Friday 16 October 2015

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN 16 OKTOBER 2015

KENYATAAN MEDIA.
16 OKTOBER 2015
ANGKATAN BAHAMAN MENYAMBUT BAIK PENGHIJRAHAN DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH KE DALAM WADAH BARU, NAMUN TETAP KRITIS DENGAN SEGALA TINDAKAN BELIAU.
Kemasukan Dato' Saifuddin Bin Abdullah, mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan mantan Ahli Parlimen Temerloh daripada Barisan Nasional ke dalam Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) semalam disambut dengan baik oleh pertubuhan Angkatan Bahaman.
Malah, jika dilihat dari segi visi dan gagasan politik baru yang ingin dibawa oleh Dato' Saifuddin Abdullah, penghijrahan ini sudah patut lebih awal berlaku, usai sebelum PRU 13 lagi.
Namun, dengan keadaan iklim politik semasa yang cukup mencabar dan begitu rencam pada hari ini, keputusan Dato' Saifuddin Abdullah ke dalam wadah baru ini juga begitu kena pada masanya, tatkala tindakan ini disinonimkan pula dengan mengambil semangat tahun baru kalendar Hijrah.
Dengan status terbaru Dato' Saifuddin Abdullah ini, pertubuhan Angkatan Bahaman mengharapkan Dato' Saifuddin Abdullah dapat tetap meneruskan perjuangan bagi merealisasikan segala idea mengenai gagasan politik baru yang direncana beliau sebelum ini.
Walaupun sudah meletakkan jawatan sebagai CEO Yayasan Kesederhanaan Global (GMM) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, namun imej kesederhanaan (moderat) dan progresif yang sudah sebati dengan Dato' Saifuddin Abdullah ini perlu terus dibawa ke dalam wadah baru yang dipilih Dato' Saifuddin Abdullah ini.
Kredibiliti yang telah terbina dalam diri Dato' Saifuddin Abdullah selama ini kini bukan milik sesebuah parti atau sesebuah organisasi semata-mata, namun kredibiliti beliau ini sewajarnya dikongsi oleh semua rakyat Malaysia tatkala negara sedang berhadapan dengan iklim politik yang serba reaksionari ketika ini.
Keadaan seperti ini amat begitu memerlukan tokoh kepimpinan yang menonjol dari segi toleransi dan terkedepan dalam intelektualisme dan aktivisme untuk menggugah sistem qou yang sedia ada agar kita tidak lagi terperangkap dalam agenda politik perkauman atau apa jua perbahasan yang sempit dan tidak saintifik, agar kita dapat membina Malaysia yang lebih baik dan progresif untuk masa hadapan.
Namun begitu, sebagai seorang sosok politikus, tambahan pula telah sinonim dalam membawa nama Temerloh selama ini, pertubuhan Angkatan Bahaman tetap akan terus kritis terhadap segala perancangan, dasar, atau retorik yang diajukan selama beliau meneruskan perjuangan di dalam parti Keadilan ini.
Ini selaras dengan prinsip pertubuhan Angkatan Bahaman, yang didominasi oleh anak-anak muda, di mana kami akan sentiasa bersikap kritis terhadap persekitaran kami, terutama kepada para ahli politik yang akan membawa dan mempengaruhi setiap dasar kepada kualiti kehidupan kami anak-anak muda khususnya dan keseluruhan warga Malaysia umumnya.
Akhir kata, selamat maju jaya pertubuhan Angkatan Bahaman ucapkan kepada Dato' Saifuddin Abdullah dalam wadah baru yang dipilih beliau.
ABDUL RAZAK ENDUT.
PENGERUSI PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Bahaman, Abdul Razak Endut