Monday 30 March 2015

PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN KINI SUDAH BERKICAU DI LAMAN TWEETER

JEMPUT FOLLOW :)

Angkatan Bahaman selamat berkicau untuk kali pertama di Twitter sebelum pelaksanaan cukai GST. Jemput follow dan sebarkan revolusi!
‪#‎angkatanbahaman‬
‪#‎buaianrevolusi‬

Untuk berkicau bersama Angkatan Bahaman, boleh terbang ke Twitter Angkatan Bahaman, Buaian Revolusi




Sunday 29 March 2015

SALUTE UNTUK ANGKATAN BAHAMAN SEL LEMBAH KLANG

#KITALAWAN
Beribu tahniah dan salute kepada Angkatan Bahaman sel (bahagian) Lembah Klang yang telah berjaya mengorganisir hampir 300 para demonstran untuk turut serta di dalam demonstrasi ‪#‎KITALAWAN‬ yang telah dihadiri hampir 10 000 rakyat Malaysia yang membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di mana demonstrasi ni telah memulakan perarakan dari Kompleks Beli Belah Sogo hingga ke KLCC, bagi meraikan perkahwinan anak perempuan Najib Razak di KLCC petang semalam. Walaupun para demonstran telah dihalang oleh pihak berkuasa di Jalan Ampang dan tidak berjaya meneruskan salah satu matlamat asal demo iaitu ingin meraikan hari perkahwinan anak Najib Razak di KLCC, namun para demonstran masih dikira telah begitu berjaya untuk mengunjuk rasa dengan berarak dan melaungkan kata semangat, menjulang sepanduk, mengibarkan bendera 'perlawanan' dalam sepanjang perarakan dari SOGO hingga ke Jalan Ampang itu, serta perarakan yang dianjurkan petang semalam ini juga bersifat cukup santai apabila turut sama dimeriahi dengan aktiviti menyanyi dan menari lagu-lagu pembebasan dan perlawanan yang diketuai oleh gerakan anak muda 'The BangsArt'.
Angkatan Bahaman sel Lembah Klang sebagai antara gerakan yang terlibat sama dalam menyusun demonstrasi #KITALAWAN petang semalam ini terdiri daripada kader-kader dan ahli-ahli Angkatan Bahaman yang bermastautin di Lembah Klang, di mana kader-kader dan ahli-ahli ini adalah anak-anak muda Temerloh yang sedang menuntut pelajaran atau bekerja di sekitar Lembah Klang. Terdapat lebih 30 orang ahli dan 100 orang kader yang berjaya direkrut untuk menjadi sebahagian daripada ahli Angkatan Bahaman sel Lembah Klang ini.
Seperti mana sel utama Angkatan Bahaman di Temerloh, sel Angkatan Bahaman di Lembah Klang turut dianggotai majoriti oleh kader-kader dan ahli-ahli yang bersifat "non partisan" walaupun mereka yang "by partisan" tetap diberi ruang dan peluang yang sama untuk bergiat aktif di dalam pertubuhan Angkatan Bahaman ini.
Demo #KITALAWAN semalam telah membuktikan bahawa perlawanan bagi menentang isu besar dan yang bersifat nasional seperti isu menentang pelaksanaan cukai GST seperti ini turut mampu dimobilasi oleh golongan anak-anak muda tanpa penglibatan dan bayangan figura ahli-ahli politik yang acap kali hanya sering mengambil pendekatan yang bersifat 'kontra-revolusionari' terhadap gerakan anak-anak muda.
Demo pada petang semalam juga telah memperlihatkan bahawa demo #KITALAWAN yang telah berlangsung secara konsisten setiap hari Sabtu petang di Kompleks Beli-Belah Sogo bermula pada 7 Februari lalu berjaya menunjukkan gerakan-gerakan anak muda kini mampu bangkit di era post-ideologi dengan menyusun gerakan anak-anak muda mereka sendiri bagi memobilasi sendiri massa untuk melawan kezaliman, seperti yang telah ditunjukkan oleh pembentukan gerakan #KITALAWAN yang rata-ratanya dianggotai oleh gabungan anak-anak muda termasuk sel Angkatan Bahaman di perantauan (Lembah Klang).
Dengan ini, penglibatan Angkatan Bahaman sel Lembah Klang dalam demo #KITALAWAN petang semalam telah membuktikan bahawa Angkatan Bahaman akan sentiasa berprinsip untuk tidak akan menjadi perkakas bagi mana-mana parti politik mahupun mana-mana pihak-pihak yang berkepentingan, namun Angkatan Bahaman sentiasa wajib mempunyai pernyataan sikap berkait politik kerana sesungguhnya Datuk Bahaman yang namanya telah menjadi inspirasi dan dipahatkan kepada Angkatan Bahaman ini adalah seorang yang politikal! Sehingga berjumpa lagi dalam perlawanan di Hari Buruh pada 1 Mei nanti!
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi!


Wednesday 25 March 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 25 MAC 2015

Kecam tangkapan bantahan GST
Wartawan Sinar Harian
25 Mac 2015

Temerloh- Pertubuhan Angkatan Bahaman Temerloh mengecam penangkapan 80 aktivis dan wakil rakyat dalam bantahan anti Cukai Barangan  Dan Perkhidmatan (GST) di ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia, Kelana Jaya, kelmarin.

Presidennya, Abdul Razak Endut, menganggap, penahanan tersebut adalah satu pencabulan terhadap keadilan bersuara dalam tuntutan lunas demokrasi yang mana rakyat sepatutnya berhak meyuarakan apa juga pendapat.

Menurutnya, rakyat berhak menyuarakan pandangan terhadap apa pun cadangan dan dasar yang ingin dilaksanakan kerajaan kerana dalam tuntutan demokrasi itu, sememangnya turut melibatkan rakyat bersama pemerintah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemakmuran negara.

Apa yang mengecewakan apabila rombongan mahukan jawapan daripada Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad beliau hanya menjawab dua daripada 106 soalan dikemukakan GST.

"Salah satu jawapan yang diberikan berkaitan pelaksanaan GST adalah 'perintah dari Parlimen', ini satu jawapan yang sangat lemah diberikan pemimpin jabatan kerajaan," katanya.

Abdul Razak berkata, jawapan yang sangat lemah itu menggambarkan sikap tidak profesionalisme seorang pegawai jabatan kerajaan berpangkat besar yang sepatutnya lebih dedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata, amatlah tidak adil apabila sekurang-kurangmya 60 pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk mengawal bantahan ini sedangkan aktivis dan wakil rakyat yang hadir mengemukakan bantahan ini bukanlah mereka yang terlibat dalam jenayah besar.

"Angkatan Bahaman dengan ini secara jelas berpendirian bahawa apa pun alasan yang digunakan terhadap penangkapan aktivis dan wakil rakyat yang terlibat dalam bantahan anti GST ini, adalah tidak adil dan tidak wajar sama sekali.

"Tindakan menangkap dan menghukum rakyat serta wakil wakil rakyat yang mahukan penjelasan terperinci daripada kerajaan secara khususnya dalam pelaksanaan GST hanya akan menyemarakkan lagi kemarahan rakyat terhadap motif utama pelaksanaan cukai yang dianggap membebankan rakyat kelas rendah di negara ini.

"Angkatan Bahaman dengan ini menggesa pihak berkuasa supaya membebaskan aktivis dan wakil rakyat yang ditahan ketika bantahan GST diadakan dan menggesa rakyat Malaysia prihatin yang lain supaya tampil mengemukakan persoalan berkaitan pelaksanaan GST ini,"katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan seramai 79 individu termasuk wakil rakyat ditahan setelah terbabit dalam demonstrasi membantah GST di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia, (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Kelana Jaya, semalam.

Artikel asal boleh dilihat di akhbar Sinar Harian

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecik: Abdul Razak

Sumber: Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Rabu, 25 Mac 2015 (m/s 42).

WARTA ANGKATAN BAHAMAN

"SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS YANG KE-208" 
Assalamualaikum w.b.t.
Umum maklum, aspek keselamatan merupakan satu elemen dan aspek yang sangat penting dalam pembentukan sesebuah negara kerana ianya menjamin keharmonian dan keselamatan bagi rakyat yang hidup di bawah naungannya.. Sejajar dengan memahami kehendak keharmonian tersebut, maka lahirlah kepelbagaian agensi keselamatan BAGI MELUNASKAN KEWAJIBAN TERSEBUT, diantaranya seperti ketenteraan,kepolisian, beberapa agensi penguatkuasaan yang tertentu dan pelbagai lagi..
Maka hari ini, 25 Mac adalah hari bersejarah bagi PDRM, iaitu antara agensi keselamatan negara yang tertua di mana PDRM ini telah banyak menabur bakti bagi memastikan rakyat dibawah jagaannya sentiasa selamat harmoni dan sejahtera..
Kami Angkatan Bahaman dengan ini mengucapkan "SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS YANG KE-208" dengan harapan agar agensi ini lebih telus ,berintegriti,cekap,ADIL dan AMANAH. SEKIAN dalam urusan seharian.
ANGAKATAN BAHAMAN,
BUAIAN REVOLUSI.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

"SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS YANG KE-208" 

Monday 23 March 2015

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN 23 MAC 2015

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Angkatan Bahaman
23 Mac 2015
ANGKATAN BAHAMAN MENGECAM PENANGKAPAN 80 ORANG PARA AKTIVIS DAN WAKIL RAKYAT DI DALAM BANTAHAN ANTI CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) DI HQ KASTAM KELANA JAYA.
Pertubuhan Angkatan Bahaman mengecam sekeras-kerasnya pihak berkuasa yang telah menahan seramai 80 orang para aktivis dan wakil rakyat di dalam bantahan anti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) di luar ibu pejabat Kastam, Kelana Jaya, siang tadi.
Pertubuhan Angkatan Bahaman menganggap penangkapan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa ini merupakan satu pencabulan kepada keadilan bersuara dalam tuntutan lunas demokrasi, di mana rakyat sepatutnya berhak untuk menyuarakan apa jua pendapat dan cadangan terhadap apa-apa juga dasar atau perancangan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan, kerana dalam tuntutan demokrasi itu sememangnya turut melibatkan rakyat bersama pemerintah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemakmuran bagi sesebuah negara.
Bantahan anti cukai GST yang diketuai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) melalui Setiausaha Agungnya, komrad Arulchelvan bersama komrad-komrad yang lain dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang didahului oleh komrad Badrul Hisham Shahrin telah bersama lebih 100 orang para aktivis dan wakil rakyat yang lain seperti MP Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar, MP Kuala Krai, Dr.Hatta Ramli, dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad serta Sasterawan Negara, A.Samad Said telah berkumpul seawal pagi di Ibu Pejabat Utama (HQ) Jabatan Kastam, di Kelana Jaya, dan 'rombongan rakyat' ini telah membawa membawa bersama memorandum dan 106 soalan yang perlu dijawab secara telus dan jujur oleh pihak Kastam kerana di dalam pelaksanaan cukai GST ini, Jabatan Kastam lah yang akan memainkan peranan utama dalam pelaksanaannya kelak.
Namun begitu, ketika 'rombongan rakyat' ini mengajukan soalan-soalan kepada Ketua Pengarah Kastam, Dato' Sri Khazali Bin Haji Ahmad yang lambat tiba di HQ Kastam tersebut, Dato' Sri Khazali hanya menjawab dua daripada 106 soalan yang dikemukakan rakyat berhubung pelaksanaan cukai GST ini. Dan salah satu jawapan daripada soalan yang telah disoal kepada beliau, beliau hanya mampu menjawab, "Perintah dari Parlimen. Saya hanya melaksanakan."
Jawapan yang sangat "lemah" ini telah menggambarkan sikap tidak profesionalisme oleh seorang pegawai yang berpangkat besar dalam sebuah jabatan kerajaan di mana pegawai yang berpangkat besar seperti beliau ini sepatutnya lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat selaras dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Amatlah tidak relevan sama sekali apabila sekurang-kurangnya 60 orang dari pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk turun mengawal bantahan ini sedangkan para aktivis dan wakil rakyat yang hadir mengemukakan bantahan ini di HQ Kastam Kelana Jaya itu bukanlah mereka yang terlibat dalam jenayah besar selain hanya mengemukakan persoalan daripada rakyat yang inginkan jawapan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan cukai GST yang bakal dilaksanakan pada minggu depan (1 April 2015).
Pertubuhan Angkatan Bahaman dengan ini secara jelas berpendirian bahawa apa jua alasan yang digunakan terhadap penangkapan para aktivis dan wakil rakyat yang terlibat dalam bantahan anti cukai GST ini adalah tidak adil dan tidak wajar, selaras dengan tuntutan bersuara dalam proses demokrasi yang telah lama dijalankan di dalam negara kita ini.
Tindakan menangkap dan menghukum rakyat dan wakil rakyat yang mahukan penjelasan secara terperinci daripada pihak kerajaan secara khususnya di dalam pelaksanaan cukai GST ini hanya akan menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap motif utama pelaksanaan cukai yang dianggap membebankan rakyat kelas rendah di negara ini ketika rakyat pada masa yang sama terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang makin merudum ekoran kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dan kos hutang seisi rumah yang semakin meningkat naik ketika ini.
Pertubuhan Angkatan Bahaman dengan ini menggesa pihak berkuasa supaya membebaskan segera 80 orang para aktivis dan wakil rakyat yang ditahan ketika bantahan ini diadakan dan Pertubuhan Angkatan Bahaman juga menyeru kepada rakyat-rakyat Malaysia prihatin yang lain supaya tampil ke khalayak bagi mengemukakan persoalan pelaksanaan cukai GST ini dan seterusnya akan terus menentang dan membantah cukai yang menindas rakyat marhaen seperti cukai GST ini!
Abdul Razak Bin Endut
Presiden Pertubuhan Angkatan Bahaman
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Thursday 19 March 2015

BAGAIMANA SEBUAH NGO BERFUNGSI DAN TERUS KEKAL RELEVAN

CIRI-CIRI SEBUAH NGO

Sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lazimnya bersifat memberi servis, menganjurkan aktiviti, dan juga advokasi (pendesak). Sebagai sebuah NGO yang dibarisi oleh rata-rata anak muda tempatan, Angkatan Bahaman akan cuba memenuhi ketiga-tiga peranan bagi sesebuah pertubuhan NGO ini.
Yang pertama, bersifat memberi servis, contohnya sentiasa menjalankan kerja-kerja dan khidmat sosial kebajikan. Selain itu memberi tumpuan kepada sesuatu aspek yang bersifat khusus seperti membantu pemuliharaan alam semulajadi juga boleh dikategorikan sebagai memberi servis. Angkatan Bahaman akan sentiasa fokus terhadap khidmat sosial kebajikan terutama untuk kawasan tempatan dan kawasan sekitar amnya. Tenaga-tenaga muda dari Angkatan Bahaman sentiasa bersiap-siaga dalam memberi khidmat yang terbaik untuk memberi khidmat yang pantas dan efisien, sesuai dengan matlamat penubuhan Angkatan Bahaman itu sendiri. Dalam erti kata lain, Angkatan Bahaman akan cuba menjadi sebuah NGO yang bersifat " pertubuhan masyarakat sivil".
Penganjuran aktiviti pula melibatkan program-program yang sentiasa diadakan untuk memberi kemudahan, pencerahan minda, dan segala yang berkaitan dengan keperluan masyarakat setempat. Disini, Angkatan Bahaman akan memastikan kami sentiasa aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang melibatkan aktiviti indoor mahupun aktiviti-aktiviti outdoor. Di samping penganjuran forum, dialog, dan wacana yang kerap dianjurkan oleh Angkatan Bahaman untuk memberi pencerahan dan budaya "sapere aude!" (beranilah berfikir) kepada penduduk setempat, Angkatan Bahaman juga akan aktif kepada aktiviti yang melibatkan aktiviti-aktiviti outdoor seperti menganjurkan aktiviti memanjat gunung, bersukan, derma darah, dan program-program yang berkaitan.
Advokasi (pendesak) pula bolehlah difahami sebagai mengemukakan pandangan pilihan (alternatif) kepada mana-mana pihak yang berautoriti di mana pandangan dan pendapat yang diajukan adalah bersifat membina dan membawa kepada kemaslahatan (kepentingan) umum dalam erti kata yang sebenarnya. Mungkin lazimnya kita melihat NGO-NGO yang bersifat advokasi ini lazimnya berdiri bagi pihak kerajaan yang memerintah mahupun pihak pembangkang yang berbeza dengan ideologi dengan pihak pemerintah, namun Angkatan Bahaman sekali menegaskan, Angkatan Bahaman sebagai sebuah NGO yang bebas daripada mana-mana unsur dan entiti-entiti politik, tetapi Angkatan Bahaman akan sentiasa cuba menjadi pertubuhan yang bersifat politikal kerana dengan hanya bersifat politikal, Angkatan Bahaman boleh menyuarakan pendapat serta pandangan, dan seterusnya Angkatan Bahaman mampu menjadi ejen perubahan serta penentu hala tuju politik tempatan jika Angkatan Bahaman berjaya mengadaptasikannya secara sistematik. Ini sesuai dengan prinsip Angkatan Bahaman demi matlamat pembinaan modal insan yang menuju kepada pengurusan negara yang lebih baik.
Angkatan Bahaman,
Duta Kasih-Sayang,
Buaian Revolusi.

Wednesday 18 March 2015

SAPERE AUDE!

BERANILAH BERFIKIR!

Sapere aude! (Beranilah berfikir)! Inilah slogan semangat pencerahan untuk berfikir secara kendiri yang dibawa oleh ahli falsafah Jerman Immanuel Kant (1724-1804) dalam artikel beliau berjudul "Was ist Aufklarung?" (Apa Itu Pencerahan) yang telah diterbitkan pada tahun 1784.
Semangat "sapere aude"! ini lah yang ingin dibawa oleh Angkatan Bahaman untuk anak-anak muda di Temerloh dan kawasan sekitar khususnya. Ini juga sesuai dengan semangat wahyu pertama untuk Nabi Muhammad S.A.W di Gua Hira', iaitu Iqra' (bacalah!). Kerana permulaan berfikir itu adalah mengetahui dan salah satu kaedah yang paling penting untuk mengetahui adalah daripada membaca!
Ini tidaklah menghairankan kerana sebenarnya Temerloh dan budaya berfikir kritis telah berakar umbi sejak zaman-berzaman. Ambil saja contoh, sejak sekian lama Ahli Parlimen dari Temerloh, sentiasa menjadi Menteri dan Timbalan Menteri di dalam kabinet kerajaan (Dato' Saifuddin Abdullah contohnya). Abaikan mereka ini daripada parti politik mana. Angkatan Bahaman adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berdiri di atas landasan mana-mana parti dan entiti politik secara amnya.
Angkatan Bahaman ingin menerapkan nilai-nilai berfikir kritis kepada anak-anak muda dan penduduk-penduduk Temerloh khususnya, ini bererti sikap anak-anak muda di Temerloh ini tidak lah perlu lagi bersikap jumud terhadap kongkongan minda dari parti politik pilihan masing-masing mahupun nilai-nilai terkebelakang konservatime yang diwarisi dari budaya dan adat setempat.
Atas dasar itu, Angkatan Bahaman kerap mengadakan dan bakal mengadakan lebih banyak forum, wacana dan dialog dan program-program yang berkaitan untuk melibatkan anak-anak muda Temerloh dan sekitar untuk mengambil sama semangat "sapere aude"! (beranilah berfikir), kerana dengan semangat ini lah, anak-anak muda Temerloh dan sekitar dapat terus maju berdikari membangunkan negara, bangsa dan agama tercinta.
Semangat sapere aude! ini perlu dibawa pada setiap jenis pekerjaan yang dilakukan anak-anak muda Temerloh. Samada berniaga, bekerja sendiri, pekerja kerajaan, mahupun pelajar, sewajarnya semua anak-anak muda perlu mempunyai semangat sapere aude! ini.
Untuk anak-anak muda Temerloh dan penduduk-penduduk Temerloh serta sekitar, ayuh lah bersama program-program Angkatan Bahaman selepas ini, kita bersapere aude! demi membina Temerloh yang lebih baik!
Sapere Aude! Beranilah berfikir!
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Tuesday 17 March 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 17 MAC 2015

LAPORAN BERITA FORUM ANJURAN PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

Orang muda kurang main peranan dalam politik


Sinar Harian
M.Feisal Norawi
Selasa, 17 Mac 2015

TEMERLOH - Golongan muda yang mempunyai jati diri utuh berasaskan ketinggian ilmu boleh menjadi ejen perubahan dan penentu hala tuju politik negara jika ia diadaptasi secara sistematik.

Wartawan bebas, Hashim Abdullah berkata, terdapat satu fenomena yang melanda parti politik dalam negara sekarang apabila orang muda tidak lagi berperanan secara berkesan sebagai pendesak kepada usaha mempertahan prinsip kenegaraan dengan matlamat pembinaan negara.

Sebaliknya, kata beliau, golongan muda hanyut dibuai isu dalaman parti masing-masing, maka fungsi tersebut boleh diambil alih anak muda kalangan badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya kurang setuju jika anak muda bergerak menuju kepada usaha menjadi kuasa ketiga, sebaliknya mereka lebih sesuai menjadi golongan pendesak," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung forum bertajuk Masa Depan Politik Tempatan anjuran NGO Angkatan Bahaman di Dataran Temerloh, Sabtu lepas.

Turut serta sebagai panel pada forum yang membariskan anak tempatan Temerloh ialah, Ketua Pegawai Ekskutif Global Moderate Of Movement Foundation (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah, Peguam, Ahmad NIzam Hamid, sementara Syed Putra Syed Ahmad sebagai moderator.

Terdahulu dalam pembentangannya, Hashim melahirkan rasa kecewanya kerana suasana politik negara semakin suram dan sering dilanda masalah yang memperlihatkan kurang diplomasi dalam usaha mencari penyelesaian sesuatu isu sehingga menjejaskan usaha pembentukan negara yang lebih makmur dan harmoni.

"Saya lihat amalan politik parti politik semakin sempit dan sangat konservatif, mereka terlalu takut melangkah ke hadapan dan melakukan perubahan lebih baik.

 "Saya ambil contoh, bagaimana proses peralihan kuasa seseorang pemimpin tertinggi, mengapa harus berlaku krisis sehingga embunuh nilai keadilan hanya semata-mata menggunakan hak dan kebenaran undang-undang dalam perlembagaan sedangkan ia boleh diubah dengan mudah?, katamya.

Beliau berkata, dalam menangani isu itu, proses perlantikan berasaskan penggal pilihan raya sebagaimana diamalkan di Amerika Syarikat dan Iran adalah yang terbaik.


Posting asal boleh didapati di Facebook Angkatan Bahaman

Sumber: Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Selasa, 17 Mac 2015 (m/s 40)


Sunday 15 March 2015

SELESAI FORUM "MASA DEPAN POLITIK TEMPATAN: GONE CERITA KAT TEMERLOH WEH"

JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT!

