Wednesday 18 March 2015

SAPERE AUDE!

BERANILAH BERFIKIR!

Sapere aude! (Beranilah berfikir)! Inilah slogan semangat pencerahan untuk berfikir secara kendiri yang dibawa oleh ahli falsafah Jerman Immanuel Kant (1724-1804) dalam artikel beliau berjudul "Was ist Aufklarung?" (Apa Itu Pencerahan) yang telah diterbitkan pada tahun 1784.
Semangat "sapere aude"! ini lah yang ingin dibawa oleh Angkatan Bahaman untuk anak-anak muda di Temerloh dan kawasan sekitar khususnya. Ini juga sesuai dengan semangat wahyu pertama untuk Nabi Muhammad S.A.W di Gua Hira', iaitu Iqra' (bacalah!). Kerana permulaan berfikir itu adalah mengetahui dan salah satu kaedah yang paling penting untuk mengetahui adalah daripada membaca!
Ini tidaklah menghairankan kerana sebenarnya Temerloh dan budaya berfikir kritis telah berakar umbi sejak zaman-berzaman. Ambil saja contoh, sejak sekian lama Ahli Parlimen dari Temerloh, sentiasa menjadi Menteri dan Timbalan Menteri di dalam kabinet kerajaan (Dato' Saifuddin Abdullah contohnya). Abaikan mereka ini daripada parti politik mana. Angkatan Bahaman adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berdiri di atas landasan mana-mana parti dan entiti politik secara amnya.
Angkatan Bahaman ingin menerapkan nilai-nilai berfikir kritis kepada anak-anak muda dan penduduk-penduduk Temerloh khususnya, ini bererti sikap anak-anak muda di Temerloh ini tidak lah perlu lagi bersikap jumud terhadap kongkongan minda dari parti politik pilihan masing-masing mahupun nilai-nilai terkebelakang konservatime yang diwarisi dari budaya dan adat setempat.
Atas dasar itu, Angkatan Bahaman kerap mengadakan dan bakal mengadakan lebih banyak forum, wacana dan dialog dan program-program yang berkaitan untuk melibatkan anak-anak muda Temerloh dan sekitar untuk mengambil sama semangat "sapere aude"! (beranilah berfikir), kerana dengan semangat ini lah, anak-anak muda Temerloh dan sekitar dapat terus maju berdikari membangunkan negara, bangsa dan agama tercinta.
Semangat sapere aude! ini perlu dibawa pada setiap jenis pekerjaan yang dilakukan anak-anak muda Temerloh. Samada berniaga, bekerja sendiri, pekerja kerajaan, mahupun pelajar, sewajarnya semua anak-anak muda perlu mempunyai semangat sapere aude! ini.
Untuk anak-anak muda Temerloh dan penduduk-penduduk Temerloh serta sekitar, ayuh lah bersama program-program Angkatan Bahaman selepas ini, kita bersapere aude! demi membina Temerloh yang lebih baik!
Sapere Aude! Beranilah berfikir!
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.