Thursday 22 October 2015

TEMUBUAL BERSAMA VETERAN PARTAI RAKYAT MALAYA CABANG TEMERLOH

MOHAMED BIN BUSU
Temubual Angkatan Bahaman bersama Mohamed Bin Busu, bekas Bendahari Partai Rakyat Malaya cabang Temerloh, sebuah parti yang sangat berpengaruh dan terkenal di dalam iklim politik daerah Temerloh, umumnya pada tahun 1960an dan 1970an dahulu.
Temubual ini dijalankan atas dasar inisiatif Angkatan Bahaman untuk mencuba mendokumentasikan serba sedikit cerita 'orang-orang lama' bagi membuka dimensi baru dalam penilaian dan pentafsiran sejarah kepada anak-anak muda di Temerloh khususnya pada hari ini sementelah daerah Temerloh umumnya dikenali sebagai gerbang sejarah namun cerita-cerita sejarah tempatan ini sedikit demi sedikit makin lupus dari ingatan warga tempatan umumnya akibat beberapa faktor seperti hegemoni pendidikan yang terlalu menjurus kepada 'pihak yang menang', faktor 'cas keting' politik tempatan itu sendiri, selain tiada inisiatif dari pihak berkuasa tempatan mahupun negeri dalam menjaga khazanah sejarah tempatan seperti yang dilakukan di daerah atau negeri yang lain, juga pelbagai faktor yang lain.
Ini adalah bahagian pertama transkrip temubual Angkatan Bahaman bersama Mohamed Bin Busu atau diringkaskan sebagai Tok Mat sahaja dalam sesi wawancara ini.
Soalan: Selamat malam Tok Mat. Tok Mat adalah orang lama Partai Rakyat Malaya, satu parti yang satu ketika dahulu sangat berpengaruh di daerah Temerloh ini. Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Tok Mat dan bagaimana boleh terlibat dalam kancah perjuangan bersama Partai Rakyat Malaya?.
Tok Mat: Nama penuh saya adalah Mohamed Bin Busu, dan saya dilahirkan pada tahun 1938. Saya berasal daripada Kampung Bukit Pak Silap, di Temerloh, Pahang. Almarhum bapa saya yang bermastautin di Kampung Bukit Pak Silap cuma petani kampung biasa, namun beliau mendokong kuat gerakan kiri bagi menentang penjajahan British ketika itu. Beliau kemudian pernah ditahan dan dipenjarakan di Pekan, Pahang kerana kecenderungan beliau menyokong golongan kiri pada era itu. Dan daripada situ, saya mula terpengaruh untuk terlibat sama dalam gerakan politik lalu saya mendaftarkan diri sebagai ahli Partai Rakyat Malaya pada tahun 1957, iaitu dua tahun selepas parti ini diasaskan almarhum Ahmad Boestamam bersama Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Sosok Pak Sako yang unggul kelahiran anak jati Temerloh sedikit sebanyak menyumbang faktor anak-anak muda di Temerloh pada waktu itu untuk memasuki Partai Rakyat Malaya.
Soalan: Adakah almarhum bapa Tok Mat begitu mendokong kuat gerakan kiri pada waktu itu, sehingga beliau mengangkat senjata sepertimana yang telah dilakukan kebanyakan warga Temerloh pada waktu itu demi memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada penjajahan bangsa asing?
Tok Mat: Almarhum bapa saya, Encik Busu tidak mengangkat senjata. Mungkin pada waktu itu, beliau fikir beliau sudah tua dan sedikit uzur untuk melakukan tindakan sedemikian. Namun, anak perempuan beliau, atau kakak saya, Mariah telah mengangkat senjata dan masuk ke dalam hutan di Temerloh, kemudian bergabung bersama Rejimen Ke 10, Tentera Pembebasan Nasional Malaya yang diasaskan di dalam sebuah kawasan hutan di Kerdau, daerah Temerloh bagi menentang British pada waktu itu.
Soalan: Jika hanya menyokong, dan bukan mengangkat senjata, mengapa almarhum bapa Tok Mat juga ditangkap?. Bukankah pihak British di dalam undang-undang mereka ada menyatakan bahawa setiap rakyat di tanah jajahan British berhak menganut apa jua fahaman dalam ideologi politik, waima fahaman komunisme mahupun fasisme sekalipun?.
