Sunday 29 March 2015

SALUTE UNTUK ANGKATAN BAHAMAN SEL LEMBAH KLANG

#KITALAWAN
Beribu tahniah dan salute kepada Angkatan Bahaman sel (bahagian) Lembah Klang yang telah berjaya mengorganisir hampir 300 para demonstran untuk turut serta di dalam demonstrasi ‪#‎KITALAWAN‬ yang telah dihadiri hampir 10 000 rakyat Malaysia yang membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di mana demonstrasi ni telah memulakan perarakan dari Kompleks Beli Belah Sogo hingga ke KLCC, bagi meraikan perkahwinan anak perempuan Najib Razak di KLCC petang semalam. Walaupun para demonstran telah dihalang oleh pihak berkuasa di Jalan Ampang dan tidak berjaya meneruskan salah satu matlamat asal demo iaitu ingin meraikan hari perkahwinan anak Najib Razak di KLCC, namun para demonstran masih dikira telah begitu berjaya untuk mengunjuk rasa dengan berarak dan melaungkan kata semangat, menjulang sepanduk, mengibarkan bendera 'perlawanan' dalam sepanjang perarakan dari SOGO hingga ke Jalan Ampang itu, serta perarakan yang dianjurkan petang semalam ini juga bersifat cukup santai apabila turut sama dimeriahi dengan aktiviti menyanyi dan menari lagu-lagu pembebasan dan perlawanan yang diketuai oleh gerakan anak muda 'The BangsArt'.
Angkatan Bahaman sel Lembah Klang sebagai antara gerakan yang terlibat sama dalam menyusun demonstrasi #KITALAWAN petang semalam ini terdiri daripada kader-kader dan ahli-ahli Angkatan Bahaman yang bermastautin di Lembah Klang, di mana kader-kader dan ahli-ahli ini adalah anak-anak muda Temerloh yang sedang menuntut pelajaran atau bekerja di sekitar Lembah Klang. Terdapat lebih 30 orang ahli dan 100 orang kader yang berjaya direkrut untuk menjadi sebahagian daripada ahli Angkatan Bahaman sel Lembah Klang ini.
Seperti mana sel utama Angkatan Bahaman di Temerloh, sel Angkatan Bahaman di Lembah Klang turut dianggotai majoriti oleh kader-kader dan ahli-ahli yang bersifat "non partisan" walaupun mereka yang "by partisan" tetap diberi ruang dan peluang yang sama untuk bergiat aktif di dalam pertubuhan Angkatan Bahaman ini.
Demo #KITALAWAN semalam telah membuktikan bahawa perlawanan bagi menentang isu besar dan yang bersifat nasional seperti isu menentang pelaksanaan cukai GST seperti ini turut mampu dimobilasi oleh golongan anak-anak muda tanpa penglibatan dan bayangan figura ahli-ahli politik yang acap kali hanya sering mengambil pendekatan yang bersifat 'kontra-revolusionari' terhadap gerakan anak-anak muda.
Demo pada petang semalam juga telah memperlihatkan bahawa demo #KITALAWAN yang telah berlangsung secara konsisten setiap hari Sabtu petang di Kompleks Beli-Belah Sogo bermula pada 7 Februari lalu berjaya menunjukkan gerakan-gerakan anak muda kini mampu bangkit di era post-ideologi dengan menyusun gerakan anak-anak muda mereka sendiri bagi memobilasi sendiri massa untuk melawan kezaliman, seperti yang telah ditunjukkan oleh pembentukan gerakan #KITALAWAN yang rata-ratanya dianggotai oleh gabungan anak-anak muda termasuk sel Angkatan Bahaman di perantauan (Lembah Klang).
Dengan ini, penglibatan Angkatan Bahaman sel Lembah Klang dalam demo #KITALAWAN petang semalam telah membuktikan bahawa Angkatan Bahaman akan sentiasa berprinsip untuk tidak akan menjadi perkakas bagi mana-mana parti politik mahupun mana-mana pihak-pihak yang berkepentingan, namun Angkatan Bahaman sentiasa wajib mempunyai pernyataan sikap berkait politik kerana sesungguhnya Datuk Bahaman yang namanya telah menjadi inspirasi dan dipahatkan kepada Angkatan Bahaman ini adalah seorang yang politikal! Sehingga berjumpa lagi dalam perlawanan di Hari Buruh pada 1 Mei nanti!
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi!