Tuesday 17 March 2015

DI AKHBAR SINAR HARIAN 17 MAC 2015

LAPORAN BERITA FORUM ANJURAN PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

Orang muda kurang main peranan dalam politik


Sinar Harian
M.Feisal Norawi
Selasa, 17 Mac 2015

TEMERLOH - Golongan muda yang mempunyai jati diri utuh berasaskan ketinggian ilmu boleh menjadi ejen perubahan dan penentu hala tuju politik negara jika ia diadaptasi secara sistematik.

Wartawan bebas, Hashim Abdullah berkata, terdapat satu fenomena yang melanda parti politik dalam negara sekarang apabila orang muda tidak lagi berperanan secara berkesan sebagai pendesak kepada usaha mempertahan prinsip kenegaraan dengan matlamat pembinaan negara.

Sebaliknya, kata beliau, golongan muda hanyut dibuai isu dalaman parti masing-masing, maka fungsi tersebut boleh diambil alih anak muda kalangan badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya kurang setuju jika anak muda bergerak menuju kepada usaha menjadi kuasa ketiga, sebaliknya mereka lebih sesuai menjadi golongan pendesak," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung forum bertajuk Masa Depan Politik Tempatan anjuran NGO Angkatan Bahaman di Dataran Temerloh, Sabtu lepas.

Turut serta sebagai panel pada forum yang membariskan anak tempatan Temerloh ialah, Ketua Pegawai Ekskutif Global Moderate Of Movement Foundation (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah, Peguam, Ahmad NIzam Hamid, sementara Syed Putra Syed Ahmad sebagai moderator.

Terdahulu dalam pembentangannya, Hashim melahirkan rasa kecewanya kerana suasana politik negara semakin suram dan sering dilanda masalah yang memperlihatkan kurang diplomasi dalam usaha mencari penyelesaian sesuatu isu sehingga menjejaskan usaha pembentukan negara yang lebih makmur dan harmoni.

"Saya lihat amalan politik parti politik semakin sempit dan sangat konservatif, mereka terlalu takut melangkah ke hadapan dan melakukan perubahan lebih baik.

 "Saya ambil contoh, bagaimana proses peralihan kuasa seseorang pemimpin tertinggi, mengapa harus berlaku krisis sehingga embunuh nilai keadilan hanya semata-mata menggunakan hak dan kebenaran undang-undang dalam perlembagaan sedangkan ia boleh diubah dengan mudah?, katamya.

Beliau berkata, dalam menangani isu itu, proses perlantikan berasaskan penggal pilihan raya sebagaimana diamalkan di Amerika Syarikat dan Iran adalah yang terbaik.


Posting asal boleh didapati di Facebook Angkatan Bahaman

Sumber: Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Selasa, 17 Mac 2015 (m/s 40)