Saturday 7 November 2015

PAK SAKO DALAM KENANGAN

AL-FATIHAH, PAK SAKO (1909-1991)

Hari Ini Dalam Sejarah.
Tarikh 7 November 1991, perginya seorang pejuang kemerdekaan, tokoh politik, sasterawan, dan nasionalis yang ulung, kelahiran Kampung Bukit Siguntang (kampung tradisional berhampiran Kampung Buntot Pulau dan Kampung Tengah) Temerloh, Pahang.
Beliau adalah Ishak Haji Muhammad, atau lebih dikenali dengan nama Pak Sako.
Memetik sedikit kata-kata pendahuluan oleh Almarhum A. Samad Ismail dalam memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan, "Sebagai remaja, model saya bukan wartawan atau sasterawan di Amerika atau Eropah. Model saya ialah Pak Sako dan Kajai. Malah Pak Sako menjadi wira generasi muda sebelum perang. Sako ketika itu seorang anak muda yang gagah dan tampan. Dia juga menempa nama sebagai wartawan, juga sebagai nasionalis yang mempunyai karismanya sendiri".
Begitulah Pak Sako sudah mencipta mitosnya yang sendiri, selain mengamalkan cara hidup yang sederhana dalam sepanjang hidupnya, dengan perwatakan merendah diri. Seperti kata mantan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin, “Ishak Haji Muhammad, Pak Sako atau Hantu Raya kalau dimahkotakan sebagai raja, baginda akan turun dari takhtanya, kalau menjadi presiden atau perdana menteri, beliau akan menghilangkan diri, tetapi diberikan mesin taip, beliau akan menulis sampai mati”.
Mungkin arus perdana terlalu menumpukan jasa beliau sebagai seorang sasterawan yang ulung dan seolah-olah cuba menutup dan melupakan jasa agung beliau dalam kancah memperjuangkan kemerdekaan, di mana almarhum bukan saja radikal untuk memperjuangkan kemerdekaan melalui pena semata-mata, tetapi juga dengan melalui badan-badan politik kiri yang disertai dan diketuai olehnya sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Malah, setelah negara ini mencapai kemerdekaan yang dimenangkan daripada kaum kanan, Pak Sako terus berusaha menabur bakti untuk mengisi nilai-nilai kemerdekaan.
Perjuangan beliau ini diteruskan sehingga pemergian almarhum ke rahmatullah akibat angin ahmar dalam usia 82 tahun pada pagi Jumaat, 7 November 1991 di Kampung Bukit Raya, Kilometer 16, Jalan Hulu Langat, Selangor dan kemudian diterbangkan oleh helikopter untuk dimakamkan di Kampung Buntot Pulau, Temerloh, Pahang sesuai dengan wasiat almarhum yang ingin dimakamkan berhampiran dengan kaum keluarganya merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh negara.
Seperti coretan Almarhum Mustapha Hussein, pengasas bersama parti politik melayu pertama (Kesatuan Melayu Muda atau Kesatuan Malaya Merdeka) untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah bersama almarhum Pak Sako, almarhum Mustapha Hussein menyatakan "Kepada saya, Pak Sako boleh dikatakan seorang Bohemian Melayu yang asli. Kebebasan merupakan cita-cita utama hidupnya. Beliau juga jujur dan ikhlas dalam segala perjuangannya.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman