Monday 6 April 2015

RUMUSAN FORUM SENARIO MASA DEPAN BELIA DALAM POLITIK BARU

SATU RUMUSAN

Forum santai yang bertajuk "Senario Masa Depan Belia Dalam Politik Baru" anjuran bersama Angkatan Bahaman bersama Akademi Belia semalam telah selamat berjalan dengan lancarnya, walaupun bermula agak lewat daripada jadual asal (yang sepatutnya bermula pukul 5 petang tetapi telah tersasar setengah jam dari waktu asal) kerana salah seorang panelis iaitu Dr. Amir Saifudee Ghazali (lebih mesra disebut Dr. Amir Ghazali) telah lewat sedikit untuk tiba di acara forum kerana mengalami masalah-masalah teknikal di Kuala Lumpur.

Hujan di petang hari seolah-olah telah memberi rahmat kepada forum santai ini dan perjalanan forum tidaklah begitu terjejas atas faktor cuaca kerana forum santai ini telah diadakan di tempat yang berbumbung.

Forum dimulakan dengan JR the DJ menjadi moderator mempersilakan Dato' Saifuddin Abdullah sebagai seorang ahli panel untuk memulakan sesi pembentangan.

Tidak banyak yang Dato' Saifuddin sempat jelaskan mengenai idea gagasan politik barunya itu atas faktor kesuntukan waktu yang tidak mengizinkan beliau untuk menghuraikan dengan lebih panjang mengenai poin-poin yang ingin beliau sampaikan kepada hadirin

Beliau kemudian menyeru hadirin supaya mendapatkan buku beliau mengenai gagasan politik baru ini iaitu, "Politik Baru, Mematangkan Demokrasi Malaysia terbitan tahun 2009 untuk lebih memahami idea dan isi-isi huraian dengan lebih lanjut mengenai apa yang beliau sedang gambarkan mengenai keperluan mencapai kematangan dalam iklim politik di Malaysia ini.

Selebihnya, Dato' Saifuddin lebih banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman serta tips kepada komrad-komrad Angkatan Bahaman mengenai perihal menguruskan perjalanan sesebuah organisasi yang bersifat pertubuhan seperti Angkatan Bahaman ini memandangkan pengalaman beliau yang begitu meluas dalam bidang aktivisme dan intelektualisme semenjak dari bangku sekolah di era Maktab Rendah Kuala Kangsar lagi.

Forum kemudian berhenti di jam 6.15 petang untuk memberi laluan kepada waktu rehat sambil menunggu ketibaan Dr. Amir Ghazali, yang mana beliau akhirnya telah tiba pada jam 6.40 petang kerana beliau telah mengalami masalah-masalah yang bersifat teknikal di Kuala Lumpur sebelum itu.

Sebaik saja sampai, pembesar suara terus diajukan kepada Dr. Amir Ghazali bagi meneruskan perjalanan forum. Berdiskusi dalam waktu yang singkat, bermula dari 6.30 petang hingga 7.15 petang (sebelum masuk waktu azan Maghrib), Dr. Amir Ghazali juga tidak mampu untuk menghuraikan dengan lebih lanjut segala poin yang ingin beliau diskusikan di forum itu, juga atas faktor kesuntukan waktu.

Dr. Amir Ghazali memulakan diskusi dengan memetik gagasan yang diajukan dalam buku Politik Baru, Mematangkan Demokrasi Malaysia hasil tulisan Dato' Saifuddin Abdullah sendiri iaitu setiap pertubuhan atau parti wajib mempunyai 3 rukun iaitu yang pertama idealisme, yang kedua aktivisme, dan yang ketiga, intelektualisme.

Tanpa ketiga-tiga rukun ini dimiliki oleh sesebuah pertubuhan atau parti, Dr. Amir Ghazali menegaskan bahawa sesebuah pertubuhan atau parti itu kelak musnah luput dek zaman begitu sahaja.

Dr Amir Ghazali juga ada menyentuh mengenai kelemahan negara kita dalam menggunapakai sistem first by the post dalam menjalankan sistem pilihanraya di negara ini, di mana sistem ini tidak mengambil kira undi dari bilangan undi popular sedangkan undi popular juga adalah sebahagian daripada demokrasi.

Selain itu, Dr. Amir Ghazali juga berpandangan masalah iklim politik di dalam negara ini adalah kerana rata-rata isu hanya dipandang dari sudut politik semata-mata, sama seperti dalam kes Hudud di Kelantan baru-baru ini. Hudud dilihat tidak lebih dari modal pancingan politik semata-mata.

Keadaan seperti ini tidak lah menghairankan bagi negara Malaysia, kerana negara ini masih dalam iklim di mana majoriti pengundi-pengundi di Malaysia masih bermentaliti seperti pengundi-pengundi di negara-negara Dunia Ketiga, bahas Dr. Amir Ghazali lagi.

Kemudian, Dr. Amir Ghazali menerangkan bahawa definisi belia yang digunapakai di Malaysia adalah bagi mereka yang berada di antara umur 16 hingga 40 tahun dan ini menjadikan kebanyakan belia dalam negara ini sebagai pengundi kali pertama, yang juga termasuk bagi mereka yang baru bekerja, pelajar-pelajar universiti, serta lain-lain. Belia ini lazimya menurut Dr. Amir Ghazali terkelompok dalam kelas ekonomi golongan menengah di negara ini.

Oleh itu, menurut Dr. Amir Ghazali lagi, golongan belia mampu memberikan kemenangan kepada mana-mana parti politik yang bertanding walaupun belia pada keadaan tertentu lebih suka memilih berdasarkan ikon-ikon politik yang mereka kagumi.

Sesi kemudian berakhir pada jam 7.15 petang dan masa 15 minit telah diperuntukkan untuk sesi jawab. Banyak soalan yang jitu dan padu telah disoal oleh hadirin kepada para panelis, dan antara salah satu soalan menarik yang dikemukakan oleh hadirin kepada para panelis adalah hal hak kebebasan di negara ini. Jawapan yang tegas lagi terang telah dijawab oleh Dato' Saifuddin Abdullah yang menerangkan bahawa bagaimana kita inginkan hak kebebasan sedangkan Akta Hasutan pun tidak dimansuhkan lagi dan Akta ISA hanya bertukar nama saja kepada SOSMA.

Banyak pengetahuan dan ilmu baru yang diperoleh oleh Angkatan Bahaman bersama para panelis, juga terima kasih tak terhingga kepada para pengunjung yang sudi hadir di majlis ilmu ini semalam. Semoga mendapat bersama dan mendapat keredhaanNya jua. Sehingga jumpa di program akan datang.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi!

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman



SELESAI FORUM "SENARIO MASA DEPAN BELIA DALAM POLITIK BARU"

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG BERKENAAN

Tahniah dan terima kasih di atas kerjasama semua komrad dan sahabat-sahabat yang terlibat dari sudut semua segi dalam program forum santai Angkatan Bahaman dengan kerjasama Akademi Belia petang semalam.
Forum santai yang menampilkan Dato Saifuddin Abdullah selaku Pengerusi Akademi Belia dan CEO kepada Global Moderates Movement dan Dr. Amir Saifudee Ghazali selaku Pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMcedel) telah mencatatkan jumlah kehadiran yang memberangsangkan dengan persoalan-persoalan besar berkaitan isu yang mahu dikupas dalam forum, telah berjaya dirumuskan dengan begitu baik oleh kedua-dua ahli panel di dalam forum ini.
Sehingga berjumpa lagi dalam program-program Angkatan Bahaman akan datang.
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi!

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman