Tuesday 13 January 2015

TAGLINE "BUAIAN REVOLUSI"

Buaian Revolusi.

Tagline Buaian Revolusi yang digunapakai oleh Pertubuhan Angkatan Bahaman adalah diilhamkan daripada petikan tulisan memoir Eng Ming Ching @ Suriani Abdullah, serikandi daripada Rejimen ke 10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) yang telah menggelarkan daerah Temerloh sebagai daerah "buaian revolusi".
Suriani Abdullah telah menjoloki daerah Temerloh sebagai "buaian revolusi" disebabkan daerah Temerloh ini telah menyimpan seribu satu kisah sejarah perjuangan sebenar orang Temerloh menentang penjajah Inggeris.
Namun disebabkan siri perjuangan kepahlawanan orang Temerloh ini terpendam dan tertimbus selama ini, tidak banyak lagi sejarah yang diketahui khususnya oleh generasi muda.
Prof. Madya Dr Mohamed Salleh Lamry dari Universiti Kebangsaan Malaya ada menyebut, walaupun di negara ini ada beberapa tempat yang boleh disebut sebagai pusat gerakan nasionalis kiri , seperti Padang Rengas (Perak), Jenderam (Selangor), dan Muar (Johor), tetapi Temerloh merupakan tempat yang lebih penting dan lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat yang lain. Di sinilah lahirnya pasukan pahlawan, bintang harapan kaum tani. Di sinilah berkembang dan mendewasanya pasukan Rejimen Ke-10 dan dari sinilah juga ia berjaya melancarkan pertempuran-pertempuran yang bertubi-tubi terhadap musuh (penjajah) serta telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar lagi penting kepada usaha kemerdekaan dan usaha pembebasan nasional tanah air kita.
Prof Salleh Lamry kemudian menyatakan bahawa terdapat tiga gerakan menentang penjajah di Temerloh dan apa yang menariknya ketiga-tiga gerakan itu disokong penuh oleh majoriti penduduk tempatan. Lebih hebat lagi, kesemua gerakan tersebut disertai oleh sukarelawan dari luar baik dari serata ceruk negeri Pahang hinggalah seluruh pelosok tanah air berhijrah ke Temerloh menyertai perjuangan menentang penjajah ini.
Gerakan pertama dicetuskan oleh Dato’ Bahaman selepas campur tangan penjajah Inggeris dan meletakkan wakil residennya di Pahang sekitar tahun 1887. Gerakan penentangan oleh Bahaman dari Lanchang itu begitu kuat dan semangat perjuangannya telah menjadi inspirasi dan merebak meluas hampir ke seluruh negeri Pahang. Meskipun gerakan penentangan itu berakhir dengan kegagalan, tetapi gerakan itu telah memberi ilham, semangat dan dorongan kepada generasi anak Pahang yang berikutnya untuk meneruskan perjuangan antipenjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.
Gerakan kedua muncul pada zaman perjuangan kemerdekaan pula, khususnya pada zaman sebelum darurat (1945-1948) di Temerloh oleh nasionalis kiri atau radikal yang kuat dan mendapat dukungan yang menyeluruh daripada penduduk kawasan itu. Pada waktu itu persatuan orang Melayu negeri-negeri (yang akhirnya menubuhkan Umno) masih meneriakkan “hidup Melayu” dan menentang Malayan Union. Penduduk Temerloh telahpun melaungkan kalimah “merdeka” melalui Kesatuan Melayu Muda yang diasas dan dipimpin oleh dua orang anak watan Temerloh iaitu Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Mohamad (Pak Sako).
Di Temerloh juga begitu subur dengan perjuangan merdeka melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Kamarulzaman Teh, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM).
Selepas diharamkan mereka menyertai Ikatan Pembela Tanah Ayer (PETA). Kesemua ahli persatuan-persatuan tersebut pernah bergabung dan berarak di sekeliling bandar Temerloh dengan melalungkan “merdeka! Merdeka!”. Akhirnya setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, orang Melayu di Temerloh dan pejuang-pejuang dari luar secara beramai-ramai telah menyertai perjuangan bersenjata iaitu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM).
Namun begitu Temerloh hari ini hanya dikenali sebagai ‘Temerloh, Titik Tengah Semenanjung’ saja manakala pihak berkuasa pula hanya meletakkan ‘Temerloh Bandar Ikan Patin’. Sementara khazanah sejarah dan keistimewaan perjuangan penduduknya tidak ditonjolkan langsung.
Adalah diharapkan dengan Pertubuhan Angkatan Bahaman menaikkan kembali julukan "buaian revolusi" ini, orang-orang Temerloh khususnya anak-anak muda Temerloh dapat menggali kembali sejarah yang telah cuba dikuburkan oleh pihak yang berkepentingan lalu seterusnya generasi muda Temerloh dapat bersama menghargai nilai sejarah daripada perjuangan orang-orang Temerloh yang telah menempakan diri dalam perjuangan memerdekakan tanah air yang tercinta ini.
Rujukan dan diubahsuai dari :
1) Prof Madya Dr. Mohamed Salleh Lamry (Gerakan dan Tokoh Kiri, Kamarulzaman Teh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan)
2) Khairy Atan (Pahang Selamat, Rakyat Nikmat)
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.


