Monday 23 March 2015

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN 23 MAC 2015

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Angkatan Bahaman
23 Mac 2015
ANGKATAN BAHAMAN MENGECAM PENANGKAPAN 80 ORANG PARA AKTIVIS DAN WAKIL RAKYAT DI DALAM BANTAHAN ANTI CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) DI HQ KASTAM KELANA JAYA.
Pertubuhan Angkatan Bahaman mengecam sekeras-kerasnya pihak berkuasa yang telah menahan seramai 80 orang para aktivis dan wakil rakyat di dalam bantahan anti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) di luar ibu pejabat Kastam, Kelana Jaya, siang tadi.
Pertubuhan Angkatan Bahaman menganggap penangkapan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa ini merupakan satu pencabulan kepada keadilan bersuara dalam tuntutan lunas demokrasi, di mana rakyat sepatutnya berhak untuk menyuarakan apa jua pendapat dan cadangan terhadap apa-apa juga dasar atau perancangan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan, kerana dalam tuntutan demokrasi itu sememangnya turut melibatkan rakyat bersama pemerintah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemakmuran bagi sesebuah negara.
Bantahan anti cukai GST yang diketuai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) melalui Setiausaha Agungnya, komrad Arulchelvan bersama komrad-komrad yang lain dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang didahului oleh komrad Badrul Hisham Shahrin telah bersama lebih 100 orang para aktivis dan wakil rakyat yang lain seperti MP Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar, MP Kuala Krai, Dr.Hatta Ramli, dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad serta Sasterawan Negara, A.Samad Said telah berkumpul seawal pagi di Ibu Pejabat Utama (HQ) Jabatan Kastam, di Kelana Jaya, dan 'rombongan rakyat' ini telah membawa membawa bersama memorandum dan 106 soalan yang perlu dijawab secara telus dan jujur oleh pihak Kastam kerana di dalam pelaksanaan cukai GST ini, Jabatan Kastam lah yang akan memainkan peranan utama dalam pelaksanaannya kelak.
Namun begitu, ketika 'rombongan rakyat' ini mengajukan soalan-soalan kepada Ketua Pengarah Kastam, Dato' Sri Khazali Bin Haji Ahmad yang lambat tiba di HQ Kastam tersebut, Dato' Sri Khazali hanya menjawab dua daripada 106 soalan yang dikemukakan rakyat berhubung pelaksanaan cukai GST ini. Dan salah satu jawapan daripada soalan yang telah disoal kepada beliau, beliau hanya mampu menjawab, "Perintah dari Parlimen. Saya hanya melaksanakan."
Jawapan yang sangat "lemah" ini telah menggambarkan sikap tidak profesionalisme oleh seorang pegawai yang berpangkat besar dalam sebuah jabatan kerajaan di mana pegawai yang berpangkat besar seperti beliau ini sepatutnya lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan rakyat selaras dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Amatlah tidak relevan sama sekali apabila sekurang-kurangnya 60 orang dari pasukan Light Strike Force (LSF) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk turun mengawal bantahan ini sedangkan para aktivis dan wakil rakyat yang hadir mengemukakan bantahan ini di HQ Kastam Kelana Jaya itu bukanlah mereka yang terlibat dalam jenayah besar selain hanya mengemukakan persoalan daripada rakyat yang inginkan jawapan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan cukai GST yang bakal dilaksanakan pada minggu depan (1 April 2015).
Pertubuhan Angkatan Bahaman dengan ini secara jelas berpendirian bahawa apa jua alasan yang digunakan terhadap penangkapan para aktivis dan wakil rakyat yang terlibat dalam bantahan anti cukai GST ini adalah tidak adil dan tidak wajar, selaras dengan tuntutan bersuara dalam proses demokrasi yang telah lama dijalankan di dalam negara kita ini.
Tindakan menangkap dan menghukum rakyat dan wakil rakyat yang mahukan penjelasan secara terperinci daripada pihak kerajaan secara khususnya di dalam pelaksanaan cukai GST ini hanya akan menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap motif utama pelaksanaan cukai yang dianggap membebankan rakyat kelas rendah di negara ini ketika rakyat pada masa yang sama terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang makin merudum ekoran kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa dan kos hutang seisi rumah yang semakin meningkat naik ketika ini.
Pertubuhan Angkatan Bahaman dengan ini menggesa pihak berkuasa supaya membebaskan segera 80 orang para aktivis dan wakil rakyat yang ditahan ketika bantahan ini diadakan dan Pertubuhan Angkatan Bahaman juga menyeru kepada rakyat-rakyat Malaysia prihatin yang lain supaya tampil ke khalayak bagi mengemukakan persoalan pelaksanaan cukai GST ini dan seterusnya akan terus menentang dan membantah cukai yang menindas rakyat marhaen seperti cukai GST ini!
Abdul Razak Bin Endut
Presiden Pertubuhan Angkatan Bahaman
Buaian Revolusi.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman