Wednesday 13 April 2016

ARKIB ANAK-ANAK MUDA TEMERLOH DI AKHBAR SINAR HARIAN 2011

Daripada arkib Sinar Harian

Oleh: M. Feisal Norawi
15 September 2011

Iktiraf tokoh berhaluan kiri
Turut sama berjuang tuntut kemerdekaan negara

TEMERLOH- Anak muda di daerah ini melahirkan kekecewaan kerana tokoh-tokoh melayu berhaluan kiri yang turut bersama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan tidak diangkat seperti tokoh yang lahir selepas mereka.

Kalau dulu 'bumi Semantan' yang mendapat jolokan 'voice and cradle of revolution' ini ada nilai sejarahnya berikutan pejuang seperti Dato'Bahaman, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan sebagainya lahir di daerah ini, tetapi nama mereka agak suram.

Abdul Razak Endut, 32, berkata, pejuang-pejuang kemerdekaan terbabit dilabel umpama komunis sedangkan mereka lebih awal mengangkat senjata untuk menentang penjajah.

Menurutnya, dia tidak menafikan sumbangan nama besar tokoh dalam Umno hingga berjaya mencapai kemerdekaan, sebaliknya apalah salahnya jika diangkat bersama tokoh berhaluan kiri terbabit.

"Kenapa apabila nama-nama yang mengangkat senjata menentang British, mereka dianggap komunis sedangkan British melalui Force 136 pernah bersama Parti Komunis Malaya (PKM) bergabung menentang Jepun? Ketika itu, mereka tidak pula dianggap menyokong doktrin komunis.

"Setiap rakyat mempunyai pejuang yang mereka sanjung, jika kita hanya menceritakan mengenai pejuang tertentu, apa perasaan penyokong-penyokong pejuang berhaluan kiri ini sedangkan mereka lebih awal mengangkat senjata menentang penjajah," katanya.

Dia berkata, persoalan lain ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) adalah sebuah pertubuhan didokongi golongan nasionalis sama seperti Umno, tetapi kenapa ada pertembungan atau konflik antara kedua-duanya pada masa itu.

Rakannya, Jalaludin Hassan,43, berkata, selepas ordinan darurat dikuatkuasakan pada 1948, semua pertubuhan diharamkan termasuk komponen PKMM antaranya Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), dan Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Menurutnya, daripada semua yang ada, hanya Umno yang tinggal dan tiada lagi nama-nama individu berhaluan kiri diangkat sebaris dengan pejuang-pejuang dalam Umno.

Umno ditubuhkan pada 1946, namun sebelum itu sudah banyak pejuang melayu mengangkat senjata. Walaupun begitu, kami tidak menafikan jasa pejuang Umno dalam menuntut kemerdekaan. Kami hanya mahukan pejuang berhaluan kiri turut sama diiktiraf.

Kami anak muda dari Temerloh menyambut baik cadangan untuk menulis semula sejarah Tanah Melayu dan menggesa nama-nama besar tokoh kemerdekaan berhaluan kiri dimuatkan dalam bentuk penulisan semula itu," katanya.

Sumber:Akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, Khamis, 15 September 2011 (m/s P7)