MENCUCI BERSAMA MAYBANK GROUP KUALA LUMPUR DI KAMPUNG BANGAU TANJUNG.

MISI MENCUCI.

Angkatan Bahaman hari ini bersama Maybank Group Kuala Lumpur dalam misi pembersihan pasca banjir 2014/2015. Team kami hari ini mencuci rumah mangsa-mangsa banjir khusus bagi rumah yang didiami warga tua di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh. Terima kasih semua yang terlibat dalam menjayakan misi hari ini. Semoga kita berjumpa lagi di Temerloh di waktu akan datang, khusus team Maybank Group, Kuala Lumpur.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi,
Duta Penyelamat dan Kasih Sayang. 
Para komrad Angkatan Bahaman bergambar kenangan bersama team Maybank Group dari Kuala Lumpur. 

PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

Sedikit Mukadimah Mengenai Pertubuhan Angkatan Bahaman

Pertubuhan Angkatan Bahaman yang berpusat di daerah buaian revolusi iaitu Temerloh, Pahang ini didokong daripada kalangan aktivis- aktivis tegar yang konsisten memperjuangkan agenda rakyat dan gerakan massa. Diantaranya pendidikan, alam sekitar, sosial & budaya, ekonomi, perundangan dan kemanusiaan.

Kolaborasi golongan buruh tani, mahasiswa, cendekiawan, agamawan, pengamal undang undang, aktivis alam sekitar & kebudayaan, aktivis kemanusiaan, ekonomis, dan penulis adalah ramuan yang digauli bersama menjadi rempah dan rencah bagi memantapkan gerakan Pertubuhan Angkatan Bahaman ini.

Bermula dari pinggir desa hingga ke pusat kota, kami Angkatan Bahaman menyeru agar anda bersama kami bagi menjayakan misi dan visi Angkatan Bahaman.

Pertubuhan Angkatan Bahaman bukanlah satu pertubuhan samseng/gangster jalanan, tetapi lebih fokus kepada kerja-kerja kebajikan rakyat.
Pertubuhan Angkatan Bahaman juga bukanlah mencari kesempatan untuk memperoleh imbuhan dari pihak kerajaan, tetapi ianya lebih fokus dalam memajukan pemikiran rakyat.

Ayuh anak muda, bumi Temerloh ini terkenal dengan sejarah agungnya, buaian revolusi pernah berkumandang dibumi Temerloh ini. Cuba anda bayangkan, pejamkan mata anda, saksikan dengan mata hati, bumi yang anda pijak, langit yg anda junjung, darah darah merah pernah mengalir dibumi ini, disaksikan alam, denyut denyut nadinya yang masih bergetar, terasa sakit dan bahangnya, pengorbanan mereka adalah nikmat bagi kita.

Generasi silih berganti, gerombolan datang dan pergi, tetapi kita tetap mewarisi langit dan bumi yang sama, walaupun kelibat mereka tidak kelihatan lagi.

Ayuh anak muda, ku seru namamu, bangkitlah bersama Angkatan Bahaman. Kita wariskan kepada mereka, anak cucu kita, dengan pusaka dan khazanahnya dapat dinikmati bersama.
Semarakkan perjuangan Dato Bahaman!


BANTUAN PAKAIAN TERPAKAI UNTUK KEPERLUAN MANGSA-MANGSA BANJIR

PAKAIAN TERKUMPUL DI MARKAS OPERASI BANJIR ANGKATAN BAHAMAN 

Bantuan pakaian terpakai untuk keperluan mangsa-mangsa boleh dipilih di bawah khemah yang dibuka setiap hari pada waktu siang di hadapan markas operasi banjir Angkatan Bahaman. Markas ini beralamat di No.8, Jalan Datuk Bahaman 2, 28000 Temerloh, Pahang, (belakang Bank Simpanan Nasional bandar Temerloh, berhadapan padang dan gelanggang gasing Majlis Perbandaran Temerloh).

Percuma untuk semua mangsa banjir dan kepada mereka yang memerlukan. Sila datang dan pilih sendiri berdasarkan konsep layan diri. Kami juga menerima sesiapa sahaja yang ingin memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir ini. Terima kasih.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.
Duta Penyelamat Dan Kasih Sayang.



Para pengunjung daripada kalangan mangsa-mangsa banjir memilih pakaian di bawah khemah yang disediakan.