Monday 11 April 2016

CERPEN ANAK MUDA CEMERLANG

ANAK MUDA CEMERLANG
Oleh: Syahnizam Lateh (Bendahari Angkatan Bahaman) 

I
Tum! Tum! Tum!!
Bang! Bang! Booommmmm!!!

“Bunyi apakah itu?” Salman tertanya-tanya kehairanan sambil menggosok perut.

Seorang lelaki yang wajahnya amat menyeramkan datang mendekat. Mukanya pucat dan berlumpur. Matanya bulat seakan terjojol keluar. Kakinya berdarah. Dengan berjalan terhencut-hencut terdengar mulutnya berkata sesuatunya.. “Penjajah.. Penjajah..”

Tentera asing datang menyerang. Suasana menjadi kelam-kabut. Kaum lelaki bergegas mencapai senjata mereka. Kaum ibu berlari sambil mendukung anak kecil mereka mencari tempat yang selamat.

“Apa aku nak buat ni? Aku nak lari ke mana?” Salman terpaku. Tiada arah. Tiada senjata melainkan senjata asli. Salman lantas berdoa semoga Allah memberinya petunjuk dan perlindungan.

“Merdeka!.. Merdeka!!”

“Suara siapakah itu?” bisik hati Salman.

Dari kejauhan terlihat sosok anak muda belasan tahun berdiri tegap di atas bukit sambil mengepalkan tinju ke langit. Wajahnya kelihatan sangat cemerlang dengan kilauan cahaya matahari.

“Siapakah gerangannya orang itu?” bisik hati Salman yang juga seorang anak muda yang baru berumur 16 tahun. Salman lantas berlari kijang ke arahnya untuk berlindung di sana.

Di sekitarnya terdapat barisan pemuda-pemudi yang lengkap dengan senapang, sedang mengacungkan senjata mereka ke arah musuh. Sebahagian yang lain pula, yang tidak bersenjata, berlindung di belakang bukit tersebut.

Di celah-celah bukit tersebut kelihatan seorang gadis yang sangat cantik. “Eh.. Macam muka Emma Maembong. Dia buat apa tu? Melampau dah dia ni..” Belum pun sempat Salman sampai ke sana tiba-tiba..

KEBAABOOOMMMMM!!!

II
“Astaghfirullah!” tempik Salman.

Salman menoleh ke kiri dan ke kanan. Gelap. Badannya berpeluh. Kain pelikatnya basah. Salman cuba menggerakkan kedua tangannya dan mengetuk lututnya beberapa kali.

“Fuh..!” keluhnya. Kakinya terasa sakit.

Jam menunjukkan pukul 12.44 tengah malam. Salman tertidur selepas Maghrib kerana kepenatan. Dia menyedari dirinya sedang berada di asramanya. Malam minggu yang sunyi. Semuanya sedang nyenyak tidur setelah masing-masing kepenatan menyertai acara maraton sejauh 40km siang tadi. Salman lantas mencapai tuala lalu pergi ke bilik air.

Setelah selesai solat Isyak, Salman terdengar suatu bunyi yang aneh di belakangnya. Salman menjulurkan kepalanya dan mengintai.

“Zaki! Kau ni dah kenapa?” tanya Salman yang terkejut melihat rakannya sedang berenang bebas di atas lantai laluan tengah dom. Salman cuba datang mendekat.

Zaki hanya membisu sambil menggeleng-gelengkan kepala. Terdengar suara ketawa jahat dalam samar-samar yang hanya bercahayakan lampu jalan di luar.

“Huh, ini namanya kes buli” bisik hati Salman setelah menyedari terdapat beberapa orang seniornya di dalam dom tersebut.

“Hah kau! Jika Perdana Menteri kita yang pertama digelar sebagai Bapa Kemerdekaan, jadi apakah gelaran bagi Perdana Menteri kita yang ke-4?” tanya salah seorang senior kepada Salman setelah perasan akan keberadaannya.

“Soalan kejadah apa pulak malam-malam buta ni..” bisik hati Salman. “Err.. Bapa Kapitalis.. eh..” jawabnya keraguan.

“Tengkorak kau! Turun sekarang. Berenang macam kawan kau” tegas seniornya.

Salman lantas buat seperti apa yang disuruh. Sedang Salman berenang, terlintas di kepalanya mengenai mimpinya sebelum ini. Dia teringat akan anak muda yang sinar wajahnya sangat cemerlang dan begitu bersemangat kental melaungkan seruan merdeka. Salman menoleh ke muka Zaki.

“Sabarlah sahabatku, fajar kemenangan pasti terbit sebentar lagi” kata Salman cuba meyakinkan Zaki yang seperti mahu menangis dan hilang harapan.

“Pasal Perdana Menteri pun tak boleh jawab, belum lagi pasal menteri-menteri yang lain. Orang macam korang berdua ni lah jenis rakyat yang tak reti nak bersyukur!” tegas seniornya sambil meletakkan satu baldi beberapa meter di hadapan mereka berdua. “Nah, siapa dulu yang dapat menyondol baldi ni, kami akan lepaskan dia” tegasnya lagi.

Salman dan Zaki pun melajukan kayuhan tangan mereka.

“Laju lagi.. laju lagi..” ujar senior-senior yang lain sambil bergelak sakan.

Salman mendahului. Salman menoleh ke arah Zaki lalu memperlahankan kayuhan kerana tidak sampai hati melihat Zaki yang begitu bersungguh-sungguh ingin menang agar keluar dari penderitaan yang sedang dihadapinya. Salman mengalah dan Zaki berjaya menyondol baldi tersebut.

“Dah, kau kami lepaskan, pergi tidur!” ujar sang senior kepada Zaki.

Zaki lantas bangun dan menunjukkan isyarat sesuatu kepada Salman sebelum pergi ke katilnya. Salman senyum dan memahami maksud Zaki.”Yeah! Megi sebungkus untukku” bisik hati Salman.

“Kau! Sekarang aku nak kau jalan itik 3 langkah kemudian lompat katak sekali. Ulang sampai aku suruh berhenti!” tegas sang senior kepada Salman.

“Baiklah!” jawab Salman lantas buat seperti apa yang disuruh.

III
Cuti penggal tengah sekolah bermula. Saat yang begitu gembira bagi Salman dan rakan-rakan juniornya. Musim bagi melupakan segala keserabutan dan penderitaan yang dilalui di sekolah asrama penuhnya, yang acap kali berlaku kes pembulian. Seperti burung-burung yang bebas dari penjara sangkarnya. Salman pulang menaiki bas dari terminal bas Kuala Terengganu ke kampungnya di Temerloh.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Suasana petang yang nyaman di kampung yg bernama Lubuk Kelawar. Salman bersantai di pangkin hadapan rumahnya. Di bawah pohon gajus.

“Angin bayuuu membawa dirikuuu..~ sepintas lalu ku terkenangkan muuu..~ memooori silam..” Salman mendendangkan sebuah lagu dari kumpulan Feminin sambil berbaring, asyik memerhatikan sepasang tupai bercandu kasih di atas dahan pokok. “.. kita bersaaama mengejar miiimpi..~”

“Assalamualaikum!”

Salman tersentak. Kelihatan seorang lelaki tua yang tidak dikenalinya menyapa dari tepi. Tubuhnya kelihatan masih tegap walaupun sudah berusia lanjut.

“Waalaikumussalam” jawab Salman lantas bangun dan menghulurkan tangan bersalaman.

“Maaflah menggangu. Aki ni dah lama tak jenguk kampung ni. Saja berjalan-jalan melihat sekitar. Banyak kenangan aki kat sini dulu. Rumah anak saudara aki kat seberang jalanraya tu je.” ujar lelaki tua itu. “Alah, arwah Mat Arip, aki aok tu, sepupu aki. Lupa pulak, wan aok ada di rumah?”

“Oooo.. wan tak ada.. pergi umrah” jawab Salman sambil mempelawa aki duduk.

“Dulu..” aki mula bercerita setelah selesa dengan posisi duduknya. “..Kampung ni antara kawasan yang paling ditakuti penjajah British. Seluruh kaum tani dan penduduk bersatu-padu menunjukkan penentangan yang sangat hebat. Sejak dari zaman Datok Bahaman lagi. Begitu ramai yang bermandikan darah demi mempertahankan tanah air dan menuntut kemerdekaan dari penjajah”.

Salman teringat arwah akinya juga ada menceritakan kisah yang lebih kurang sama sewaktu dia kecil dahulu. Tetapi banyak yang dia sudah lupa.

“Di temerloh ini lah, pada tahun 1948 berkumpulnya wakil-wakil negeri dari seluruh Malaya mengadakan kongres kebangsaan selama 3 hari 3 malam. Kemudian berarak secara besar-besaran dengan sepanduk dan laungan “Merdeka” berkumandang di angkasaraya tanpa henti-hentinya, walaupun diharamkan oleh penjajah British. Semuanya menuntut agar British keluar dari Malaya.” sambung cerita aki dengan bersemangat.

Salman teruja mendengar kisah Aki. “Pelik, cerita-cerita begini tak ada pun dalam buku teks sekolah” ujar Salman kehairanan.

“Itulah, sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Pemerintah yang diberi kuasa memerintah adalah anak didik penjajah. Mereka menutup cerita yang sebenar untuk menjaga kedudukan mereka dan kepentingan imperialis. Sebelum British menyerahkan kuasa pemerintahan, hanya parti mereka sahaja yang sah, sementara parti-parti lain semuanya diharamkan dan anggota-anggotanya ditangkap, samada dipenjarakan atau dibunuh.

Para pejuang Bahaman pernah berpesan.. “Jangan percaya kepada pembesar-pembesar Melayu kita yang menjadi kakitangan British itu. Itulah sebabnya mengapa peperangan Bahaman telah menderita kekalahan”.

Akhirnya rakyat yang bersungguh-sungguh mahu revolusi mengambil keputusan berjuang menuntut kemerdekaan dengan mengangkat senjata dan secara bergerila di dalam hutan. Termasuklah aki. Waktu itu aki lebih kurang baya aok je.” jelas aki dan meneruskan ceritanya dengan begitu rancak. Salman kusyuk mendengarnya.

Truutt..Truutt! Truutt..Trutt!

Henfon Aki berbunyi. Dia lantas menjawab panggilannya sambil menunjukkan isyarat ‘sebentar’ kepada Salman.

Salman memikirkan apa yang diceritakan aki, dia sedari bahawa selama ini banyak kebenaran yang telah disembunyikan. Suatu projek pembodohan yang terancang. Salman merasakan ada semangat baru dalam dirinya, semangat untuk melakukan suatu perubahan. Semangat revolusi.

“Mungkin aki ini lah anak muda cemerlang dalam mimpiku sebelum ini” bisik hati Salman. Salman terlihat sebuah kereta naik ke jalan masuk rumahnya. Pemandunya lelaki dan seorang penumpang wanita di tempat duduk belakang.

“Emma Maembong!” terpacul dari mulut Salman.

“Oh, itu cucu aki. Mukanya saling tak tumpah macam arwah wannya. Yang depan tu ayahnya, anak bongsu aki.” ujar aki .”Nampaknya, dah sampai masanya untuk aki pulang.”

Salman tersipu-sipu malu. “Aki nak pulang ke mana?” tanya Salman.

“Rumah aki kat selatan Thailand. Nanti sampaikan salam aki dekat wan dan mak ayah aok yak. Katakan salam dari Pak Deraman. Assalamualaikum”

“Walaikumussalam. Insyallah.” balas Salman.

Pak Deraman lantas memasuki kereta. Dia membetulkan posisi duduknya dalam kereta tersebut. Kereta berjalan mengundur perlahan turun ke jalanraya. Salman mengekori sampai ke tebing jalanraya, di bawah panas terik matahari.

“Ingat amanat pejuang Bahaman.. “Jangan menyerah diri kepada musuh, biarlah mati di dalam hutan, jantan sebagai pahlawan!” pesannya lagi.

Sembari mengepalkan tinju ke langit, Salman dengan penuh bersemangat melaungkan.. “Merdeka!!”

Melihat sinar wajah Salman dan semangatnya yang begitu cemerlang, mengingatkan Pak Deraman ketika waktu mudanya dahulu bersama-sama dengan barisan pemuda-pemudi revolusioner menentang penjajah.

“Merdeka!!” sahutnya kembali beserta genggaman tangannya ke luar tingkap kereta. Tanpa disedari air matanya mengalir.

Syahnizam Lateh
2, 5 dan 9 April 2014
Temerloh, Pahang 

Sumber asal dan hak cipta terpelihara: Syahnizam Lateh