Thursday 31 March 2016

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

KENYATAAN MEDIA
31 MAC 2016

EL-NINO BAWA ANCAMAN KEMARAU , PENGURUSAN AIR PAHANG BERHAD PERLU BERSEDIA.

Malaysia, khususnya negeri Pahang kini sedang mengalami perubahan cuaca yang dikenali sebagai fenomena El-Nino yang membawa kepada cuaca panas dan kering yang berpanjangan untuk suatu tempoh yang tertentu. Dalam kenyataan media oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum ini meramalkan fenomena El Nino ini bakal berlangsung bermula penghujung Januari hingga Mac tahun ini. Dalam kenyataan lain oleh MOSTI juga sebelum ini ada menyenaraikan daerah Temerloh sebagai antara daerah yang kuat dilanda gelombang haba hasil fenomena El Nino ini.

Selain penyebaran maklumat yang aktif mengenai kesan El Nino dan cuaca panas kering terhadap komuniti, keluarga, alam sekitar, dan sebagainya, jaminan bekalan air terawat yang mencukupi selain bersih dan selamat untuk digunakan turut perlu mendapat perhatian pihak yang berkepentingan, terutama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Dalam hal ni, walaupun fenomena El Nino akan membawa kemarau yang berpanjangan sekaligus membawa keadaan kekurangan bekalan air mentah dari sungai dan empangan serta sekaligus bakal membawa penurunan rizab margin air terawat sedia ada, namun pada hakikatnya, amatlah penting sekali bagi pihak PAIP untuk memastikan bekalan air terawat sentiasa mencukupi dan tidak menghadapi sebarang masalah pencemaran bagi keperluan penduduk daerah Temerloh dan seluruh negeri Pahang secara khususnya.

Sementelah, pihak PAIP yang kini telah melalui fasa pengkorporatan mestilah mengambil langkah-langkah produktif dan efisien bagi memastikan bekalan air terawat sentiasa cukup dan bebas dari sebarang pencemaran, terutama bekalan air yang disalurkan untuk kediaman, pertanian, dan segala bentuk aktiviti ekonomi berskala kecil dan sederhana yang dilakukan oleh rakyat Pahang.

Walaupun pada umumnya, penswastaan agensi kerajaan yang dikhususnya untuk membekalkan, menyelia dan merawat bekalan air adalah satu tindakan yang mengikuti dasar polisi ekonomi neoliberal yang pada akhirnya akan menjurus kepada kepentingan para pemodal daripada kebajikan warga sosial, namun adalah diharapkan pihak PAIP masih mampu menjalankan tugasnya dengan baik demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Pahang khususnya.

Pihak PAIP hendaklah sentiasa pantas dalam menyebarkan maklumat dan berinteraksi bersama para pengguna mengenai keadaan terkini bekalan air terawat sedia ada melalui kekerapan laporan terkini di laman web rasmi mereka. Pihak PAIP juga boleh mencuba untuk mewujudkan satu aplikasi telefon pintar yang boleh memudahkan maklumat terkini antara pihak PAIP dan para pengguna. Kenyataan media di akhbar tempatan untuk melaporkan keadaan terkini atau laporan terbaru dari PAIP juga turut boleh diusahakan terutama bagi penyampaian masyarakat luar bandar. Kadar bekalan air terawat sedia ada di kolam-kolam loji rawatan air PAIP juga sebagai contoh perlu lebih kerap diuar-uarkan untuk pengetahuan umum.

Melalui kaedah-kaedah seperti ini juga, PAIP boleh menyeru, juga berkempen selain mengadakan program yang lebih menyeluruh kepada para pengguna untuk memastikan mereka mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak mengamalkan pembaziran dalam menggunakan air terawat ketika musim panas ini.

Selain itu juga, polisi PAIP dalam memantau dan mengekang kejadian Air Tidak Berhasil atau Non-Revenue-Water (NRW) terawat sedia ada haruslah diperketatkan serta diperkemaskan lagi, memandangkan NRW merupakan masalah yang serius di Malaysia, seperti yang diakui Bank Sedunia yang menyatakan 40%-60% daripada jumlah air terawat yang dibekalkan hilang semasa proses  pengagihan air. Masalah ini tentu perlu mendapat perhatian yang lebih kritikal, terutama ketika musim gelombang haba ketika ini.

Jika keadaan cuaca terus berada dalam seperti ini untuk satu tempoh jangka masa yang lebih lama dan keperluan untuk mengadakan catuan air bagi kawasan tertentu makin mendesak, pihak PAIP mestilah dengan kadar yang segera mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) dengan mengurus penghantaran bekalan air terawat melalui lori-lori tangki dan tangki statistik secara efisien dan teratur bagi keperluan pengguna.

Pusat Khidmat Pelanggan pula mestilah sentiasa aktif bersama peranan media PAIP yang lain seperti laman web dan sebagainya untuk menyalurkan maklumat semasa secara lebih pantas dan cekap jika sebarang catuan air dikenakan terhadap pengguna.

Dengan gerak kerja yang pantas dan efisien serta mesra pelanggan, ini seterusnya akan menyakinkan dan mengukuhkan stigma pemikiran pengguna untuk terus mempercayai kredibiliti PAIP dalam usaha mereka mengurus, menyelia dan membekal air terawat di negeri Pahang, terutama ketika musim panas ini.

Mohamad Ikram Bin Ismail
Setiausaha Pertubuhan Angkatan Bahaman,
Temerloh, Pahang.