Friday 3 April 2015

PROLOG FORUM MASA DEPAN BELIA DALAM POLITIK BARU

SATU JEMPUTAN, SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Di negara Malaysia, belia ditarifkan sebagai golongan yang bermula dari usia 16 tahun hingga 40 tahun, dan yang menariknya, piawai umur yang berbeza telah digunapakai bagi seluruh dunia, seperti pada peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, piawaian umur bagi mereka yang digelar belia ialah bagi mereka yang berada di antara umur 15 hingga 24 tahun, manakala bagi Bank Dunia pula, mereka mentakrifkan mereka yang berada di antara umur 15 tahun hingga umur 25 tahun sebagai golongan belia.
Jadi di Malaysia, nampaknya golongan ibu-ibu dan bapa-bapa yang anak sudah masuk darjah satu seperti Khairy Jamaluddin juga masih layak digelar belia. Tentu sekali jarak masa 34 tahun ( dari usia 16 tahun hingga usia 40 tahun) dalam menghabiskan usia belia ini merupakan satu cabaran yang amat besar dalam menghadapi ranjau sepak terajang dunia yang digelar era globalisasi ini terutama dalam kancah atmosfera politik ini.
Politik baru. Itu lah seperti yang diajukan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, CEO kepada Global Moderates Movement (GMM) dalam bukunya, "Politik Baru, Mematangkan Demokrasi Malaysia" (2009).
Politik Baru sebenarnya bukanlah benda asing (ya, boleh difahamkan sebagai benda asing di Malaysia ini) kerana "New Politics" sudah lama juga dicadangkan di negara-negara maju yang lain seperti di Amerika Syarikat. Pengganti Presiden Bush Junior, Barack Hussein Obama pada mulanya telah pun melaungkan New Politics dengan menjalankan dasar bipartisan bagi menjalankan kerja pentadbiran di sana, cuma mungkin dalam kefahaman dan pengamalan yang berbeza daripada politik baru di Malaysia ini. Ini bolehlah difahami kerana tahap penglibatan demokrasi di Amerika Syarikat adalah jauh kehadapan berbanding di Malaysia ini, dengan kita melihat di pihak Obama, setelah beliau berjaya memenangi pertandingan merebut jawatan Presiden dalam pilihanraya Presiden di sana, beliau sudah pun membuat langkah melantik ahli-ahli kabinet dari parti berlawanan (Republikan), hal seperti ini mungkin boleh difahami sebagai "UG" yang progresif jika ianya berlaku dalam negara ini.
Jadi, bagaimana agaknya senario (keadaan) belia dalam menghadapi era politik baru di Malaysia ini (walaupun politik baru di Malaysia ini masih boleh dipertikaikan kerana iklim politik Malaysia masih lagi dalam era konservatisme) dengan keadaan dunia yang semakin terbuka di era neoliberalisme ini?. Persoalan utama mungkin berakar kepada apakah politik baru ini hanya mampu 'reform' dan menampal segala kebobrokan sedia ibarat hanya memberi gula-gula sahaja kepada golongan belia pada hari ini?
Datuk Saifuddin Abdullah, selaku Pengerusi Akademi Belia dan sememangnya banyak pengalaman beliau dalam gerakan belia sebelum ini, seperti penglibatan beliau dalam Majlis Belia Malaysia, dan beliau lah juga membawa agenda "Politik Baru" dalam arena arus perdana iklim perbahasan politik di negara ini akan bergandingan bersama Pengarah Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) yang baru dilantik iaitu Dr. Amir Saifudee Ghazali di pentas siri Forum Masa Depan Malaysia, dengan tajuk yang akan dibincangkan kali ini adalah "Senario Masa Depan Belia Dalam Politik Baru.".
Pelbagai persoalan menarik yang bakal dikupas dalam forum kali ini. Dari isu belia di Malaysia, peranan belia dari konteks politik, bagaimana politik baru versi di Malaysia, berjayakah
asimilasi belia bersama politik baru dan bagaimana pula cabaran yang bakal menanti dalam terminologi baru ini?
Dengan semangat sapere aude! (berani lah berfikir) , Sekolah Pemikiran Datuk Bahaman dengan kerjasama Akademi Belia dengan ini ingin menjemput anda semua untuk hadir di dalam forum pencerahan untuk menjawab segala persoalan-persoalan besar seperti ini. Moh belaka datang weh!
Unit Pendidikan Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman