemikir bangsa yang terulung pernah dilahirkan di negara ini. Teristimewa beliau adalah anak kelahiran Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, Pahang.
Dengan status sebagai salah seorang anak rakyat kebanyakan yang mendapat peluang pendidikan di sekolah elit MCKK di era zaman penjajah, Pak Sako boleh saja meneruskan peluang untuk menjadi kaya dan hidup selesa dengan bekerja sebagai pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu di mana pada ketika itu, sangat sedikit anak-anak melayu yang boleh menjawat jawatan dalam pentadbiran British. Jika ada pun, didominasi oleh anak-anak melayu golongan feudal saja. Namun, oleh kerana Pak Sako sudah diresapi dengan semangat patriot yang tulen membenci penjajah, Pak Sako meninggalkan semua ini dan mengabdikan diri pada perjuangan menuntut kemerdekaan 100% daripada sistem kolonialisme.
Walaupun setelah negara ini mencapai kemerdekaan, Pak Sako terus memainkan watak penting sebagai pengisi ruang kemerdekaan dalam tempoh perjalanan tanah air ini menuju sebuah negara bangsa yang bejaya dan berdaulat. Dan sikap besederhana Pak Sako dalam menjalani kehidupan seharian masih tetap dengan kekal sebati dengan diri beliau sehingga akhir hayatnya.
Kisah kesederhanaan Pak Sako dengan masih selesa menjalani kehidupan kampung di Hulu Langat walau terpaksa menjalankan tugas di ibu kota Kuala Lumpur di penghujung usia, tidak punya motokar atau apa-apa kenderaan peribadi, cukup sekadar menaiki bas atau menumpang kenderaan orang lain, selain bersungguh berjuang tanpa kenal erti penting diri sehinga tiada harta yang mampu ditinggalkan kepada warisnya dikongsi bersama oleh adik bongsu beliau, Cikgu Khalid Haji Muhammad dalam sedutan temubual ini.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman