Thursday 14 May 2015

BANTAH PERJANJIAN TPPA

TOLAK TPPA!

Angkatan Bahaman tidak nampak apa relevannya pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) begitu bersungguh-sungguh dalam rundingan untuk memuktamadkan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) antara 12 negara yang terlibat dalam rundingan ini sedangkan Amerika Syarikat sendiri pun belum mendapat sokongan Senat bagi memuktamadkan perjanjian yang penuh dengan tipu daya ini.

Malah yang lebih menghairankan, isi kandungan rundingan dan perjanjian TPPA ini amatlah dilindungi kerahsiaan dan pengetahuan mendalam mengenai hal perjanjian TPPA ini hanya melibatkan pengetahuan di antara pihak kerajaan bersama pihak kerajaan sahaja, sedangkan rakyat dari 12 negara yang terbabit dalam rundingan TPPA ini langsung tidak dilibatkan bersama mengenai hal perjanjian TPPA ini.

Seperti kenyataan dalam edisi Financial Daily Asia, perjanjian TPPA ini dikatakan" 'urusan perniagaan' yang dijalankan dengan penuh kerahsiaan setakat yang berlaku pada hari ini." Hal ini amatlah berbahaya kepada kedaulatan negara, malah lebih bahaya dari isu cukai pelaksanaan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dijalankan bermula 1 April yang lalu kerana hal TPPA ini jika berjaya dimeterai bermakna pada akhirnya akan melibatkan konflik terhadap hak pemilikan harta antarabangsa, selain isu perusahaan milik negara, pelaburan, perkhidmatan kewangan dan alam sekitar khusus terhadap sesuatu negara yang terlibat dalam perjanjian TPPA ini. Dalam kata mudah, perjanjian TPPA ini jika berjaya dirundingkan dan dimeterai dengan sempurna, maka kedaulatan negara ibarat sedang berada di hujung tanduk kerana bakal dijajah oleh imperialisme berbentuk baru.

Sehingga April, 10 daripada 29 bab mengenai perjanjian TPPA telah dimuktamadkan yang melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, dan Vietnam. TPPA sendiri adalah satu perjanjian perdagangan bebas dan kita semua patut khuatir, dengan persaingan terlalu bebas bersama dengan negara yang terlibat dalam perjanjian ini, bagaimana dengan kepentingan Bumiputera, perusahaan kecil, soal ubat-ubatan dan sebagainya yang telah dibangkitkan oleh banyak pihak mengenai kesan bahaya perjanjian TPPA sebelum ini?.

Jangan kerana terlalu galak membodek Presiden Obama, kedaulatan negara kita akhirnya tergadai kepada para kapitalis jerung yang akhirnya akan menyebabkan rakyat kita melukut di tepi gantang di negara sendiri.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman