Wednesday 27 May 2015

TINDAKAN KERAJAAN MENGUSIR AKTIVIS REVOLUSI PAYUNG SESUATU YANG BERSIFAT KONTRA DEMOKRASI.

TINDAKAN KERAJAAN MENGUSIR AKTIVIS REVOLUSI PAYUNG SESUATU YANG BERSIFAT KONTRA DEMOKRASI.
Angkatan Bahaman menolak sama sekali tindakan pihak Imigresen yang dilihat mewakili kerajaan Malaysia untuk menolak aktivis pro demokrasi dari Hong Kong, Joshua Wong yang hanya baru berumur 18 tahun bagi memasuki negara ini di mana Joshua Wong telah ditahan dan kemudian dihantar serta merta pulang ke Hong Kong sebaik saja beliau menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pagi semalam.
Beliau turut sama dikasari ketika ditahan oleh pihak Imigresen pada waktu itu dan peristiwa ini sudah tentu mendapat liputan meluas pihak antarabangsa kerana kerajaan Malaysia dilihat cuba untuk menghalang kemasukan aktivis pro demokrasi ke dalam negara ini, dan hal ini sudah tentu sekali sangat kontradik dengan dasar negara ini yang mengisytiharkan polisi negara ini sebagai pro demokrasi dan meraikan kepelbagaian pendapat serta ideologi bagi seseorang individu itu.
Tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa larangan dan penahanan Joshua Wong dari memasuki negara ini adalah luar daripada pengetahuan beliau membuktikan bahawa pihak kerajaan Malaysia sendiri tidak mempunyai satu ketetapan yang jelas dalam menafsir atau mengistiharkan seseorang individu itu sebagai "subversif" atau sebaliknya.
Tuduhan bahawa Joshua Wong "memberi ancaman kepada negara" adalah tidak benar kerana Joshua Wong yang telah mengetuai 'Revolusi Payung' di Hong Kong pada Jun tahun lalu berjuang atas dasar prinsip kebebasan di atas menuntut hak demokrasi pilihanraya yang lebih tulen untuk rakyat Hong Kong daripada pemerintahan Tanah Besar China dan kerajaan Malaysia selaku negara yang mengakui mengamalkan prinsip demokrasi sepatutnya meraikan kunjungan Joshua Wong ke negara ini, dan bukan sebaliknya menghalau beliau keluar daripada berkunjung ke negara ini!.
Tujuan keberadaan Joshua Wong bukanlah kerana beliau sedang dalam niat untuk mengganggu ketenteraman negara dan rakyat awam khususnya, sebaliknya beliau datang berkunjung ke Malaysia ini hanya untuk mengadakan siri dialog dan saling bertukar pandangan bersama gerakan pelajar dan masyarakat awam di negara ini. Penglibatan aktiviti yang bakal diikuti oleh Joshua Wong sepanjang keberadaan beliau di negara ini secara jelas juga tidak langsung mengganggu gugat keselamatan dalam negara ini.
Oleh itu, Angkatan Bahaman menggesa kerajaan Malaysia supaya lebih terbuka dalam mengamalkan polisi terhadap kepelbagaian pendapat dan ideologi seseorang individu luar yang ingin berkunjung ke dalam negara ini selagi individu tersebut tidak menaja sebarang aktiviti keganasan atau membawa sebarang budaya yang telah lari dari batas-batas norma kemanusiaan khususnya yang bertentangan dengan adab santun Nusantara yang telah kita warisi bersama penduduk berbilang bangsa yang lain di negara ini.
Hassanal Bolkiah.
Timbalan Presiden Angkatan Bahaman.