Saturday 17 October 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 17 OKTOBER 2015

Sambut baik hijrah Saifuddin

Wartawan Sinar Harian
17 Oktober 2015
TEMERLOH – Pertubuhan Angkatan Bahaman menyambut baik penghijrahan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR.

Presidennya, Abdul Razak Endut berkata, kemasukan mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Temerloh itu ke dalam PKR sepatutnya sudah patut lama berlaku iaitu sebelum PRU lagi.

“Namun dengan keadaan iklim politik semasa yang cukup mencabar, keputusan Saifuddin ini juga begitu kena pada masanya, tatkala tindakan ini disinonimkan pula dengan mengambil semangat tahun baru Hijrah.

“Dengan status terbaru Saifuddin kini, Angkatan Bahaman berharap beliau dapat tetap meneruskan perjuangan bagi merealisasikan segala idea mengenai gagasan politik baru yang direncana sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Abdul Razak berkata, walaupun sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global (GMM) dipengerusikan Datuk Seri Najib, namun imej kesederhanaan dan progresif yang sudah sebati dengan beliau perlu terus dibawa ke dalam wadah baharu.

Beliau berkata, kredibiliti yang telah terbina dalam diri beliau selama ini bukan milik sesebuah parti politik atau sesebuah organisasi semata-mata, namun kredibiliti ini sewajarnya dikongsi semua rakyat Malaysia.

“Keadaan sekarang begitu amat memerlukan tokoh kepimpinan yang menonjol dari segi toleransi dan terkedepan dalam intelektualisme dan aktivisme untuk menggugah sistem qou yang sedia ada agar kita tidak lagi terperangkap dalam agenda politik perkauman atau apa juga perbahasan yang sempit.
“Angkatan Bahaman akan terus kritis terhadap segala perancangan, dasar, atau retorik yang diajukan selama beliau meneruskan perjuangan dalam PKR.

“Ini selaras dengan prinsip Pertubuhan Angkatan Bahaman yang didominasi anak muda, yang mana kami akan sentiasa bersikap kritis terhadap persekitaran terutama kepada ahli politik yang akan mempengaruhi setiap dasar kepada kualiti kehidupan kami,” katanya.
Artikel asal boleh dilihat di akhbar Sinar Harian

Artikel dan foto dari akhbar Sinar Harian, 17 Oktober 2015.