Monday 19 January 2015

DARI LAMAN SESAWANG DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH

Membantu menangani banjir


BANJIR yang melanda baru-baru ini, terutamanya di Pantai Timur Semenanjung, khususnya di Kelantan, iaitu antara yang paling buruk dalam sejarah, seharusnya mengajar kita tentang banyak perkara.

Secara keseluruhannya, kerajaan pusat telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik. Walaupun, tak perlulah mendakwa sebagai yang terbaik di dunia! Kelemahan memang ada. Tetapi, umumnya, ia baik.

Kerajaan dapat melaksanakannya dengan baik kerana wujudnya “Arahan No. 20”, iaitu Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, yang menjadi prosedur operasi standard bagi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Arahan No. 20 ialah satu mekanisme pengurusan bencana, contohnya banjir, secara menyeluruh yang meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian. Ia menjelaskan peranan dan tanggungjawab agensi kerajaan, badan berkanun, swasta dan badan-badan masyarakat sivil (CSO) dalam pengurusan bencana.

Di peringkat kebangsaan, ia dipengerusikan seorang menteri, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim. Di negeri, ia dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri/Ketua Setiausaha Wilayah Persekutuan, dan di daerah oleh pegawai daerah/datuk bandar.

Saya punya pengalaman peribadi dengan banjir. Pertama, ketika berumur 10 tahun, iaitu pada tahun 1971, saya sekeluarga berpindah selama dua minggu ke sebuah sekolah akibat banjir besar di Temerloh (iaitu yang terbesar selepas banjir 1926) dan di seluruh negara.

Kedua, pengalaman sebagai Ahli Parlimen Temerloh (2008-2013) membantu menangani masalah banjir di sana. Selama lima tahun itu, saya tidak mengambil cuti pada musim tengkujuh. Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh itu, Temerloh tidak dilanda banjir besar.

Dan ketiga, membantu mangsa banjir di Temerloh baru-baru ini. Ia disalurkan terutamanya melalui dua CSO, iaitu Angkatan Bahaman dan Akademi Belia.

Saya berterima kasih pada Yayasan Hasanah (Khazanah) dan pelbagai badan lain yang menyalurkan bantuan-bantuan melalui kedua-dua CSO tersebut semasa dan selepas banjir.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya banjir besar begini. Menurut Prof Dr Azizan Abu Samah, tiga faktor utama ialah kejadian bulan baru, solstis musim sejuk dan tiupan angin kencang. Mungkin ada faktor-faktor lain lagi. Tapi, pastinya bukan kerana Kelantan tidak melaksanakan hudud!

Sebenarnya, sebahagian daripada faktornya ialah bikinan manusia. Contohnya, pembalakan berlebih-lebihan dan haram; pembangunan fizikal yang mengganggu keseimbangan alam, seperti menarah bukit; pembinaan bangunan tanpa sistem perparitan yang mencukupi; dan penimbusan kawasan-kawasan takungan air.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah meminta universiti-universiti dan semua pemegang taruh untuk mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar dan mekanisme pengurusan banjir yang sedia ada.

Sebagai langkah awal, MKN telah mengadakan post mortem pertamanya minggu lalu. Di samping agensi-agensi kerajaan, mesyuarat itu turut melibatkan beberapa CSO ternama.

Diharapkan, dalam mesyuarat akan datang, MKN akan mengundang juga CSO lain, atau, sesebuah CSO yang telah sedia dijemput, contohnya ASLI, didelegasikan untuk mendapatkan maklum balas daripada CSO yang lain itu. Ini penting kerana peranan pelbagai jenis SCO amat penting dan pandangannya tidak boleh dipinggirkan.

Antara penambahbaikan yang perlu ialah: koordinasi lebih sistematik oleh MKN; elakkan gangguan politik terhadap kerja-kerja substantif; elakkan janji-janji bantuan yang tidak praktikal; sediakan peralatan dari awal kerana banjir dapat diramal; tiada lagi dasar-dasar dan aktiviti-aktiviti yang menjadi faktor bikinan manusia; dan penguatkuasaan undang-undang.

Tetapi, apa yang lebih penting ialah tindakan jangka masa panjang, iaitu pendekatan baru dalam pengurusan air, contohnya, meluaskan ruang sungai dan menambah saliran tambahan.

Ia memerlukan perubahan paradigma, iaitu daripada “melawan air” kepada “hidup dengan air”.

Artikel asal boleh dilihat di laman sesawang Dato' Saifuddin Abdullah