Tuesday 16 June 2015

BANTAH EMPANGAN TELOM!

Orang Asli Kampung Pos Lanai Bantah Empangan Telom.

Empangan Hidroelektrik Telom dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan empangan baru ini dikatakan bakal menjana sebanyak 172MW kuasa elektrik jika empangan ini siap kelak. Pembangunan tetap lah pembangunan, pasti ada pro dan kontranya, lebih-lebih lagi pembangunan berskala besar seperti Empangan Hidroelektrik Telom ini.

Fikirkan saja, empangan ini bakal menenggelamkan 7600 hektar atau kira-kira 20,000 ekar, dan dalam erti kata mudah, bersamaan dengan 11,000 padang bola. Nah! bayangkan saja lah berapa nilai kemewahan khazanah alam yang bakal musnah selain sekurang-kurangnya 300 Orang Asal sendiri yang bakal hilang mata pencarian akibat kawasan tempat mereka mencari rezeki selama ini bakal ditenggelami air jika empangan ini siap kelak nanti? Masalahnya sekarang ini, kelihatannya untuk memusnahkan kawasan seluas 11,000 padang bola ini tidak sesuai hanya untuk sekadar 172MW kuasa elektrik seperti yang dirancangkan sebelum ini.

Kawasan tempat mereka diami dan mencari rezeki ini sudah pun diduduki oleh mereka sejak sebelum era British lagi, dengan di situ juga terletak kebun getah, kebun sawit, dan dusun-dusun milik penduduk. Kawasan rayau mereka untuk mencari binatang liar, petai, rotan atau buah-buahan tempatan turut bakal menghilang begitu saja kelak. Pembinaan empangan yang berlaku sudah pasti akan melenyapkan semua ini dan menyekat punca mereka mencari rezeki seharian.

Orang Asal dari suku kaum Semai ini juga risau kerana seluruh perkuburan keramat, selain tapak bagi tempat mitos lagenda sejarah asal Orang Asal di sini bakal luput dari lipatan sejarah bersama dengan musnahnya Tanah dan Wilayah Adat mereka.

Namun yang paling dikesalkan sebenarnya adalah, cadangan pembangunan bagi membina empangan ini sebenarnya langsung tidak dimaklumkankan ataupun cuba mengambil kira pandangan daripada penduduk Orang Asal sendiri. Sedangkan hal ini sudah tentu melanggar hal perlembagaan kerana Hak-Hak Orang Asal juga dilindungi oleh UNDRIP di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana kerajaan Malaysia sendiri sudah menandatangani deklarasi tersebut.

#TolakEmpanganTelom
#KembalikanHakOrangAsal

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman