Tuesday 13 January 2015

TAGLINE "BUAIAN REVOLUSI"

Buaian Revolusi.

Tagline Buaian Revolusi yang digunapakai oleh Pertubuhan Angkatan Bahaman adalah diilhamkan daripada petikan tulisan memoir Eng Ming Ching @ Suriani Abdullah, serikandi daripada Rejimen ke 10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) yang telah menggelarkan daerah Temerloh sebagai daerah "buaian revolusi".
Suriani Abdullah telah menjoloki daerah Temerloh sebagai "buaian revolusi" disebabkan daerah Temerloh ini telah menyimpan seribu satu kisah sejarah perjuangan sebenar orang Temerloh menentang penjajah Inggeris.
Namun disebabkan siri perjuangan kepahlawanan orang Temerloh ini terpendam dan tertimbus selama ini, tidak banyak lagi sejarah yang diketahui khususnya oleh generasi muda.
Prof. Madya Dr Mohamed Salleh Lamry dari Universiti Kebangsaan Malaya ada menyebut, walaupun di negara ini ada beberapa tempat yang boleh disebut sebagai pusat gerakan nasionalis kiri , seperti Padang Rengas (Perak), Jenderam (Selangor), dan Muar (Johor), tetapi Temerloh merupakan tempat yang lebih penting dan lebih istimewa berbanding dengan tempat-tempat yang lain. Di sinilah lahirnya pasukan pahlawan, bintang harapan kaum tani. Di sinilah berkembang dan mendewasanya pasukan Rejimen Ke-10 dan dari sinilah juga ia berjaya melancarkan pertempuran-pertempuran yang bertubi-tubi terhadap musuh (penjajah) serta telah memberikan sumbangan-sumbangan yang besar lagi penting kepada usaha kemerdekaan dan usaha pembebasan nasional tanah air kita.
Prof Salleh Lamry kemudian menyatakan bahawa terdapat tiga gerakan menentang penjajah di Temerloh dan apa yang menariknya ketiga-tiga gerakan itu disokong penuh oleh majoriti penduduk tempatan. Lebih hebat lagi, kesemua gerakan tersebut disertai oleh sukarelawan dari luar baik dari serata ceruk negeri Pahang hinggalah seluruh pelosok tanah air berhijrah ke Temerloh menyertai perjuangan menentang penjajah ini.
Gerakan pertama dicetuskan oleh Dato’ Bahaman selepas campur tangan penjajah Inggeris dan meletakkan wakil residennya di Pahang sekitar tahun 1887. Gerakan penentangan oleh Bahaman dari Lanchang itu begitu kuat dan semangat perjuangannya telah menjadi inspirasi dan merebak meluas hampir ke seluruh negeri Pahang. Meskipun gerakan penentangan itu berakhir dengan kegagalan, tetapi gerakan itu telah memberi ilham, semangat dan dorongan kepada generasi anak Pahang yang berikutnya untuk meneruskan perjuangan antipenjajah dan seterusnya menuntut kemerdekaan.
Gerakan kedua muncul pada zaman perjuangan kemerdekaan pula, khususnya pada zaman sebelum darurat (1945-1948) di Temerloh oleh nasionalis kiri atau radikal yang kuat dan mendapat dukungan yang menyeluruh daripada penduduk kawasan itu. Pada waktu itu persatuan orang Melayu negeri-negeri (yang akhirnya menubuhkan Umno) masih meneriakkan “hidup Melayu” dan menentang Malayan Union. Penduduk Temerloh telahpun melaungkan kalimah “merdeka” melalui Kesatuan Melayu Muda yang diasas dan dipimpin oleh dua orang anak watan Temerloh iaitu Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Mohamad (Pak Sako).
Di Temerloh juga begitu subur dengan perjuangan merdeka melalui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Kamarulzaman Teh, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) dan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM).
Selepas diharamkan mereka menyertai Ikatan Pembela Tanah Ayer (PETA). Kesemua ahli persatuan-persatuan tersebut pernah bergabung dan berarak di sekeliling bandar Temerloh dengan melalungkan “merdeka! Merdeka!”. Akhirnya setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, orang Melayu di Temerloh dan pejuang-pejuang dari luar secara beramai-ramai telah menyertai perjuangan bersenjata iaitu Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM).
Namun begitu Temerloh hari ini hanya dikenali sebagai ‘Temerloh, Titik Tengah Semenanjung’ saja manakala pihak berkuasa pula hanya meletakkan ‘Temerloh Bandar Ikan Patin’. Sementara khazanah sejarah dan keistimewaan perjuangan penduduknya tidak ditonjolkan langsung.
Adalah diharapkan dengan Pertubuhan Angkatan Bahaman menaikkan kembali julukan "buaian revolusi" ini, orang-orang Temerloh khususnya anak-anak muda Temerloh dapat menggali kembali sejarah yang telah cuba dikuburkan oleh pihak yang berkepentingan lalu seterusnya generasi muda Temerloh dapat bersama menghargai nilai sejarah daripada perjuangan orang-orang Temerloh yang telah menempakan diri dalam perjuangan memerdekakan tanah air yang tercinta ini.
Rujukan dan diubahsuai dari :
1) Prof Madya Dr. Mohamed Salleh Lamry (Gerakan dan Tokoh Kiri, Kamarulzaman Teh Dalam Kancah Perjuangan Kemerdekaan)
2) Khairy Atan (Pahang Selamat, Rakyat Nikmat)
Angkatan Bahaman,
Buaian Revolusi.


No comments:

Post a Comment