Thursday 14 January 2016

PAK SAKO, GERGASI SASTERA MELAYU MODEN

ISHAK HAJI MUHAMMAD

Para pejuang kemerdekaan dahulu bukan saja memperjuangkan kemerdekaan melalui gerakan politik secara berperlembagaan mahupun gerakan bersenjata ketika rundingan damai sudah ditutup melalui pengisytiharan Darurat, malah mereka juga memupuk kesedaran rakyat bagi meraih kemerdekaan melalui pena, terawal ketika pasca Perang Dunia Pertama.

Ishak Haji Muhammad juga dikenali dengan nama Pak Sako bukanlah nama yang asing, teristimewa beliau bukan sahaja seorang lagenda dalam bidang politik dari aliran kiri dalam menuntut kemerdekaan dan masih tetap berjuang teguh dalam arena perjuangan politik pasca kemerdekaan, malah Sang Bohemian Melayu ini juga seorang lagenda dalam arena kesusasteraan negara ini.

Seperti cebisan pidato penghargaan daripada Pemidato Umum Prof Khoo Kay Kim ketika berucap dalam Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan kepada Ishak Haji Muhammad dalam istiadat konvokesyen Universiti Malaya pada 29 Jun 1973, Prof Khoo Kay Kim menyebutkan,

"Pada 10hb November 1909 di Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, negeri Pahang, negeri yang berbangga kerana Datuk Bahaman, Tok Gajah, dan Mat Kilau, terlahir seorang anak yang kemudian muncul sebagai gergasi di bidang kesusasteraan Melayu.

Siapa yang lebih berpengalaman lebih daripada Ishak Haji Muhammad? Mereka yang agak sinis mungkin akan mengecap beliau sebagai "rolling stone" dan sebagaimana yang kita diberitahu "a rolling stone gathers no moss". Tetapi sahut Ishak Haji Muhammad, 'Who wants to gather moss'? Itulah dia falsafah seorang Bohemian, pujaan ramai sasterawan muda di negara ini.

Sungguh aneh manusia ini. Buah kalamnya tidak terbilang, kebolehannya bukan kepalang, pengorbanannya amat cemerlang, dan perjuangannya gilang-gemilang.

Beliau seorang perintis. Yang pertama sekali lulus Senior Cambridge Gred 1 di negeri Pahang ialah Ishak Haji Muhammad. Yang memulakan tradisi mengahwinkan perkataan, misalnya, kereta api jadi keretapi ialah Ishak Haji Muhammad.

Yang mula-mula sekali meringankan kata-kata Melayu dalam tulisan Jawi dengan menggugurkan huruf "h" dalam perkataan seperti "ubat", "udang", dan"ejaan", juga Ishak Haji Muhammad."

Sambung Khoo Kay Kim lagi, "Kerana orang Melayu menghadapi masalah sosiol-ekonomi yang berat (sebelum Perang Dunia Kedua), maka dalam surat khabar, dalam majalah, soal itu (sosial-ekonomi orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua ) sentiasa dibangkitkan. Ishak Haji Muhammad adalah di antara suatu generasi penulis yang cuba menyuarakan azab sengsara dan protes zaman itu melalui sastera.

Beliau menulis untuk rakyat dan beliau popular di kalangan rakyat sehingga kanak-kanak di kampung pun suka berkumpul di sekeliling Ishak Haji Muhammad kerana beliau memang seorang pencerita yang tiada tolok bandingnya.

Beliaulah pengarang zaman 1930an dan 1940an yang paling banyak sekali hasilnya. Lebih daripada itu, dalam tulisan beliau sahajalah terdapat suatu perpaduan halus di antara tangisan dengan girangan, propaganda dengan asmara.

Kesusasteraan Melayu moden mula berbunga selepas Perang Dunia Pertama. Pada dasarnya, karya zaman itu bercorak protes. Tradisi itu mencapai kemuncaknya menjelang Perang Dunia Kedua. Setakat tahap perkembangan itu, Ishak Haji Muhammad muncul sebagai penulis yang paling berjaya sekali menawan hati para pembaca sehingga beliau menjadi lambang zaman itu.

Maka dalam kajian sebarang kajian tentang kesusasteraan kita, Ishak Haji Muhammad sudah tentu akan diperuntukkan suatu tempat yang tetap, luhur, dan mulia.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman

Sumber foto dan pidato dari Prof Khoo Kay Kim: Pak Sako Manusia Rolling Stone Yang Luar Biasa, Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd, 1973.