Tuesday 13 January 2015

PERTUBUHAN ANGKATAN BAHAMAN

Sedikit Mukadimah Mengenai Pertubuhan Angkatan Bahaman

Pertubuhan Angkatan Bahaman yang berpusat di daerah buaian revolusi iaitu Temerloh, Pahang ini didokong daripada kalangan aktivis- aktivis tegar yang konsisten memperjuangkan agenda rakyat dan gerakan massa. Diantaranya pendidikan, alam sekitar, sosial & budaya, ekonomi, perundangan dan kemanusiaan.

Kolaborasi golongan buruh tani, mahasiswa, cendekiawan, agamawan, pengamal undang undang, aktivis alam sekitar & kebudayaan, aktivis kemanusiaan, ekonomis, dan penulis adalah ramuan yang digauli bersama menjadi rempah dan rencah bagi memantapkan gerakan Pertubuhan Angkatan Bahaman ini.

Bermula dari pinggir desa hingga ke pusat kota, kami Angkatan Bahaman menyeru agar anda bersama kami bagi menjayakan misi dan visi Angkatan Bahaman.

Pertubuhan Angkatan Bahaman bukanlah satu pertubuhan samseng/gangster jalanan, tetapi lebih fokus kepada kerja-kerja kebajikan rakyat.
Pertubuhan Angkatan Bahaman juga bukanlah mencari kesempatan untuk memperoleh imbuhan dari pihak kerajaan, tetapi ianya lebih fokus dalam memajukan pemikiran rakyat.

Ayuh anak muda, bumi Temerloh ini terkenal dengan sejarah agungnya, buaian revolusi pernah berkumandang dibumi Temerloh ini. Cuba anda bayangkan, pejamkan mata anda, saksikan dengan mata hati, bumi yang anda pijak, langit yg anda junjung, darah darah merah pernah mengalir dibumi ini, disaksikan alam, denyut denyut nadinya yang masih bergetar, terasa sakit dan bahangnya, pengorbanan mereka adalah nikmat bagi kita.

Generasi silih berganti, gerombolan datang dan pergi, tetapi kita tetap mewarisi langit dan bumi yang sama, walaupun kelibat mereka tidak kelihatan lagi.

Ayuh anak muda, ku seru namamu, bangkitlah bersama Angkatan Bahaman. Kita wariskan kepada mereka, anak cucu kita, dengan pusaka dan khazanahnya dapat dinikmati bersama.
Semarakkan perjuangan Dato Bahaman!


No comments:

Post a Comment