Monday 20 April 2015

PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN KINI DI PERINGKAT ASEAN!

ANGKATAN BAHAMAN MENGORAK LANGKAH DI ASEAN PEOPLE FORUM 2015

Angkatan Bahaman buat julung-julung kalinya kini telah melangkah ke peringkat antarabangsa apabila kami telah dijemput untuk menghadiri Asean People Forum yang akan diadakan bermula 21-24 April ini, bertempat di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Asean People Forum adalah salah satu program yang diadakan bagi menyokong konsep "Komuniti ASEAN" yang akan dilaksanakan pada tahun ini, di mana Malaysia sendiri menjadi tuan rumah sulung bagi Komuniti ASEAN dan pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN bagi tahun ini menggantikan Myanmar yang telah menamatkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada 31 Disember lalu. Dengan pelantikan sebagai Pengerusi ASEAN yang baharu, Kuala Lumpur akan menjadi hos kepada pelancaran Komuniti ASEAN yang akan dilancarkan pada November tahun ini. Ia selaras dengan Deklarasi Sidang Kemuncak mengenai Peta Garisan Komuniti ASEAN (2009-2015) yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Hua Hin, Thailand pada tahun 2009, di mana deklarasi itu mengandungi tiga tonggak utama, iaitu pembinaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC). Sidang kemuncak itu juga mengeluarkan Rangka Tindakan Komuniti APSC dan Rangka Tindakan ASCC untuk menetapkan rangka tindakan lengkap bagi mewujudkan komuniti ASEAN tahun ini. Kewujudan Komuniti ASEAN adalah hasil kerja keras lima tahun oleh 10 negara-negara ASEAN dalam membentuk satu komuniti menjurus ke arah pembabitan atau penyertaan seluruh rakyat ASEAN ke arah integrasi ASEAN yang lebih kukuh, dan tidak sekadar menjadikan ASEAN hanya medan bagi kumpulan elit dan pakar tertentu semata-mata, sebaliknya akan muncul sebagai komuniti berteraskan rakyat dengan menjadikan 'Sebuah ASEAN Untuk Semua'.

Angkatan Bahaman selaku sebuah NGO yang berbasis di Temerloh akan cuba seaktif mungkin untuk terlibat dalam menjayakan konsep Komuniti ASEAN ini dengan cuba memberi pendapat dalam program-program serantau dan diplomasi awam serta kemudian cuba memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat terutamanya generasi-generasi muda mengenai kepentingan komuniti ASEAN ini demi membantu perjalanan proses negara ini yang telah dilantik sebagai pengerusi ASEAN dan selanjutnya membantu matlamat penganjuran komuniti ASEAN ini tercapai. Ini memandangkan masih ramai rakyat Malaysia sendiri yang masih tidak mengetahui apa itu komuniti ASEAN dan kepentingannya kepada mereka juga kepentingan kepada masa depan negara khususnya.

Seperti kita semua maklum, ASEAN dianggotai 10 negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja. Komuniti ASEAN ini merangkumi tiga cabang utama iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosiobudaya dengan moto Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti. Polisi komuniti ASEAN menyaksikan perubahan pendekatan ASEAN daripada lebih mesra negara kepada lebih mesra rakyat dan Komuniti ASEAN ini seterusnya mampu menggesa semua negara ASEAN untuk berinteraksi, stabil, berpengetahuan dan mesra di dalam hubungan sesama negara bagi merancakkan persaingan ekonomi dan menarik pelabur. Komuniti Asean, antara lain, dibentuk berasaskan norma-norma dan nilai-nilai rantau ini, penubuhan sebuah pasaran tunggal dengan penduduk 600 juta dan aliran bebas perdagangan dan pelaburan.

Malaysia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak Asean tahun ini akan cuba merakyatkan konsep Komuniti ASEAN sebagai fokus utama supaya Komuniti Asean ini dapat difahami semua rakyat negara anggota bagi memastikan matlamat merapatkan hubungan antara negara anggota pertubuhan itu dapat dicapai dengan berkesan.
Hafizzuddin Mansor,
Pengarah Komunikasi Bahagian Komuniti ASEAN, Angkatan Bahaman.

Posting asal boleh dilihat di Facebook Angkatan Bahaman


No comments:

Post a Comment