Selesai sudah forum "Masa Depan Politik Tempatan: Gone Citer Kat Temerloh Weh", bersama para panelis, moderator dan pengunjung-pengunjung yang hebat-hebat kesemuanya malam tadi. Angkatan Bahaman dengan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada para panelis, Dato' Saifuddin Abdullah, saudara Ahmad Nizam Hamid dan saudara Hashim Abdullah, dan moderator saudara Syed Putra Syed Ahmad yang telah membawa perjalanan forum ini dengan baik dan begitu mantap sekali malam tadi. Tidak lupa kepada pengerusi acara, saudara JR The DJ yang sentiasa menghiburkan khalayak dengan telatah tawanya.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pihak berkuasa kerana membenarkan penggunaan tapak lokasi forum walaupun permit yang kami pohon untuk melaksanakan forum berhampiran Dataran Temerloh itu sudah agak terlewat dan tidak ketinggalan ucapan terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak polis sukarelawan yang memberikan kerjasama yang amat baik dengan memantau dan mengawasi dengan begitu cemerlang di tapak lokasi forum demi memastikan perjalanan forum sentiasa berjalan lancar dan jayanya.

Akhir kata, Angkatan Bahaman ingin sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada para pengunjung kerana kehadiran anda semua membuktikan bahawa pendekatan politik menyantuni di meja forum adalah jauh lebih baik dari pengamalan politik yang bersikap reaksioner, mengadu domba, fitnah menfitnah dan saling memaki antara satu sama lain. Politik ilmiah, politik perbincangan seperti yang diajukan oleh salah seorang ahli panel malam tadi, Dato' Saifuddin Abdullah melalui gagasan "Politik Baru"nya itu lah yang cuba dibawa oleh Angkatan Bahaman, kerana Temerloh ini memang sudah secara tradisinya menjadi landskap kepada politik negara semenjak era sebelum kemerdekaan lagi (melalui gerakan kiri PKMM, API, AWAS, PETA dsb).

Dengan berjayanya forum rasmi pertama setelah Angkatan Bahaman didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 20 November tahun lalu, Angkatan Bahaman dengan ini merancang untuk mengadakan lebih banyak forum, dialog dan pelbagai lagi aktiviti yang merakyat khususnya kepada penduduk-penduduk Temerloh dan sesiapa yang berminat untuk menyumbang untuk pergerakan aktiviti Angkatan Bahaman selepas ini, bolehlah menyumbang terus ke akaun Maybank Angkatan Bahaman di nombor akaun 156057564939.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman






































Saturday 14 March 2015

PERSIAPAN UNTUK FORUM "MASA DEPAN POLITIK TEMPATAN: GONE CERITA KAT TEMERLOH WEH?" MALAM INI

SATU JEMPUTAN!

Komrad-komrad Angkatan Bahaman sedang menyiapkan persiapan untuk forum malam ini. Moh datang ramai-ramai rhodong wehhh?

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman















Friday 13 March 2015

JEMPUTAN DI AKHBAR SINAR HARIAN UNTUK KE FORUM "MASA DEPAN POLITIK TEMPATAN, GONE CERITA KAT TEMERLOH WEH":

MELAWAN LUPA UNTUK SATU JEMPUTAN

Jangan lupa malam besok, forum "Masa Depan Politik Tempatan: Gone Citer Kat Temerloh Weh", Dataran Temerloh pada pukul 9 malam. Jamuan makan juga bakal disediakan. Kita isi malam kita dengan politik ilmiah yang membawa paradigma kita ke depan! Moh datang jemput belaka rhodong-rhodong!

Forum kupas isu semasa


SINAR HARIAN

TEMERLOH - Angkatan Bahaman akan menganjurkan forum bertajuk Masa Depan Politik Tempatan, "Gone Cerita Kat Temerloh Weh" yang menampilkan dua bekas calon PRU Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahmad Nizam Hamid sebagai panel, Sabtu ini.

Presiden Angkatan Bahaman, Abdul Razak Endut berkata, forum itu akan mengupas perjalanan isu-isu semasa berkaitan politik, ekonomi, dan pendidikan di daerah Temerloh.

"Saifuddin dijemput atas kapasiti Ketua Pegawai Ekskutif Yayasan Kesederhanaan Global manakala Ahmad Nizam atas kapasiti pengamal undang-undang.

"Seorang lagi ahli panel menampilkan wartawan bebas, Hashim Abdullah dan moderator bagi forum itu dikendalikan Syed Putra Syed Ahmad,"katanya.

Abdul Razak berkata, forum itu akan bermula jam 9 malam di Dataran Temerloh dan menjadi program rasmi pertama Angkatan Bahaman selepas pendaftaran diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 20 November lalu.

Katanya, orang ramai dijemput hadir.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


Thursday 12 March 2015

WARTA ANGKATAN BAHAMAN

Assalamualaikum w.b.t.
Buat julung-julung kalinya Angkatan Bahaman akan menganjurkan forum politik yang sangat awesome dan ilmiah. Program ini bakal membariskan panelis-panelis yang sangat berkaliber dan arif dalam aliran fahaman politik dan ilmu masing-masing. Mereka ini juga terdiri daripada aktivis masyarakat yang sangat aktif melakukan kerja-kerja amal bukan sahaja terkenal di dalam negara tetapi juga disenangi di mata dunia.
Forum ini bakal mengupaskan isu setempat merangkumi kepelbagaian aspek dan juzuk-juzuk pemikiran. Maka sekiranya anda mencintai politik sihat, politik yang bakal membawa anda kedepan, mencipta masa depan yg lebih unggul, maka kami mengajak anda untuk bersama dengan kami bagi memeriahkan bersama program ini. Anda juga boleh mengajukan soalan-soalan yang mampu memerdekakan pemikiran anda dari pelbagai sudut. Jamuan makan pun bakal disediakan, jadi, moh belaka kite datang ramei-ramei malam tu wehhhh.
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


ANGKATAN BAHAMAN BAKAL MENGANJURKAN FORUM MASA DEPAN POLITIK TEMPATAN: GONE CITER KAT TEMERLOH WEH"

JEMPUTAN UNTUK SEMUA

Angkatan Bahaman akan mengadakan forum yang bertajuk "Masa Depan Politik Tempatan: Gone Citer Kat Temerloh Weh", pada hari Sabtu ini, bertempat di Dataran Temerloh, bermula pada pukul 9 malam hingga 11.30 malam.

Ahli panel dan moderator terdiri daripada semua penduduk tempatan yang bermula dari Dato' Saifuddin Abdullah daripada wakil Global Moderation Movement (GMM), Ahmad Nizam Hamid, seorang peguam, dan Hashim Abdullah, seorang wartawan bebas.

Forum akan bertempat di Dataran Temerloh (tempat gelanggang gasing) dan jamuan makan juga akan disediakan. Moh mari belaka rhodong-rhodong wehhhhh!


Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


Wednesday 4 March 2015

KUNJUNGAN HORMAT KALI KEDUA BERSAMA DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH

WARTA ANGKATAN BAHAMAN 

Angkatan Bahaman sekali lagi telah mengadakan kunjungan hormat bersama Dato' Saifuddin Abdullah, pengerusi Global Movement Of Moderates (GMM), pada siang hari tadi. Ini adalah kunjungan kedua Angkatan Bahaman bersama Dato' Saifuddin Abdullah setelah kunjungan pertama pada tanggal 17 Disember tahun 2014 yang lalu.

Kesudian Dato' Saifuddin Abdullah menerima sekali lagi kunjungan hormat daripada Angkatan Bahaman selaku pertubuhan berorganisasi yang baru menempa nama bagi melakukan aktiviti bermasyarakat merupakan satu penghormatan yang tidak terhingga kepada organisasi kami.

Global Movement Of Moderates (GMM) adalah kotak pemikir bagi kerajaan yang memerintah dimana disini tempat berkumpulnya kepelbagaian idea. Di sini juga kerap diadakan pertemuan pertubuhan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara dalam membincangkan kepelbagaian isu. Delegasi-delegasi yang sering hadir di GGM ini sering membawa isu keselamatan, kesihatan, pendidikan, hubungan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Hasil pertemuan sekali lagi diantara Angkatan Bahaman dan GMM banyak berkomentar tentang permasalahan tempatan dan antarabangsa. Pertemuan yang memakan masa hampir satu jam setengah itu banyak berbicara soal pendidikan di Temerloh. Angkatan Bahaman memandang serius penurunan ranking Temerloh dalam soal keputusan peperiksaan awam di sekolah-sekolah memandangkan Temerloh yang suatu ketika dahulu begitu gah mengungguli carta ini, khususnya di dalam negeri Pahang ini.

Angkatan Bahaman juga menyeru agar kepimpinan masyarakat daripada pihak yang berwajib mengekalkan legasi yang ditinggalkan dan memastikan momentum ini terus dipacu agar Temerloh sentiasa dihadapan dalam membicarakan soal pendidikan.

Angkatan Bahaman juga berhasrat agar segala prasarana dan kemudahan di Akademi Belia di mana Dato' Saifuddin Abdullah turut mempengerusikan badan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua lapisan masyarakat di Temerloh dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bersifat mendidik rakyat seperti wacana,forum,debat dan sebagainya.

Angkatan Bahaman juga mengesa agar Temerloh dijadikan bandar hub pelancongan dan pelancongan ikan patin yang telah dilakukan dahulu dapat dihidupkan semula ,sinonim dengan jolokan "Temerloh, Bandar Ikan Patin, selain "Temerloh, Titik Tengah Semenanjung" dan "Temerloh, Buaian Revolusi" di mana slogan ini merupakan satu aset yang sangat berharga yang perlu di ketengahkan dan dinaikkan kembali.
Temerloh juga terkenal dengan kepelbagaian budaya seperti aktiviti orang asal yang masih kekal sehingga kini dan tidak kurang juga aktiviti seperti silat tradisional dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi penduduk di Temerloh.

Bagi meningkatkan dan menjaga kebajikan ahli-ahli Angkatan Bahaman di dalam bidang ekonomi, Dato' Saifuddin Abdullah telah mencadangkan Angkatan Bahaman turut terlibat dalam penubuhan koperasi selain membuat aktiviti yang lebih kerap dan berterusan untuk kemajuan warga-warga Temerloh, seperti cadangan untuk menghimpunkan seluruh tokoh-tokoh akademik Temerloh yang berada di perantauan untuk balik "berhi-tea" sepetang bersama warga Temerloh dalam satu tarikh yang dapat dibincangkan bersama kelak.

Dato' Saifuddin Abdullah turut menyeru kepada Angkatan Bahaman supaya melibatkan diri dengan lebih serius dalam aktiviti yang bersifat aktivisme, servis, dan advokasi.

Angkatan Bahaman kemudian telah turut sama mengajukan kepada Dato' Saifuddin Abdullah untuk menyatukan hampir kesemua tokoh-tokoh politik di Temerloh pada waktu ini untuk menumpahkan segala idea dan visi mereka di atas pentas forum di Temerloh dalam waktu terdekat.

Tidak lupa, banyak input dan proses untuk menggerakkan sesebuah NGO telah dikongsi oleh Dato' Saifuddin Abdullah memandangkan pengalaman beliau yang amat meluas dalam bidang pergerakan lokal dan internasional.

Akhir kata, Angkatan Bahaman amat berbesar hati apabila sekali lagi berjaya ditemukan bersama tokoh politik dan pemikir tempatan yang sangat sederhana, merendah diri, berprinsip, idealis dan paling penting, beliau turut seorang aktivis masyarakat dengan menggerakkan Akademi Belia dan GMM yang bernaung di bawah beliau.
Semoga bertemu lagi bersama idola produk warga Temerloh ini di masa mendatang. Sekian.

Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi!

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


PERGERAKAN PESERTA HIMPUNAN ‪#‎KITALAWAN‬ PADA 7 MAC 2015

#KITALAWAN
Bagi melancarkan pergerakan peserta Himpunan #KitaLawan 7 Mac 2015, pimpinan berikut akan bersama-sama berkumpul di lokasi yang dinyatakan jam 3.00 petang sebelum menuju ke Sogo.
PASAR SENI
Sdr Adam Adli
Sdr Fahmi Zainol
Sdr Safwan Anang
Sdri Bawani KS
Sdr Rafizi Ramli
MASJID JAMEK
Sdr Nik Nazmi Nik Ahmad
Sdr Teo Kok Seong
Sdri Nurul Izzah Anwar
IBUPEJABAT PAS
Sdr Suhaizan Kayat
Sdr Shamsul Iskandar
Sdr Tian Chua
Tema adalah warna hitam. Petugas keselamatan Unit Amal dan Skuad AMK, kecemasan (medic team) dan peguam (urgent arrest) akan diaktifkan. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui Facebook https://www.facebook.com/KitaLawanOfficial atau Twitter @KitaLawan_my
Sebarkan. Terima kasih.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman




Tuesday 3 March 2015

KENYATAAN MEDIA: LOKASI BERKUMPUL BAGI PESERTA HIMPUNAN ‪#‎KITALAWAN‬ PADA 7 MAC 2015

KENYATAAN MEDIA:
LOKASI BERKUMPUL BAGI PESERTA HIMPUNAN ‪#‎KITALAWAN‬ PADA 7 MAC 2015


Bagi melancarkan pergerakan, peserta-peserta Himpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 diminta berkumpul jam 3.00 petang di lokasi berikut:
1. Pasar Seni (atau Central Market)
2. Masjid Jamek
3. Bangunan Ibupejabat PAS, Jalan Raja Laut
Seterusnya, pimpinan akan mengetuai kumpulan dari tempat berkumpul menuju ke Sogo.
Tema adalah warna hitam. Petugas keselamatan Unit Amal dan Skuad AMK, kecemasan (medic team) dan peguam (urgent arrest) akan diaktifkan. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui Facebookhttps://www.facebook.com/KitaLawanOfficial atau Twitter @KitaLawan_my.
Mohon bantu sebarkan. Terima kasih.
3 MAC 2015
SEKRETARIAT #KITALAWAN

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman