Monday 4 April 2016

DI AKHBAR SINAR HARIAN 02 APRIL 2016

Paip diminta lebih efisien

M.Feisal Norawi
02 April 2016 

TEMERLOH - Pertubuhan Angkatan Bahaman Temerloh meminta pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sentiasa memastikan bekalan air bersih untuk keperluan penduduk di daerah ini tidak terganggu.

Setiausahanya, Mohamad Ikram Ismail berkata, Paip yang kini telah melalui fasa pengkorporatan mesti mengambil langkah produktif dan efisien bagi memastikan masalah gangguan bekalan air tidak berlaku dan kemudahan asas itu bebas pencemaran.

Tegasnya, Paip perlu pantas menyebarkan maklumat dan sentiasa berinteraksi dengan pengguna  mengenai keadaan terkini bekalan air terawat melalui kekerapan laporan terkini di laman web rasmi mereka.

"Paip juga digesa wujudkan aplikasi telefon pintar yang boleh mudahkan pengguna terima maklumat terkini jika berlaku gangguan atau meklumat berkaitan.

"Contohnya, kadar bekalan air terawat sedia ada di kolam rawatan di loji bekalan air juga perlu dikemas kini dan dihantar melalui aplikasi ini secara terus kepada pemilik akaun," katanya.

Selain itu katanya, polisi Paip dalam memantau dan mengekang kejadian air tidak berhasil atau Non-Revenue-Water sedia ada perlu diperketat dan diperkemas.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Sumber: Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Sabtu, 02 April 2016 (m/s 40)