Thursday 19 March 2015

BAGAIMANA SEBUAH NGO BERFUNGSI DAN TERUS KEKAL RELEVAN

CIRI-CIRI SEBUAH NGO

Sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lazimnya bersifat memberi servis, menganjurkan aktiviti, dan juga advokasi (pendesak). Sebagai sebuah NGO yang dibarisi oleh rata-rata anak muda tempatan, Angkatan Bahaman akan cuba memenuhi ketiga-tiga peranan bagi sesebuah pertubuhan NGO ini.
Yang pertama, bersifat memberi servis, contohnya sentiasa menjalankan kerja-kerja dan khidmat sosial kebajikan. Selain itu memberi tumpuan kepada sesuatu aspek yang bersifat khusus seperti membantu pemuliharaan alam semulajadi juga boleh dikategorikan sebagai memberi servis. Angkatan Bahaman akan sentiasa fokus terhadap khidmat sosial kebajikan terutama untuk kawasan tempatan dan kawasan sekitar amnya. Tenaga-tenaga muda dari Angkatan Bahaman sentiasa bersiap-siaga dalam memberi khidmat yang terbaik untuk memberi khidmat yang pantas dan efisien, sesuai dengan matlamat penubuhan Angkatan Bahaman itu sendiri. Dalam erti kata lain, Angkatan Bahaman akan cuba menjadi sebuah NGO yang bersifat " pertubuhan masyarakat sivil".
Penganjuran aktiviti pula melibatkan program-program yang sentiasa diadakan untuk memberi kemudahan, pencerahan minda, dan segala yang berkaitan dengan keperluan masyarakat setempat. Disini, Angkatan Bahaman akan memastikan kami sentiasa aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang melibatkan aktiviti indoor mahupun aktiviti-aktiviti outdoor. Di samping penganjuran forum, dialog, dan wacana yang kerap dianjurkan oleh Angkatan Bahaman untuk memberi pencerahan dan budaya "sapere aude!" (beranilah berfikir) kepada penduduk setempat, Angkatan Bahaman juga akan aktif kepada aktiviti yang melibatkan aktiviti-aktiviti outdoor seperti menganjurkan aktiviti memanjat gunung, bersukan, derma darah, dan program-program yang berkaitan.
Advokasi (pendesak) pula bolehlah difahami sebagai mengemukakan pandangan pilihan (alternatif) kepada mana-mana pihak yang berautoriti di mana pandangan dan pendapat yang diajukan adalah bersifat membina dan membawa kepada kemaslahatan (kepentingan) umum dalam erti kata yang sebenarnya. Mungkin lazimnya kita melihat NGO-NGO yang bersifat advokasi ini lazimnya berdiri bagi pihak kerajaan yang memerintah mahupun pihak pembangkang yang berbeza dengan ideologi dengan pihak pemerintah, namun Angkatan Bahaman sekali menegaskan, Angkatan Bahaman sebagai sebuah NGO yang bebas daripada mana-mana unsur dan entiti-entiti politik, tetapi Angkatan Bahaman akan sentiasa cuba menjadi pertubuhan yang bersifat politikal kerana dengan hanya bersifat politikal, Angkatan Bahaman boleh menyuarakan pendapat serta pandangan, dan seterusnya Angkatan Bahaman mampu menjadi ejen perubahan serta penentu hala tuju politik tempatan jika Angkatan Bahaman berjaya mengadaptasikannya secara sistematik. Ini sesuai dengan prinsip Angkatan Bahaman demi matlamat pembinaan modal insan yang menuju kepada pengurusan negara yang lebih baik.
Angkatan Bahaman,
Duta Kasih-Sayang,
Buaian Revolusi.