Tok Mat: Pada pandangan saya, penangkapan almarhum bapa saya ini adalah strategi licik aparat penjajah untuk mengumpan kakak saya yang ketika itu sedang berjuang mengangkat senjata untuk keluar dari hutan dan menyerah diri kepada pihak British. Dalam kata yang lebih mudah, almarhum bapa saya sengaja 'diculik' dan dijadikan umpan bagi kakak saya berundur dari perjuangan bersenjata. Saya kemudian pernah berjumpa dengan seorang anggota polis yang bernama Che' Lias, dan memarahi beliau kerana anggota polis yang masih di bawah pengurusan British telah menangkap almarhum bapa saya tanpa sebab yang jelas pada era Darurat di Tanah Melayu pada waktu itu.
Soalan: Tok Mat sendiri memasuki Partai Rakyat Malaya ketika Tanah Melayu masih belum mencapai kemerdekaan dan Tanah Melayu ketika itu sendiri masih berada dalam keadaan Darurat. Bagaimana penerimaan warga Temerloh terhadap kewujudan Partai Rakyat Malaya ketika itu, adakah mereka masih berminat dalam soal politik sedangkan mereka sendiri masih berada dalam keadaan huru hara akibat pengisytiharan Darurat pada 20 Jun 1948?
Tok Mat: Warga Temerloh menyambut dengan amat baik penubuhan Partai Rakyat Malaya, lebih-lebih lagi apabila kami menubuhkan cabang di Temerloh. Sambutan yang diberikan penduduk tempatan sangat-sangat menggalakkan, walaupun pagar kurungan masih belum dibuka sepenuhnya oleh penjajah walaupun ketika Darurat sudah diisytiharkan tamat pada tahun 1960.
Soalan: Pagar kurungan? Boleh Tok Mat ceritakan serba sedikit mengenai pagar kurungan?.
Tok Mat: Semasa tempoh Darurat sedang berlangsung, penduduk-penduduk kampung, umumnya yang sudah dicop dengan kawasan hitam seperti di Kampung Lubok Kawah, iaitu kampung di mana ramai anak-anak muda lelaki dan wanita mengangkat senjata masuk ke hutan untuk menentang penjajah British, mereka umumnya golongan tua yang masih tinggal di kampung tersebut dipindahkan ke kawasan baru seperti di Kampung Buntot Pulau. Disini, kawasan kampung ini akan dipagar dan dikawal oleh Home Guard. Pagar yang tinggi mengelilingi kawasan kampung ini lah yang dinamakan pagar kurungan. Setiap pergerakan keluar masuk ke kampung ini akan dikawal, dan penduduk-penduduk kampung ketika itu tidak ubah diperlakukan seperti sekawanan lembu oleh penjajah British, contohnya apabila tiba waktu 7 pagi, pintu pagar kurungan ini akan dibuka, lalu berteraburlah penduduk kampung kurungan ini mencari rezeki, dan apabila jam sudah memasuki 5 petang, berduyun-duyun orang kampung mula kembali untuk memasuki pagar kurungan dan Home Guard yang bekerja di bawah British akan berdiri memerhati, tak ubah lagaknya seperti tuan lembu yang memerhati sekawanan lembu memasuki kandang. Ini sejarah yang anak-anak muda Temerloh perlu tahu!. Tentang bagaimana penjajah British memperlakukan orang-orang kampung ketika itu, malah anak-anak muda, perajurit dan serikandi yang mengangkat senjata menentang British pula dicop sebagai pengganas, dan sebagainya seperti label yang pernah dicop kepada para pahlawan sebelumnya seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, dan Tok Gajah.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman 



GERAKAN KIRI MELAYU DALAM PERJUANGAN KEMERDEKAAN

BUKU CETEKAN KETIGA
Buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan cetakan ketiga (2015) dari Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia dengan cover yang baru, tulisan dari Prof Mohamed Salleh Lamry. Cuba orang Temerloh teka siapa pejuang kemerdekaan berasal daripada Temerloh yang terlihat dalam cover ni?. Dan jangan tak tahu, kebanyakan pejuang kemerdekaan yang terlihat dalam cover ini, walaupun mereka bukan berasal daripada Temerloh, tetapi mereka semua pernah menjadikan Temerloh sebagai kawasan markas induk mereka ketika dalam era menuntut perjuangan kemerdekaan dahulu.
Kredit foto : Puan Saadah Jaafar & Prof Salleh Lamry

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan cetakan ketiga (2015) dari Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.