Thursday 14 April 2016

ARKIB ANAK MUDA BERA BANTAH GST 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN SELASA, 14 APRIL 2015

Sekumpulan anak muda bantah GST
Azizah Shafie
14 April 2015

BANDAR BERA - Lagi demonstrasi aman membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilakukan sekumpulan anak muda yang menggelar diri mereka sebagai Pemuda-pemudi Bera, petang kelmarin.

Pengarah Koordinator, Ikram Ismail, 24, berkata, demonstrasi berbentuk flashmob ini menggesa kerajaan menimbangkan kembali secara serius berkenaan cukai GST yang dilaksanakan sejak 1 April lalu berikutan mendapat pelbagai kritikan pelbagai pihak.

Menurutnya, pengguna keliru dengan hak merela kerana tiada panduan khusus yang mudah difahami, selain peniaga yang masih kurang memahami kaedah pelaksanaan cukai tersebut.

"Keadaan ini boleh menyebabkan penindasan kepada pengguna terutama mereka yang berpendapatan rendah dengan kadar gaji minima.

"Kerajaan perlu meneliti perkara ini, dan tidak sewajarnya cukai GST enam peratus ini diteruskan,"katanya.

Seorang peserta, Asyraf Hamdan, 27, berkata cukai GST yang dilaksanakan ini bukan satu keperluan kerana kadar hutang seisi rumah yang semakin bertambah, lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi rakyat yang masih belum pulih sepenuhnya dari bencana banjir akhir tahun lepas.

Katanya, kedudukan ekonomi negara yang tidak begitu baik termasuk masalah pengangguran yang masih tinggi ketika ini akan merumitkan lagi kehidupan rakyat.

"Dengan pelaksanaan cukai GST ini, kehidupan rakyat terutama orang miskin dalam negara ini semakin terhimpit dan tertekan, "kata beliau.

Sementara itu, Mohamad Hakim, 22, berkata, mereka mengadakan flashmob Bantah GST ini kerana mereka meragui kemampuan kerajaan dalam melaksanakan sistem cukai ini dengan adil kerana tahap rasuah dan ketirisan yang masih berleluasa dalam sistem pentadbiran negara ini seperti yang terbukti dalam Laporan Audit baru-baru ini.

"Tidak mustahil pelaksanaan cukai GST juga boleh menyebabkan ketirisan seperti yang telah terjadi dalam banyak kes yang melibatkan kewangan negara,"katanya.

Sumber: Akhbar Sinar Harian Pahang Edisi Pahang, Selasa, 14 April 2015 (m/s 38)