Sunday 25 October 2015

SOLIDARITI BERSAMA WARGA SELATAN THAI DALAM MENGINGATI PERISTIWA BERDARAH TAKBAI 2004

SOLIDARITI!

Solidariti Bersama Warga Selatan Thai Dalam Mengingati Peristiwa Berdarah Takbai 2004.
Hari ini, pada 25 Oktober 2015, genap 11 tahun berlakunya 'Peristiwa berdarah Takbai', iaitu satu peristiwa dalam era moden yang sangat bersejarah sepanjang perjuangan rakyat di Selatan Thai. Peristiwa berdarah Takbai ini berlaku pada 25 Oktober 2004, di mana seramai 85 penduduk Selatan Thai secara rasmi disahkan maut akibat kekejaman anggota-anggota tentera Thailand.
Anggota-anggota tentera Thailand pada waktu itu telah menahan dan menindih anggota badan para mangsa secara beramai-ramai di dalam trak anggota tentera. Lebih menyayat hati, kesemua mereka yang terkorban ini sedang menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan pada waktu itu.
Seperti berita yang dapat disoroti dalam media arus perdana, peristiwa berdarah Takbai ini begitu mendapat perhatian yang meluas seluruh dunia, terutama di negara kita, Malaysia sementelah Selatan Thai adalah jiran kepada negara kita di bahagian utara Semenanjung. Faktor geografi ini membuatkan ramai daripada rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal berdekatan sempadan Thai mempunyai ramai sanak saudara mara dan rakan-rakan di sana. Jadi, tidak hairanlah peristiwa berdarah Takbai ini juga begitu menyentap dan menyentuh hati rakyat Malaysia umumnya.
Sehingga hari ini, anggaran jumlah kematian di Selatan Thai sudah menjangkau 6000 nyawa selain 10 000 mengalami kecederaan sepanjang pergolakan disana. Manakala beribu-ribu anak kecil menjadi yatim piatu setelah berlakunya peristiwa berdarah Takbai ini.
Ini adalah anggaran rasmi, tanpa mengambil kira kematian yang berlaku akibat penculikan, penderaan dan pembunuhan yang disyaki dilakukan secara terancang oleh pihak yang berkepentingan disana. Ini dapat dilihat melalui rekod-rekod peningkatan aduan yang diterima daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia selama ini.
Kawasan 'Red Zone' yang diwartakan junta dengan berselindung di sebalik perintah Darurat sebelum ini menyaksikan lebih ramai mangsa yang tertindas tanpa diketahui dunia luar. Ini suatu keadaan yang amat membimbangkan kita semua.
Juga bagi pertubuhan Angkatan Bahaman yang berbasis di daerah Temerloh, Pahang, disini pihak kami temui ramai bekas warga Selatan Thai yang berhijrah ke mari, atas faktor kekacauan yang terus berlaku saban hari disana. Malah penghijrahan dari Selatan Thai ke daerah Temerloh akibat kekacauan yang berlaku disana ini telah berlaku seawal 1900an yang lalu, di mana pada pada waktu itu, pemberontakan Haji Sulung yang dipatahkan membuatkan ramai pengikut Haji Sulung kemudian bertebaran mencari perlindungan di Semenanjung ini. Peristiwa berdarah Takbai ini kemudiannya tidak lepas daripada pandangan warga Temerloh khususnya juga.
Selatan Thai, yang bergolak begitu lama usai seawal abad ke 19, atau kira-kira 200 tahun dahulu lagi, kini memasuki era dimensi baru dalam melihat naratif pensejarahan perjuangan rakyat di Selatan Thai selepas peristiwa berdarah Takbai ini meletus pada 11 tahun yang lalu.
Sehingga ke hari ini, peristiwa berdarah Takbai ini terus hangat diperkatakan kembali, kerana bukan saja untuk mengenang kepada kaum keluarga atau saudara mara mereka yang terkorban akibat kekejaman tentera Thailand pada bulan Ramadhan itu, tetapi sebagai pencarian dan penebusan terhadap keadilan yang belum selesai kepada waris-waris mangsa dalam peristiwa berdarah ini.
Waris-waris mangsa serta seluruh warga Selatan Thai khususnya masih sentiasa menagih keadilan dan belas simpati daripada masyarakat antarabangsa sementelah apa itu makna bagi keadilan untuk mangsa-mangsa yang terkorban ketika peristiwa berdarah Takbai ini tidak lagi membawa erti apa-apa setelah Mahkamah Agung Thailand baru-baru ini menyalahkan kepada oksigen (faktor ketiadaan oksigen) dan bukannya pula kepada kekejaman anggota-anggota tentera Thailand pada waktu itu sebagai punca utama kepada tewasnya 85 mangsa di peristiwa berdarah Takbai pada waktu itu.
Keputusan dan alasan yang dilihat agak kurang masuk akal daripada Mahkamah Agung Thailand ini membuatkan ramai daripada kalangan waris mangsa dalam peristiwa berdarah ini semakin hilang kepercayaan terhadap institusi-institusi di dalam negara Thailand sendiri bagi memperjuangkan keadilan bagi pihak mereka. Masakan oksigen pula yang dipersalahkan?
Pertubuhan Angkatan Bahaman berhubung rapat dan sentiasa mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Selatan Thai bersama sebuah NGO yang aktif dan cekap dalam memperjuangkan keadilan bagi isu-isu di Selatan Thai iaitu North South Initiatives (NSI) yang berpengkalan di Petaling Jaya Selangor.
Pengalaman NSI yang luas dalam setiap isu di Selatan Thai ini memandangkan mereka juga menjalinkan hubungan kerjasama yang amat rapat bersama gerakan massa dan gerakan pelajar seperti Persatuan Pelajar dan Anak Muda Pattani (PerMAS) di Selatan Thai selain NSI sendiri yang aktif melibatkan diri setelah Pertubuhan Pax Romana yang bermula dalam isu ini sebagai antara 'pioneer' awal akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Pertubuhan Angkatan Bahaman sebagai salah satu usaha kami dalam mewujudkan solidariti terhadap apa yang berlaku di Selatan Thailand, teristimewa bagi solidariti bersama warga selatan Thai dalam mengingati peristiwa berdarah 25 Oktober 2004 ini.
Angkatan Bahaman.
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman